Tempat riadah bagi belia Singapura, *Scape, di Orchard Road, yang telah dinaik taraf, akan dilancarkan semula pada November 2025 dengan lebih banyak ruang khusus bagi golongan belia.
Hab belia tersebut menetapkan matlamat menarik lebih dua juta pengunjung dalam tempoh setahun.
Hab yang ditubuhkan pada 2007 itu telah menjalani kerja naik taraf sejak beberapa tahun lalu, sebagai sebahagian usaha menyegarkan semula Jalur Somerset.
*Scape berperanan sebagai sebuah hab belia yang menawarkan program untuk mereka mempelajari kemahiran baru seperti tarian dan penulisan.
Sebelum ini, *Scape menyatakan bahawa ia akan mengambil pendekatan baru dalam menyediakan program dan kerjasama, menyusuli perkembangan trend belia semasa.
Sebahagian ruang di bangunan lima tingkat itu sudah dibuka kepada orang ramai, termasuk ruang tarian.
Ruang lain masih menjalani kerja pengubahsuaian.
Antara perubahan selepas kerja naik taraf itu termasuk peningkatan kapasiti The Ground Theatre, sebuah ruang acara di *Scape, yang kini hampir seganda lebih besar.
Ruang acara tersebut boleh memuatkan seramai 870 penonton kini, berbanding 450 penonton sebelum ini, lapor The Straits Times (ST).
Timbalan Pengarah Eksekutif *Scape, Encik Ethen Ong, berkata sekitar 20 peratus daripada ruang bangunan tersebut akan dikhaskan sebagai ruang dan tempat duduk bebas, bagi golongan belia berkumpul dan berinteraksi.
“Sejak pandemik Covid-19, kami menyedari belia memerlukan ruang bersama untuk berinteraksi dan menjalin persahabatan.
“Kami ingin masyarakat tersebut dibina di *Scape,” tambahnya.
Baki ruang di bangunan tersebut akan menempatkan pelbagai pertubuhan dan perniagaan, yang kebanyakannya memenuhi keperluan golongan muda dan belia.
Antara pertubuhan yang beroperasi di bangunan tersebut ialah Access Singapore, sebuah badan amal yang membantu para pelajar yang menghadapi cabaran akademik, kewangan atau sosial.
Pusat Kecemerlangan bagi Kesihatan Mental Belia (Chat), yang menyediakan perkhidmatan kesihatan mental bagi golongan muda, akan terus beroperasi di *Scape.
Chat telah menyediakan perkhidmatannya di lokasi tersebut sejak 2010.
SM Universe, sebuah anak syarikat SM Entertainment, yang menyediakan program latihan berkaitan K-pop, akan turut menempatkan kampusnya di *Scape.
Sekitar 30 peratus perniagaan di bangunan tersebut sudah beroperasi, dengan selebihnya dijangka menyelesaikan kerja ubah elok sebelum November 2025.
Aras satu dan dua bangunan itu akan menempatkan Innovate 360, sebuah pertubuhan yang menyokong syarikat pemula.
Ia berhasrat menghimpunkan perniagaan kendalian belia seperti kafe dan reruai foto.
Halaman luar *Scape, yang sebelum ini menempatkan penyewa seperti restoran makanan segera McDonald’s dan kafe The Coffee Bean and Tea Leaf, telah diubah suai menjadi sebuah ruang terbuka yang membolehkan golongan muda mengadakan persembahan atau duduk dan berinteraksi bersama rakan-rakan.
Sebuah dek yang menghadap Grange Road turut diperluaskan bagi memuatkan lebih banyak tempat duduk.
“Kami menerima maklum balas daripada belia bahawa mereka ingin lebih banyak tempat duduk dan ruang terbuka untuk bertemu dan berinteraksi dengan rakan mereka.
“Ruang ini juga direka bagi membolehkan belia menganjurkan acara dan persembahan di sini,” kata Encik Ong.
Pengerusi *Scape, Encik David Chua, berkata hab tersebut akan menjadi pusat utama di kawasan Jalur Somerset yang membolehkan kerjasama dan program baru diperkenal, bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada golongan belia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg