Walau agak tersorok di sebatang lorong yang sibuk di Grange Road, dekat Somerset, sebuah mural menggambarkan potret ikonik seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee tetap tersergam indah.
Karya seni itu dihasilkan artis tempatan, Encik Muhammad Taufiq Rosle, sebagai satu usaha untuk mengekalkan warisan P. Ramlee dan mengingatkan orang ramai tentang sumbangannya kepada persada seni Melayu.
Encik Taufiq, 37 tahun, atau dikenali dengan nama artisnya, Boon Bakes, ialah seorang artis sepenuh masa di pusat seni The Blackbook Studio yang terletak di 71 Sultan Gate.
Sepanjang menghasilkan mural selebar 10 meter dan setinggi 4 meter itu, yang memakan masa selama enam hari untuk disiapkan, Encik Taufiq dibantu mentinya, Encik Mohammed Salihan Wahid, atau nama artisnya, KidKaijin.
Mural yang terletak di tempat penggambaran salah satu adegan filem ‘Bujang Lapok’ itu akan dipamerkan sehingga November 2025 sebagai sebahagian daripada Somerset Threads, festival seni belia *SCAPE.
Encik Taufiq merupakan salah satu daripada lima artis yang ditugaskan mengilhamkan mural masing-masing di acara itu sehingga November 2025.
Encik Salihan, 26 tahun, pula ialah seorang artis yang menjalani latihan di bawah program residensi Seni Masyarakat *SCAPE.
Dalam satu wawancara dengan Berita Harian (BH), Encik Taufiq berkata:
“Terkenal sebagai pelakon, pengarah, komposer dan penyanyi, P. Ramlee memainkan peranan penting semasa zaman kegemilangan pawagam Melayu pada tahun 1950-an.
“Kami mahu mural ini mengingatkan orang ramai akan sumbangan beliau kepada budaya Melayu. Tertera di mural itu ialah beberapa adegan, dialog dan lirik lagu daripada beberapa filem ikoniknya.”
Menurutnya, proses kreatif untuk mural itu bermula dengan penyelidikan mendalam tentang kehidupan dan karya P. Ramlee, termasuk menonton semula filem-filemnya.
“Selain memaparkan adegan filem ‘Ali Baba Bujang Lapok’ di mana pintu rumah Kassim Baba ditanda dengan pangkah, saya juga melukis kereta P. Ramlee yang mempunyai nombor plat ‘BAD 3608’,” jelasnya.
Difahamkan ia kereta terakhir dimiliki Allahyarham dan kemudian diwarisi anaknya selepas beliau meninggal dunia.
Lirik lagu ‘Getaran Jiwa’ tulisan P. Ramlee juga dipaparkan di bahagian atas mural itu.
“Saya suka lagu itu, Presiden Tharman Shanmugaratnam juga pernah nyanyikan lagu itu pada satu acara tidak lama dulu, jadi saya terpengaruh untuk memasukkan lirik itu,” jelas Encik Taufiq.
Terpapar di bahagian kanan mural itu ialah bacaan yang digunakan watak dalam ‘Ali Baba Bujang Lapok’ untuk membuka pintu gua yang mengandungi harta karun.
Mengulas mengenai mesej yang beliau mengharapkan dapat disampaikan oleh mural itu, Encik Salihan berkata:
“P. Ramlee ialah ikon kepada ramai orang Melayu di Singapura, dan untuk mendirikan muralnya di tempat yang tidak semestinya dipacu oleh masyarakat Melayu, saya harap ia membuat orang Melayu rasa diwakili.
“Saya ingat lagi ketika kami melukis mural itu, seorang pak cik berlalu dan mengenali potret P. Ramlee. Dari situ, kami berbual dan saya rasa itulah pengaruh... ia mewujudkan suasana mesra secara semula jadi.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg