Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SCDF ambil pekerja warga asing bagi perkukuh khidmat perubatan kecemasan

Matlamat dekati pesakit secepat mungkin, panggilan kecemasan libatkan warga emas dijangka naik
Feb 19, 2025 | 2:34 PM
Buat masa ini, SCDF mempunyai 95 ambulans yang beroperasi dan merancang untuk menambah jumlahnya bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Buat masa ini, SCDF mempunyai 95 ambulans yang beroperasi dan merancang untuk menambah jumlahnya bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat. - Foto ST

Buat julung-julung kalinya, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), akan menggajikan warga asing sebagai paramedik dan juruteknik perubatan kecemasan (EMT) bagi menangani panggilan kecemasan 995.

Langkah ini diambil bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja dan memperkukuh Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMS) 24 jam sehari.

Buat masa ini, SCDF mempunyai 95 ambulans yang beroperasi dan merancang untuk menambah jumlahnya bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat – sejajar dengan jumlah penduduk menua di Singapura.

Sebuah pasukan EMS biasanya terdiri daripada seorang paramedik dan dua EMT, yang bekerjasama untuk memberikan rawatan perubatan kecemasan kepada pesakit.

Pada 18 Februari, SCDF telah menganjurkan acara penghargaan di HomeTeamNS Khatib untuk petindak masyarakat, rakan kongsi, dan relawan, lapor The Straits Times (ST).

Acara tahunan yang dimulakan sejak 2016 ini, dianjurkan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) bersama SCDF, bagi mengiktiraf orang awam yang telah menghulurkan bantuan menyelamatkan nyawa dan harta benda anggota masyarakat.

Dalam ucapannya, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, mengumumkan rancangan SCDF untuk menggajikan warga asing mulai Mac.

“EMS SCDF berusaha gigih untuk sampai kepada pesakit secepat mungkin. Matlamat SCDF adalah memberi tindak balas kepada 80 peratus daripada semua panggilan perubatan kecemasan dalam jangka masa 11 minit. 

“Namun, peningkatan jumlah panggilan EMS, yang sebahagiannya disebabkan oleh populasi yang menua di Singapura, menimbulkan cabaran besar kepada SCDF dan pasukan EMS,” kata Dr Faishal.

Pada 13 Februari, statistik tahunan SCDF menunjukkan bahawa pada 2024, mereka telah memberi respons kepada 245,279 panggilan kecemasan, dan hampir setengah daripadanya melibatkan warga emas berusia 65 tahun dan ke atas. Jumlah ini dijangka terus meningkat selepas 2025.

Dr Faishal berkata pengambilan warga asing, terutamanya dari negara Asean, akan bermula pada Mac. Calon yang sesuai dijangka akan menjalani latihan yang ketat mengikut piawaian dan protokol SCDF. 

Menurut jurucakap SCDF, paramedik dan EMT asing dikehendaki untuk lulus ujian tahunan, serta menjalani program latihan sama seperti pekerja tempatan.

Dalam acara penghargaan tersebut, 27 petindak telah dianugerahkan plak Platinum atau Emas, atas usaha mereka membantu anggota masyarakat yang memerlukan.

Anugerah berperingkat ini diberikan, berdasarkan jumlah kes serangan jantung yang disyaki atau kes kebakaran kecil yang ditangani seorang petindak dalam setahun.

SCDF juga menyampaikan 52 plak penghargaan kepada rakan kerjasama masyarakat, atas usaha mereka menggalak lebih ramai orang mendaftar sebagai petindak.

Statistik terkini menunjukkan kadar tindak balas keseluruhan Pihak Pertama Bertindak dalam Masyarakat (CFR) meningkat daripada sekitar 43.8 peratus kepada 50.3 peratus pada 2024.

Sehingga 2024, para petindak telah menyelamatkan 94 mangsa serangan jantung selepas dimaklumkan melalui aplikasi myResponder.

Aplikasi itu memberitahu CFR mengenai kes serangan jantung dan kebakaran kecil yang berlaku dalam jarak 400 meter dari lokasi mereka, serta mengenal pasti lokasi Defibrilator Luaran Automatik (AED) terdekat.

AED merupakan alat yang dapat digunakan untuk memberi bantuan pernafasan kecemasan.

Dr Faishal berkata: “CFR ini adalah perantara dalam mencegah kebakaran daripada bertambah lebih teruk dan berpotensi meningkatkan kadar kelangsungan hidup pesakit sebelum ketibaan (pegawai) SCDF. Kerja CFR mengingatkan kita tiada usaha yang terlalu kecil.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg