Syarikat penerbangan tambang murah, Scoot, akan menyambung semula penerbangan antara Singapura dengan Jeddah mulai 22 Jun, hampir empat bulan selepas ia mula membatalkan penerbangan tersebut akibat perang di Timur Tengah.

Ini berikutan “penilaian terhadap situasi geopolitik di Timur Tengah, serta pertimbangan operasi”, kata Scoot dalam jawapan kepada media.

Scoot menyatakan ia akan menyambung semula perkhidmatan tiga kali seminggu antara Singapura dengan Jeddah, dengan penerbangan pertama dijadualkan berlepas dari Singapura pada 22 Jun, 4.15 petang.

Syarikat penerbangan itu menasihati pelanggannya supaya mengemas kini maklumat hubungan mereka melalui laman webnya atau melanggan perkhidmatan pemberitahuan mudah alihnya bagi menerima kemas kini penerbangan.

“Kami akan terus memantau situasi di Timur Tengah dengan teliti dan akan menyesuaikan laluan penerbangan kami mengikut keperluan,” tambah Scoot.

Penerbangan TR796 (Singapura ke Jeddah) dan TR797 (Jeddah ke Singapura) dibatalkan sejak 28 Februari, selepas serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran, yang mencetuskan konflik berbulan-bulan itu.

Satu penerbangan ke bandar Arab Saudi itu dijadualkan pada 18 April tetapi dibatalkan atas sebab situasi geopolitik di Timur Tengah, kata syarikat penerbangan tersebut pada Mei lalu. 

Singapore Airlines (SIA), syarikat induk Scoot, turut membatalkan penerbangannya antara Singapura dengan Dubai di Amiriah Arab Bersatu (UAE) dari 28 Februari hingga 2 Ogos.

Amerika dan Iran menandatangani perjanjian damai sementara 60 hari pada 17 Jun, dan pusingan pertama rundingan antara pegawai kanan kedua-dua negara itu tamat pada 22 Jun.

Sementara itu, Malaysia Airlines (MAS) menyatakan pada Mei lalu ia akan menyambung semula satu perkhidmatan harian ke Doha, Qatar, mulai 2 Julai, namun terus menangguhkan dua perkhidmatan lain sehingga 24 Oktober.

Jumlah keseluruhan penerbangan oleh syarikat penerbangan utama Teluk, termasuk Emirates, Qatar Airways dan Etihad, dilaporkan mencapai sekitar 82 peratus daripada paras sebelum perang pada 19 Jun.

Emirates dan Etihad juga melancarkan pakej insurans perjalanan yang lebih luas masing-masing pada 17 Jun dan 12 Jun.