Topik diikuti
Pergi ke BHkuSIA dan Scoot catat rekod 3.8j penumpang pada Mac
SIA dan Scoot catat rekod 3.8j penumpang pada Mac
Pertumbuhan kukuh trafik disokong permintaan perjalanan udara jelang cuti umum Easter
SIA dan Scoot catat rekod 3.8j penumpang pada Mac
Singapore Airlines (SIA) dan Scoot mencatat rekod baharu pada Mac apabila menerbangkan 3.8 juta penumpang, angka bulanan tertinggi pernah dicapai Kumpulan SIA dan peningkatan ini didorong, sebahagiannya, oleh impak pertempuran di Timur Tengah.
Menurut keputusan operasi Mac yang diterbitkan pada 15 April, lonjakan 14.9 peratus tahun ke tahun ini melonjakkan jumlah keseluruhan penumpang bagi tahun kewangan 2025/2026 kepada 42.4 juta, satu lagi paras tertinggi sepanjang masa.
Ini melebihi 39.4 juta penumpang tahun kewangan sebelumnya, yang 7.7 peratus lebih rendah berbanding tahun 2025/2026.
Kumpulan SIA menjelaskan pertumbuhan kukuh trafik ini disokong oleh permintaan perjalanan udara yang meningkat menjelang cuti umum Easter.
Cuti Good Friday, yang jatuh pada 3 April, menandakan hujung minggu panjang pertama di Singapura tahun tersebut.
Selain itu, kumpulan ini turut menarik penumpang ke Eropah akibat situasi tidak menentu di Timur Tengah yang mengganggu hab udara serantau.
Gangguan teruk di hab transit Dubai dan Doha semasa perang Iran, yang lazimnya menghubungkan Asia dan Eropah, menyebabkan penumpang beralih kepada syarikat penerbangan Asia.
Dianggarkan hampir sepertiga trafik udara antara Asia dan Eropah dikendalikan oleh hab Teluk.
Firma analitik penerbangan Cirium menganggarkan lebih enam juta penumpang terjejas oleh pembatalan penerbangan di Timur Tengah.
Faktor muatan penumpang, iaitu peratusan penumpang berbanding kapasiti tempat duduk, juga menyaksikan peningkatan. Ini bermaksud pesawat-pesawat beroperasi dengan muatan yang lebih penuh.
SIA mencatat rekod bulanan terbaharu dengan faktor muatan penumpang 90.3 peratus, meningkat daripada 84.1 peratus pada Mac 2005.
Scoot pula mencapai 91.7 peratus, naik daripada 87.2 peratus pada Mac 2025. Secara keseluruhan, kedua-dua syarikat penerbangan mencatat faktor muatan penumpang sebanyak 90.6 peratus.
