Tiada sebarang percanggahan ditemui dalam peperiksaan lisan Bahasa Inggeris GCE peringkat ‘O’ pada 15 Julai, dengan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) mengesahkan soalan yang dipaparkan pada skrin calon adalah sama dengan skrin pemeriksa.

Sebelum ini, beberapa individu memuat naik komen dalam talian mendakwa mereka disoal dengan soalan yang berbeza daripada apa yang telah disediakan semasa tempoh persediaan.

Isu tersebut mula tular selepas satu hantaran di laman media sosial, Reddit, mendakwa beberapa calon dipaparkan soalan yang berbeza ketika tempoh persediaan selama 10 minit, berbanding soalan yang dibacakan pemeriksa semasa penilaian.

Beberapa pengguna turut mendakwa berdepan percanggahan serupa pada hari ketiga peperiksaan lisan GCE ‘O’ itu dijalankan.

Secara keseluruhan, peperiksaan berkenaan berlangsung selama lima hari.

Ketika menjawab pertanyaan daripada The Straits Times (ST), SEAB pada 18 Julai memaklumkan ia telah menjalankan siasatan selepas menerima maklum balas tersebut.

Lembaga itu turut menyatakan bahawa terdapat juga komen dalam talian daripada individu yang mengakui mereka pada mulanya tersalah baca soalan.

“Bagi setiap sesi peperiksaan lisan, hanya satu versi video dan soalan peperiksaan yang dikeluarkan melalui sistem Peperiksaan Elektronik (e-Examination) SEAB ke semua pusat peperiksaan. 

“Oleh itu, semua calon dan pemeriksa lisan mengakses video peperiksaan dan kandungan ujian yang sama.

“Selain itu, proses pengesahan telah ditetapkan sebelum sesi peperiksaan lisan bermula bagi memastikan video dan soalan yang betul dipaparkan pada skrin,” kata jurucakap SEAB.

Peperiksaan lisan tersebut mengambil masa keseluruhan selama 20 minit.

Ia merangkumi 10 minit tempoh persediaan bersendirian, di mana pelajar diberi kesempatan menonton klip video pendek dan membaca teks rangsangan yang disediakan, sebelum membuat nota persediaan.

Ini diikuti dengan 10 minit interaksi lisan, di mana pelajar akan menjalani sesi perbualan dengan pemeriksa berdasarkan tema yang sama ketika sesi persediaan awal tersebut.

Ujian lisan menyumbang sebanyak 20 peratus daripada keseluruhan gred Bahasa Inggeris GCE ‘O’ pelajar.

Sekitar 5,000 calon menduduki peperiksaan lisan Bahasa Inggeris GCE ‘O’ pada 15 Julai lalu.

SEAB berkata semua calon akan dinilai secara adil berdasarkan jawapan yang telah disediakan dan selaras dengan penilaian yang ditetapkan.

“Pemeriksa lisan terdiri daripada guru berpengalaman dan telah menyelesaikan latihan penyelarasan sebelum ditugaskan bagi peperiksaan lisan, untuk menjamin penilaian yang adil dan konsisten terhadap semua calon.

“SEAB akan terus memantau pengendalian peperiksaan berkenaan dan kekal komited untuk memastikan pengalaman penilaian yang adil bagi semua calon,” tambah jurucakap itu.