Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sebotol minuman tenaga harga sampai $40! Tapi ramai masih sanggup beli

Minuman penghidratan Prime yang dilancar influencer YouTube raih status viral
Aug 11, 2023 | 2:55 PM
MINUMAN MAHAL: Di mesin layan diri di Suntec, air minuman Prime dilihat berharga antara kira-kira $15 dengan $40.
MINUMAN MAHAL: Di mesin layan diri di Suntec, air minuman Prime dilihat berharga antara kira-kira $15 dengan $40. - Foto ERVINA MOHD JAMIL

Sejenis minuman penghidratan yang dilancarkan pempengaruh YouTube telah meraih status viral dalam kalangan remaja.

Mereka sanggup membeli minuman itu walaupun harganya tinggi, sampai sesetengah mereka mendapatkan bantuan ibu bapa untuk membelinya.

Tinjauan Berita Harian (BH) menunjukkan, minuman Prime itu secara umumnya berharga antara kira-kira $15 dengan $40 bagi sebotol 500ml dan boleh didapati di mesin layan diri dan kedai-kedai tertentu di sini.

Menjawab pertanyaan BH, pemilik kedai The SGFR Store yang membekalkan minuman Prime, Encik Haikkel Firdhaus, berkata sejak mereka membawa masuk minuman itu akhir tahun lalu, kebanyakan pelanggan mereka terdiri daripada Generasi Z dan Generasi Alpha.

Seramai 80 peratus merupakan pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah manakala lagi 20 peratus merupakan pelajar politeknik atau mereka yang sedang menjalani Perkhidmatan Negara (NS).

Kedai The SGFR Store menawarkan harga pelajar bagi beberapa jenis minuman Prime iaitu $10 bagi sebotol 500ml.

Menurut kedai itu, air termahal ialah Prime Lemonade edisi terhad yang berharga $200.

Menyifatkan sambutan kepada minuman penghidratan itu sebagai di luar jangkaan, Encik Haikkel berkata ibu bapa memainkan peranan dalam mendorong pembelian itu.

‘Ibu bapa yang membeli minuman penghidratan Prime untuk anak-anak mereka merangkumi sebahagian besar jumlah pelanggan, lebih-lebih lagi pada hujung minggu. Ibu bapa mungkin datang dengan anak-anak mereka atau mengunjungi kedai dengan sendiri untuk memberi kejutan kepada anak-anak mereka dengan minuman tersebut,” katanya.

Antara yang telah membelikan anak mereka minuman Prime ialah Encik Mohammed Rosli, 40 tahun.

Beliau telah membeli minuman Prime berharga $20 untuk anaknya berusia sembilan tahun, “sekali hanya untuk mencuba rasa air”.

“Anak terpengaruh dengan promosi oleh Youtuber terkenal...(saya) tidak akan belikan lagi sebab tidak ada keperluan,” ujarnya.

“Selepas rasa air, air dan harga tidak padan sama sekali. Terlalu mahal,” tambahnya.

Dihubungi BH, pakar pemakanan, Cik Adlyn Farizah menggesa agar pelanggan muda dan ibu bapa berhati-hati dan memeriksa kandungan khasiat apa juga minuman.

“Sebarang produk yang ditambah vitamin patut secara ideal diperiksa oleh pengamal kesihatan dahulu dan diambil dengan hati-hati,” ujarnya.

Beliau akur bahawa ada yang ingin mencuba minuman ini kerana perasaan seronok yang dikaitkan, dan berkata tidak mengapa sekiranya ia memenuhi bajet masing-masing dan diambil secara sederhana.

Namun, sekiranya mereka ingin mendapatkan minuman bagi tujuan penghidratan, Cik Adlyn berkata air putih sahaja pun sudah memadai.

Vitamin dalam air tersebut juga boleh diperoleh dengan mudah menerusi pelbagai makanan yang dimakan setiap hari, ujarnya.

Menurut agensi berita Reuters, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat pada Julai berkata ia sedang menyemak keprihatinan yang diutarakan Ketua Majoriti Senat, Encik Chuck Schumer.

Encik Schumer berkata bahawa Prime, jenama minuman yang dimulakan bintang YouTube Logan Paul dan KSI, patut disiasat disebabkan kandungan kafein tinggi dalam air tenaga itu, menambah bahawa ia juga dipasarkan kepada kanak-kanak.

Prime Energy mengandungi 200 miligram kafein dalam 12 auns, bersamaan enam tin Coca-Cola atau hampir dua Red Bull.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg