Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sedia LPA dan wasiat bagi permudah urusan keluarga 

Nov 24, 2024 | 5:30 AM
Pencipta kandungan digital, usahawan dan personaliti setempat, Encik Sujimy Mohamad, telah membuat permohonan bagi Surat Kuasa Berkekalan (LPA) di dalam talian pada tahun 2024 ini.
Pencipta kandungan digital, usahawan dan personaliti setempat, Encik Sujimy Mohamad, telah membuat permohonan bagi Surat Kuasa Berkekalan (LPA) di dalam talian pada tahun 2024 ini. - FOTO ihsan SUJIMY MOHAMAD

Apabila pencipta kandungan digital, usahawan dan personaliti popular, Encik Sujimy Mohamad, 55 tahun, membuat wasiatnya pada 2014, beliau fikir bahawa beliau sudah membuat perancangan harta yang mencukupi buat ahli keluarganya.

Dengan membuat wasiat berpandukan pengesahan seorang peguam, beliau mahu memastikan agar isterinya, seorang personaliti televisyen, Cik Haslinda Ali, 53 tahun, dan tiga anak perempuannya berusia antara 16 thun dengan 22 tahun, tidak menghadapi sebarang kerumitan seandainya sesuatu yang malang menimpanya.

Dalam Islam, seseorang dibenarkan membuat wasiat untuk mengagihkan sehingga satu pertiga daripada hartanya kepada sesiapa yang beliau kehendaki, termasuklah kepada orang yang bukan waris atau untuk kebajikan.

Justeru, dengan adanya wasiat, Encik Sujimy telah melantik seseorang yang beliau percayai untuk menguruskan dan mempercepatkan proses tuntutan harta pusaka.

Wasiat pula berbeza daripada faraid kerana faraid memastikan pembahagian harta mengikut syariah, manakala wasiat memberi ruang untuk memenuhi hasrat peribadi seseorang mengenai hartanya.

Selain itu, Encik Sujimy juga telah membuat pencalonan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) sebagai sebahagian daripada perancangan legasi awalnya.

Namun, apabila Encik Sujimy mencecah usia 55 tahun, pengasas syarikat penerbitan Screenbox itu, sedar bahawa beliau juga perlu membuat perancangan legasi sekiranya beliau jatuh sakit dan kehilangan keupayaan mental semasa beliau masih bernyawa.

Justeru, pada tahun 2024 ini, beliau membuat permohonan bagi Surat Kuasa Berkekalan (LPA) di dalam talian selepas berbincang tentangnya bersama isteri dan anak sulungnya.

LPA ialah dokumen undang-undang yang membolehkan seseorang melantik orang lain berusia sekurang-kurangnya 21 tahun secara sukarela untuk membuat keputusan bagi mereka dalam soal kebajikan peribadi dan ehwal harta, sekiranya mereka hilang upaya mental pada suatu hari nanti. Tidak seperti wasiat, LPA berkuat kuasa semasa seseorang masih hidup.

“Saya mula mendapat tahu tentang LPA daripada arwah bapa mentua saya memandangkan isteri dan saya masing-masing merupakan Penerima Kuasa dan Penerima Kuasa gantinya. Tetapi, ia tidak terlintas dalam fikiran saya untuk membuat LPA ketika itu.

“Memandangkan kami suami isteri pernah dilantik sebagai Penerima Kuasa, ia agak mudah bagi saya berbicara tentang isu LPA bersama isteri dan juga anak sulung saya kerana mereka tahu, saya suka buat perancangan awal bagi apa sahaja perkara. Maka, saya fikir ini adalah masa yang baik untuk membuat permohonan LPA kerana saya masih waras,” kata Encik Sujimy.

Beliau juga kini sedang mempertimbangkan untuk membuat permohonan Perancangan Penjagaan Awal (ACP) – dengan beliau merancang proses penjagaan kesihatan semasa dan masa depannya, membolehkan wakil berkomunikasi dengan orang tersayang dan pasukan penjagaan kesihatannya sekiranya beliau hilang keupayaan mental atau tidak mampu membuat keputusan sendiri.

Membuat permohonan LPA dan ACP adalah selaras dengan prinsip Islam dalam menggalakkan umat Islam merancang dan mempersiapkan masa depan mereka, menurut Pengarah (Dasar & Pembangunan Agama) Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Ustaz Mahmoud Mathlub Sidek.

“Jawatankuasa Fatwa 2019 berpendapat bahawa seorang Muslim harus memastikan bahawa rancangan yang dibuat akan dapat melindungi kebajikan dan kesejahteraannya sepanjang hayatnya,” jelas Ustaz Mahmoud Mathlub Sidek.

Beliau mengingatkan bahawa permohonan LPA dan ACP hanya berkuat kuasa apabila seseorang itu masih hidup.

Selepas seseorang itu meninggal dunia, ia tidak lagi berkesan dan alat legasi Islam yang lain akan berkuat kuasa untuk pembahagian harta pusaka.

Katanya, alat legasi itu merangkumi semangat faraid – dengan memastikan kebajikan orang di bawah tanggungan seseorang terpelihara.

Permohonan LPA dan ACP juga melangkaui kepentingan diri sendiri. Ini kerana ia merangkumi nilai-nilai Islam iaitu budi, penghormatan, belas kasihan, dan kepekaan terhadap perasaan orang-orang di sekeliling mereka, kata Ustaz Mahmoud Mathlub Sidek.

Di samping itu, sebagai sebahagian daripada etika perancangan harta pusaka Islam, umat Islam digalakkan menderma harta pusaka kepada ahli keluarga yang mungkin tidak layak sebagai penerima faraid.

Ini termasuk keluarga besar mereka, golongan yang memerlukan atau tujuan kebajikan seperti Wakaf Masyarakat Singapura (WMS).

Lantaran itu, Encik Sujimy menggalakkan orang ramai mengadakan perbincangan terbuka dan berterus terang tentang keinginan mereka lebih awal demi meringankan beban pada kemudian hari.

Rancang legasi anda hari ini.

Imbas kod QR yang tertera untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang Surat Kuasa Berkekalan, Perancangan Penjagaan Awal dan alat perancangan legasi lain di:

My Legacy@LifeSG
(go.gov.sg/planlegacytoday).

(SEKILAS)

Cara membuat LPA

Pilih Penerima Kuasa anda. Lantik seseorang yang anda percayai untuk membuat keputusan tentang perihal kebajikan peribadi, dan/atau harta benda dan hal ehwal bagi pihak anda sekiranya anda (Pemberi Kuasa) kehilangan keupayaan mental. Anda dan Penerima Kuasa anda mesti berusia 21 tahun ke atas.

Buat permohonan melalui dalam talian

Melalui portal MyLegacy@LifeSG (go.gov.sg/planlegacytoday). Isi butiran peribadi anda, Penerima Kuasa anda dan Penerima Kuasa ganti anda (jika ada) dan kuasa yang anda benarkan. Penerima Kuasa dan Penerima Kuasa ganti anda (jika ada) akan dimaklumkan menerusi SMS untuk menerima pelantikan melalui portal Pejabat Penjaga Awam Dalam Talian (OPGO).

Sahkan LPA anda

Pengeluar Sijil (CI) memastikan anda memahami tujuan, skop kuasa yang diberikan kepada Penerima Kuasa dan tiada penipuan atau tekanan terlibat. CI boleh terdiri daripada pakar perubatan yang diakreditasikan oleh OPGO, pakar psikiatri atau peguam yang berdaftar dengan bayaran antara $25 dengan $500.

Periksa status permohonan anda

Jika tiada bantahan diterima dalam tempoh penantian tiga minggu wajib, LPA anda akan didaftarkan pada hari bekerja seterusnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg