Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Siap sedia dengan Surat Kuasa Berkekalan dan Perancangan Jagaan Lanjut sebelum hilang upaya mental

Rencana ini dibawakan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD), Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) Dan Kementerian Kesihatan (MOH)
Oct 27, 2024 | 5:30 AM
Cik Bona Salim membuat keputusan untuk membuat Surat Kuasa Berkekalan (LPA) dan Perancangan Jagaan Lanjut (ACP) kerana beliau sudah tidak mempunyai ahli keluarga.
Cik Bona Salim membuat keputusan untuk membuat Surat Kuasa Berkekalan (LPA) dan Perancangan Jagaan Lanjut (ACP) kerana beliau sudah tidak mempunyai ahli keluarga. - Foto BH oleh KHALID BABA

Tinggal sendirian di sebuah flat studio Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), membuatkan warga senja, Cik Bona Salim, 72 tahun, terdorong untuk sediakan payung sebelum hujan.

Dek khuatir sekiranya beliau kehilangan keupayaan mentalnya tanpa sesiapa di sisi untuk menjaganya, beliau mengambil keputusan untuk membuat permohonan Surat Kuasa Berkekalan (LPA) apabila beliau mendapat tahu tentang LPA selepas membaca satu risalah di sebuah kelab masyarakat berdekatan rumahnya di Pasir Ris.

Setahu Cik Bona, yang juga mengalami pelbagai jenis sakit kronik seperti masalah jantung dan kolesterol, beliau juga telah membuat Perancangan Jagaan Lanjut (ACP) semasa membuat permohonan LPA.

LPA ialah dokumen undang-undang yang membolehkan seseorang melantik orang lain berusia sekurang-kurangnya 21 tahun secara sukarela untuk membuat keputusan bagi mereka dalam soal kebajikan peribadi dan ehwal harta, sekiranya mereka hilang upaya mental pada suatu hari nanti.

ACP pula merupakan proses perancangan bagi penjagaan kesihatan semasa dan masa depan seseorang, membolehkan individu itu berkomunikasi dengan orang tersayang dan pasukan penjagaan kesihatannya tentang pilihan penjagaan kesihatan mereka.

LPA dan ACP saling melengkapi untuk menyokong pilihan Cik Bona apabila beliau tidak lagi dapat membuat keputusan kerana kehilangan keupayaan mental.

Melalui kedua-dua ACP dan LPA, ‘wakil dilantik’ Cik Bona diberi kuasa dan lebih terjamin apabila membuat keputusan dalam soal kebajikan peribadi, hartanah dan hal ehwal.

“Walaupun saya berdikari dan tidak suka bergantung pada sesiapa, saya sedar, sekiranya, saya hilang upaya mental, sekurang-kurangnya ada orang yang boleh membantu menyampaikan hasrat saya dari segi penjagaan perubatan dan juga membantu menguruskan harta saya,” kata Cik Bona, pesara yang pernah bertugas di syarikat telekomunikasi dan penyedia khidmat pos.

Cik Bona yang dilahirkan kurang upaya di bahagian kaki kanannya akibat virus polio sudah tidak mempunyai keluarga. Ibu bapa angkatnya sudah meninggal dunia ketika beliau remaja, manakala adik perempuan angkatnya yang kurang daya penglihatan meninggal dunia pada 2000.

Memandangkan beliau sudah tidak mempunyai ahli keluarga dan teman-teman baiknya juga merupakan warga senja, beliau memilih seorang anak perempuan teman baiknya sebagai ‘wakil dilantik’.

Mengulas tentang manfaat LPA, Cik Bona berkata:

“Saya, sebagai umat Islam, tidak ragu-ragu membuat permohonan LPA dan ACP kerana saya menganggapnya sebagai satu bentuk perancangan dan persiapan untuk masa depan saya. Dengan adanya LPA, saya mempersiapkan diri untuk perkara yang tidak dijangka.”

Berdasarkan fatwa yang dibuat di Singapura, LPA dan ACP adalah satu bentuk perancangan yang dibenarkan di bawah undang-undang Islam dan selaras dengan matlamat syariah. Ia juga selaras dengan prinsip Islam yang menggalakkan umat Islam merancang dan mempersiapkan masa depannya.

Mengulas tentang manfaat LPA, pengarah syarikat guaman FND Legal, advocate dan solicitor, Cik Nureliza Syahidain Effendy, berkata:

“Dengan adanya dokumen LPA, wakil dilantik boleh mengurus bagi pihak pemberi kuasa apabila pemberi kuasa itu disahkan doktor bahawa beliau sudah hilang keupayaan mental.

“Mempunyai LPA juga memberi ketenangan fikiran kepada ahli keluarga dan menjimatkan kos buat orang tersayang individu yang hilang keupayaan mental. Ini kerana tanpa LPA, mereka perlu membuat permohonan di mahkamah untuk pelantikan Timbalan. Keseluruhan proses mungkin mengambil sekitar enam hingga sembilan bulan atau melebihi setahun bagi kes rumit,” jelas Cik Nureliza.

Beliau menambah bahawa LPA adalah salah satu aspek penting dalam perancangan legasi kerana ia bertujuan memberi individu dan orang tersayang mereka ketenangan fikiran.

“Membuat permohonan LPA adalah sebahagian daripada perancangan legasi kerana kehidupan mempunyai banyak ketidakketentuan dan anda perlu memastikan bahawa anda mampu membayar perbelanjaan perubatan anda selagi anda masih bernyawa,” kata Cik Nureliza.

Katanya lagi, LPA berlainan daripada wasiat kerana LPA hanya akan berkuat kuasa apabila individu masih bernyawa tetapi sudah hilang upaya mental, manakala wasiat akan berkuat kuasa selepas individu itu meninggal dunia.

Bagi menggalakkan rakyat Singapura membuat LPA dan ACP, pemerintah telah membuat proses permohonannya lebih mudah sejak beberapa tahun lalu.

Malah, sejak November 2022, permohonan LPA telah dipermudahkan melalui portal Pejabat Penjaga Awam Dalam Talian (OPGO). OPGO mudah dan selamat dan individu boleh mengakses OPGO pada bila-bila masa dan di mana sahaja dengan Singpass dan peranti Internet. Draf ACP juga boleh dilakukan dalam talian melalui laman My Legacy.

Bayaran permohonan pensijilan berharga $70 tidak dikenakan dan tawaran itu akan dilanjutkan sehingga akhir Mac 2026.

Matlamatnya untuk mendapatkan 240,000 orang berumur 50 tahun ke atas agar membuat LPA mereka menjelang 2025.

Bagi mereka yang berminat mendapat maklumat lanjut tentang LPA, ACP dan alat perancangan legasi lain, sila lungsuri laman web go.gov.sg/planlegacytoday.

Surat Kuasa Berkekalan (LPA) dan Perancangan Jagaan Lanjutan (ACP) membantu anda menerima penjagaan yang anda inginkan, memudahkan keluarga dan orang tersayang anda.

Manfaat LPA

* Membolehkan seseorang yang cekap dan dipercayai membuat keputusan peribadi untuk bertindak apabila anda kehilangan keupayaan mental pada suatu hari nanti.

* Meringankan tekanan dan kesukaran yang dihadapi oleh orang tersayang daripada perlu memohon perintah Timbalan, jika anda kehilangan keupayaan mental tanpa LPA disediakan.

Manfaat ACP

* Pesakit menerima penjagaan kesihatan yang disesuaikan dengan nilai dan keutamaan mereka. Ramai pesakit yang telah membuat ACP mereka berupaya mengelak daripada rawatan perubatan yang tidak perlu atau terlalu agresif.

* Ahli keluarga individu yang telah membuat ACP kurang mengalami kebimbangan, kurang tekanan dan lebih jelas tentang keputusan yang perlu dibuat.

* Pasukan penjagaan kesihatan mempunyai pemahaman lebih baik tentang mutu hidup yang anda harapkan dan boleh bertindak demi kepentingan terbaik anda.

Rancang legasi anda hari ini. Imbas kod QR untuk mengetahui lebih lanjut tentang Surat Kuasa Berkekalan, Perancangan Penjagaan Awal dan alat perancangan legasi lain di My Legacy@LifeSG (go.gov.sg/planlegacytoday)

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg