Mengucapkan selamat tinggal bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi jika haiwan peliharaan tersayang itu sudah lama di sisi tuannya dalam suka dan duka.
Justeru, dalam usaha membolehkan pemilik haiwan peliharaan memberi lambaian selamat jalan terakhir kepada ‘si bulu cantik’ mereka dalam cara yang baik dan terurus, pasangan suami isteri, Cik Malena Marzuki dan Encik Yusman Yusoff, memutuskan untuk mengasaskan bersama sebuah syarikat yang menawarkan khidmat pengebumian untuk haiwan peliharaan pada 2021.
Dipanggil Pet Burial Service, syarikat itu menyediakan khidmat pengebumian bukan hanya untuk kucing, malah haiwan peliharaan lain seperti arnab, hamster, ikan dan kura-kura.
Pelanggan mereka terdiri daripada kedua-dua Muslim dan bukan Muslim.
Cik Malena berkongsi dengan Berita Minggu (BM) bahawa sebagai pencinta kucing, beliau dapat memahami kesedihan yang dialami individu yang kehilangan haiwan yang sudah lama mereka dibela, dan oleh itu, menawarkan khidmat pengebumian.
“Bagi sesetengah pemilik, haiwan peliharaan sudah menjadi ibarat ‘bayi’ atau ‘anak’ mereka kerana haiwan itu sudah membesar dengan tuannya dan mereka amat menyayangi dan memahami keletahnya.
“Biasanya, bagi haiwan peliharaan yang sudah mati, haiwan itu akan dibalut dengan kain atau dimasukkan dalam plastik dan kemudian dibuang. Tetapi, tidak semua pemilik mahu membuang atau membakar haiwan kesayangan mereka dan oleh itu, kami menawarkan khidmat ini,” kata beliau.
Sebagai sebahagian proses, Cik Malena berkata beliau lazimnya menasihatkan pemilik agar membalut haiwan peliharaan yang sudah mati dengan kain dan mengesat darah, sekiranya ada, dengan tisu basah.
Beliau tidak menggalak pemilik untuk memandikan haiwan yang sudah mati kerana ini akan mempercepatkan proses pereputan.
Haiwan tersebut kemudian boleh diletakkan dalam kotak berserta daun pandan dan kapur barus untuk mengelakkan serangga daripada menghampirinya sebelum diambil untuk pengebumian.
Jika ia haiwan hidupan dalam air, seperti ikan dan kura-kura, beliau akan meminta pemilik menyimpan haiwan itu di dalam beg plastik ‘ziplock’ sebelum diletakkan dalam peti ais.
Sebelum ditanam, haiwan itu akan dikeluarkan dari beg plastik tersebut.
Menurut pasangan tersebut, haiwan-haiwan yang mereka uruskan akan ditanam di kawasan tanah persendirian.
Pengebumian haiwan sudah mati di tempat awam dilarang di Singapura, namun pengebumian di kawasan hartanah persendirian boleh dilakukan.
Cik Malena berkata kos khidmat yang ditawarkan syarikatnya bergantung pada saiz dan berat haiwan.
Contohnya, kos bagi haiwan bersaiz tapak tangan adalah antara $110 hingga $140 manakala haiwan dengan berat sekitar 35 kilogram boleh mencecah $500.
Sepertimana individu berasa sedih apabila kehilangan orang tersayang, pemergian haiwan peliharaan kesayangan juga meninggalkan kesan besar dalam kehidupan seseorang.
Ini sehinggakan ada pemilik yang tidak dapat atau berasa sukar melepaskan haiwan peliharaan mereka apabila Cik Malena atau suami datang ke rumah mereka untuk mengambil haiwan tersebut, kata Cik Malena.
Namun, kematian adalah sebahagian daripada kehidupan dan Cik Malena akan berusaha memberi kata-kata penguat semangat kepada si pemilik.
“Saya selalu pesan mereka supaya berselawat (jika pelanggan Muslim) dan ingatkan bahawa mereka telah melakukan yang sebaik mungkin untuk menjaga haiwan peliharaan mereka, dan insya-Allah haiwan itu akan membantu mereka di akhirat nanti,” kata beliau.
“
“Bagi sesetengah pemilik, haiwan peliharaan sudah menjadi ibarat ‘bayi’ atau ‘anak’ mereka kerana haiwan itu sudah membesar dengan tuannya dan mereka amat menyayangi dan memahami keletahnya. Biasanya, bagi haiwan peliharaan sudah mati, haiwan itu akan dibalut dengan kain atau dimasukkan dalam plastik dan kemudian dibuang. Tetapi, tidak semua pemilik mahu membuang atau membakar haiwan kesayangan mereka dan oleh itu, kami menawarkan khidmat ini.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg