Parti Kemajuan Singapura (PSP) telah mengemukakan notis usul semakan sempadan pilihan raya pada 7 Ogos untuk menghendaki pemerintah mengkaji semula proses penentuan sempadan pilihan raya bagi meningkatkan ketelusan dan keadilan proses semakan sempadan pilihan raya untuk semua parti politik.
Berikut sedutan perbahasan notis usul itu antara Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing, dengan Anggota Parlimen (AP) pembangkang, Profesor Madya Jamus Lim (GRC Sengkang).
Profesor Madya Jamus Lim: Saya harus menjelaskan bahawa sebenarnya terdapat dua bentuk gerrymandering (manipulasi penentuan sempadan pilihan raya): disengajakan dan tidak disengajakan. Menteri Chan memberi jaminan kepada Dewan ini bahawa sebenarnya tidak ada gerrymandering yang disengajakan yang dilakukan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC).
Walaupun jika kita menerima kedudukan ini, ia tidak mengecualikan kemungkinan yang sangat nyata bahawa pergerakan semula jadi dalam pengundi, 200,000 sebenarnya, seperti yang Menteri Chan baru sahaja berkongsi, mungkin secara tidak sengaja menimbulkan hasil gerrymandering yang tidak disengajakan.
Itulah sebabnya saya mencadangkan memperkenalkan alat yang disokong secara saintifik untuk menghasilkan peta penanda aras sebagai rujukan.
Persoalan saya ialah, apakah bantahan PMO (Pejabat Perdana Menteri) untuk mengarahkan EBRC untuk menerima pendekatan ini di Singapura memandangkan ia telah digunakan, bukan sahaja dalam teori, tetapi dalam amalan, oleh bidang kuasa di tempat lain.
Encik Chan Chun Sing: Tuan Speaker, bolehkah saya mengemukakan perkara-perkara berikut? Yang pertama, saya tidak pasti saya pakar untuk membezakan perkara yang anda rujuk sebagai disengajakan berbanding tidak disengajakan.
Seperti yang saya nyatakan dalam ucapan saya, tidak ada sistem yang boleh mendakwa bahawa ia sempurna mahupun memuaskan hati semua orang yang mungkin memilih untuk bertanding dalam pilihan raya.
Persoalannya ialah apakah tujuan EBRC dan kepada siapa ia mesti berkhidmat? Persoalan asas di hadapan kita hari ini ialah: Haruskah EBRC memenuhi kepentingan parti politik? Atau adakah kepentingan EBRC adalah untuk memenuhi kepentingan rakyat kita? Patutkah EBRC sebagai matlamat utamanya memenuhi kepentingan politik parti yang berbeza, atau haruskah matlamat utama EBRC untuk memenuhi kepentingan Singapura dan rakyat Singapura? Dan apakah matlamat Singapura dan warga Singapura?
Pertama, adalah untuk mempunyai AP (Anggota Parlimen) yang boleh menjaga mereka. Kedua, mempunyai AP yang boleh mewakili mereka. Ketiga, mempunyai Parlimen yang boleh membentuk sebuah pemerintah berfungsi yang dapat membawa Singapura maju ke hadapan, dan menjaga Singapura dan rakyat Singapura.
Saya tidak akan membincangkan sama ada ia disengajakan atau tidak disengajakan kerana saya tidak dapat memahami definisi dan pembezaan anda antara kedua-duanya tetapi saya ingin mengulangi satu perkara. Kami tidak memberi EBRC dan EBRC tidak mempunyai akses kepada keputusan pengundian.
Kami tidak tahu apakah keputusan pengundian atau corak pengundian 200,000 orang yang telah berpindah, kami juga tidak mempunyai data tentang bagaimana pengundi baru dalam setiap kitaran pilihan raya akan mengundi.
Matlamat kami adalah untuk memastikan setiap divisyen secara kasarnya adalah mikrokosma Singapura supaya kita mempunyai pilihan raya dan apabila pilihan raya dijalankan, orang ramai mempertimbangkan kepentingan negara agar kita tidak mempunyai kepentingan sektor yang mentakrifkan divisyen tertentu seperti negara lain.
Kami terbuka kepada semua jenis alat, seperti disarankan Encik Jamus. Namun… salah satu idea anda, saranan anda agak menarik. Saya fikir secara asasnya anda bersetuju dengan kami, namun anda mungkin juga tidak menyukai hasilnya. Ini kerana setiap divisyen pilihan raya harus menjadi mikrokosme Singapura.
Anda mengatakan kami sebenarnya harus menggunakan model matematik untuk menyesuaikan penduduk agar ia mencerminkan corak nasional. Pertama sekali, jika kami menggunakan pilihan pengundian orang ramai untuk melaraskan model, tidakkah anda bersetuju dengan kami bahawa itu adalah gerrymandering?
Kedua, sekiranya kami benar-benar melakukan itu, dan setiap divisyen adalah sama, maka setiap divisyen harus memberikan bahagian undi kepada penyandang yang lebih kurang sama. Adakah itu hasil yang kita perjuangkan?
Jadi saya fikir, berhati-hati tentang cara dan perkara yang kita pelajari daripada orang lain, dan cara kita menggunakan model. Kami terbuka untuk meneroka semua jenis model.
Tetapi pada penghujung hari, adakah keadilan ditentukan oleh proses, atau adakah keadilan ditentukan oleh keputusan sama ada ia menguntungkan saya atau tidak? Saya rasa itu persoalan yang perlu kita fikirkan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg