Topik diikuti
Pergi ke BHkuSee Leng: Manfaat usaha perkasa AI dalam sektor utama boleh meluas ke seluruh ekonomi
Singapura mempertaruhkan penggunaan alat kecerdasan buatan (AI) untuk mentransformasi sektor pembuatan maju, logistik, penjagaan kesihatan dan ketersambungan, sekali gus merangsang pertumbuhan di seluruh ekonomi negara.
Keempat-empat sektor penting itu secara bersama menyumbang lebih 40 peratus kepada hasil dalam negeri kasar (GDP) Singapura dan menjadi sasaran utama usaha negara memperluas penggunaan AI yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 pada Februari.
Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga & Perusahaan), Dr Tan See Leng, berkata transformasi keempat-empat sektor berimpak tinggi itu berpotensi memberi manfaat kepada industri berkaitan serta ekonomi yang lebih luas.
Dr Tan berkata demikian dalam satu panel bertajuk Membentuk Strategi Pembangunan dalam Landskap Global Dinamik sempena Minggu IP Singapura 2026 pada 26 Ogos.
Perbincangan yang dikendalikan Ketua Eksekutif Pejabat Harta Intelek Singapura, Encik Tan Kong Hwee, itu tertumpu kepada bagaimana negara bertindak balas terhadap ketidaktentuan yang semakin meningkat, yang dicirikan oleh ketegangan geopolitik, halangan perdagangan dan perubahan teknologi yang pesat.
Dr Tan berkata Singapura telah menghabiskan beberapa dekad membangunkan bakat dan ekosistem dalam empat sektor utama berkenaan, sekali gus memberikan negara pemahaman yang lebih baik mengenai bidang yang menawarkan peluang.
Namun, sejauh mana AI dapat meningkatkan pertumbuhan juga bergantung pada keupayaan setiap syarikat untuk mentransformasi dan mereka bentuk semula aliran kerja mereka, tambah beliau.
Singapura perlu terus berinovasi serta membangunkan kumpulan bakat, modal dan kepakarannya, kata Dr Tan, sambil merujuk kepada saiz penduduk negara yang kecil, iaitu sekitar enam juta orang.
Menteri Industri, Sains, Teknologi dan Inovasi Kemboja, Encik Hem Vanndy, yang turut berucap dalam panel itu, berkata AI menawarkan risiko dan peluang kepada negaranya.
Kemboja, yang sedang melalui proses transformasi digital, perlu memastikan perniagaan dan pekerjanya mampu mengikuti perubahan tersebut.
Sebagai contoh, menjelang akhir 2026, semua perkhidmatan awam dijangka dihubungkan dengan platform digital. Namun, perniagaan juga mesti mampu memanfaatkan platform tersebut, kata Encik Vanndy, sambil menambah bahawa pemerintah akan menyediakan sokongan bagi membantu mereka melalui proses peralihan itu.
“Kami berusaha keras untuk memastikan pembangunan kemahiran tersedia. Ia bukan sekadar mengenai penggunaan dan pemindahan teknologi, tetapi juga bagaimana mempersiapkan tenaga kerja untuk mengendalikan AI serta meningkatkan produktiviti dalam proses tersebut,” kata Encik Vanndy.
Usaha kedua-dua negara memperluas penggunaan teknologi digital itu berlaku di tengah-tengah ketegangan geopolitik, peningkatan halangan perdagangan dan perubahan rantaian bekalan global.
“Perkara utama yang kekal sama ialah... komitmen untuk terus terbuka,” kata Dr Tan.
