Topik diikuti
Pergi ke BHkuUjian usia biologi baharu guna data kohort Asia bagi ukur seberapa cepat anda menua
Mereka yang masih merokok mempunyai usia biologi 3.6 tahun lebih tua berbanding individu yang tidak merokok, manakala individu obes pula boleh mempunyai usia biologi 4.2 tahun lebih tua berbanding mereka yang mempunyai indeks jisim tubuh (BMI) normal.
Berbeza dengan usia kronologi, iaitu tempoh seseorang telah hidup, usia biologi menunjukkan sejauh mana tubuh seseorang berfungsi dan mengalami proses penuaan.
Sementara itu, peserta kajian di Singapura yang kerap bersenam didapati mempunyai usia biologi sekitar 1.25 tahun lebih muda berbanding mereka yang tidak pernah bersenam atau bersenam kurang daripada sekali sebulan.
Pengambilan makanan berasaskan tumbuhan pula dikaitkan dengan usia biologi sekitar setahun lebih muda berbanding mereka yang melaporkan tidak mengambil makanan berasaskan tumbuhan.
Dapatan tersebut diperoleh menerusi kajian Kajian Penuaan Longitudinal Singapura (SLAS) yang dijalankan Universiti Nasional Singapura (NUS) selama lebih sedekad. Dapatan itu turut menjadi asas kepada ujian usia biologi yang diperkenalkan ke pasaran sekitar enam minggu lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat kesihatan berasaskan ketepatan Lucence Group, Dr Tan Min-Han, berkata pihaknya bekerjasama dengan penyelidik tempatan untuk membangunkan ujian tersebut, yang pertama dibina berdasarkan kumpulan kajian penduduk Asia.
Ujian itu membolehkan pengguna mengetahui kadar penuaan tubuh mereka, sekali gus menyediakan satu lagi kaedah untuk membantu individu mengurus kesihatan dengan lebih baik.
Menurutnya, sedang Lucence, yang diasaskan pada 2016 sebagai syarikat permulaan daripada Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star), terus mengumpulkan data pengguna, keputusan ujian akan menjadi semakin tepat dari semasa ke semasa apabila model tersebut diperhalusi.
Ujian usia biologi AgeQ, yang memberikan gambaran semasa mengenai biomarker darah berkaitan penuaan sihat, kini ditawarkan oleh beberapa penyedia penjagaan kesihatan swasta di Singapura, termasuk IHH Healthcare.
Berucap di satu acara pada 11 Ogos sempena pengenalan ujian tersebut, Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga & Perusahaan), Dr Tan See Leng, berkata alat penilaian kesihatan berasaskan data itu merupakan contoh menggalakkan tentang bagaimana kerjasama sektor awam dan swasta dapat merapatkan jurang antara penyelidikan dengan aplikasi praktikal yang menyumbang kepada penuaan lebih sihat.
“Hidup bukan tentang berapa banyak nafas yang kita ambil... tetapi tentang memaksimumkan detik-detik yang membuat kita tercungap-cungap,” katanya.
Beliau menambah bahawa inovasi baharu dan usaha pencegahan kesihatan mungkin membantu individu sepertinya dan rakan-rakan seangkatannya untuk suatu hari nanti menjalani kehidupan yang sihat sehingga usia 125 tahun.
Inovasi itu diperkenalkan ketika Singapura berdepan dengan populasi yang semakin menua dan memasuki fasa masyarakat super-penuaan.
Bagi menangani cabaran nasional itu, Singapura baru-baru ini memperuntukkan $350 juta bagi Cabaran Utama Memaksimumkan Panjang Usia yang Sihat dan Berjaya di bawah pelan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan (RIE) 2030.
Inisiatif tersebut bertujuan membangunkan penyelesaian bagi menangani cabaran utama berkaitan penuaan.
Ujian usia biologi AgeQ dibangunkan berdasarkan data daripada kumpulan kajian penduduk Asia dan kemudiannya disahkan menggunakan data lebih 300,000 individu di Amerika Syarikat dan Britain.
Penyelidik NUS menjejaki lebih 5,400 rakyat Singapura selama lebih sedekad bagi memahami kaitan antara perubahan fisiologi dengan kesihatan jangka panjang.
Kajian itu menunjukkan bagaimana pilihan gaya hidup, termasuk tabiat merokok dan pemakanan, boleh mempengaruhi usia biologi seseorang.
Dalam kenyataan media pada 11 Ogos, Lucence berkata penerjemahan dapatan kajian kepada aplikasi praktikal mencerminkan kekuatan ekosistem penyelidikan dan inovasi Singapura, yang menghimpunkan tiga rakan kongsi – NUS, A*Star dan Lucence.
Dr Tan berkata usaha itu membawa penyelidikan mengenai penuaan lebih dekat kepada pencapaian hasil kesihatan pencegahan pada peringkat penduduk.
Dari sudut ekonomi pula, ia menyediakan laluan bagi harta intelek yang dibangunkan di Singapura untuk disahkan, dikomersialkan dan berpotensi diterima pakai di pasaran antarabangsa.
Berdasarkan dapatan SLAS, Lucence juga bercadang meneroka biomarker tambahan yang boleh membantu mengenal pasti risiko penyakit kardiovaskular dan barah yang mungkin muncul apabila seseorang semakin berusia.
Ujian AgeQ kini sudah tersedia di Malaysia, Hong Kong dan Indonesia.
