Topik diikuti
Pergi ke BHkuSee Leng: S’pura belum perlukan simpanan kecemasan tenaga meski konflik Timur Tengah berlarutan
See Leng: S’pura belum perlukan simpanan kecemasan tenaga meski konflik Timur Tengah berlarutan
Pemerintah telah ambil langkah awal bina beberapa lapisan perlindungan bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil.
See Leng: S’pura belum perlukan simpanan kecemasan tenaga meski konflik Timur Tengah berlarutan
Singapura masih belum perlu menggunakan simpanan kecemasan tenaga negara meskipun konflik di Timur Tengah, khususnya di Selat Hormuz, serta gangguan bekalan gas di rantau ini menimbulkan ketidaktentuan terhadap bekalan tenaga global.
Menteri Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga dan Perusahaan), Dr Tan See Leng, berkata Singapura telah mengambil langkah awal untuk membina beberapa lapisan perlindungan bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil.
Ini termasuk menyediakan kemudahan simpanan gas asli cecair (LNG) dan diesel sebagai langkah berjaga-jaga.
Malah, beliau berkata simpanan yang disediakan sebelum tercetusnya perang Russia-Ukraine itu masih belum perlu digunakan sehingga kini, meskipun ketegangan geopolitik dan gangguan bekalan tenaga semakin meningkat.
“Ketika saya ke Parlimen pada Mac tahun ini, saya berkata bahawa kita mempunyai simpanan, dan orang bertanya berapa banyak simpanan kita, tetapi saya tidak dapat mendedahkan jumlahnya.
“Namun, jaminan yang saya berikan ketika itu ialah kita masih belum menggunakannya, dan saya boleh beritahu anda hari ini bahawa kita masih belum menyentuhnya,” katanya dalam satu wawancara bersama media di The Treasury pada 13 November.
Dr Tan berkata keupayaan Singapura menangani ketidaktentuan bekalan tenaga bergantung kepada strategi mempelbagaikan sumber bekalan, termasuk negara yang membekalkan gas serta jenis bahan api yang boleh digunakan untuk menjana tenaga.
Beliau berkata langkah menubuhkan GasCo sebagai agensi pusat untuk mendapatkan bekalan gas bagi seluruh Singapura juga terbukti bermanfaat.
Ini kerana ia membolehkan negara bertindak pantas mendapatkan bekalan daripada pelbagai rantau apabila konflik di Selat Hormuz menimbulkan gangguan.
Singapura kini mendapatkan bekalan gas daripada Australia, Amerika Syarikat, Afrika termasuk Mozambique, serta Timur Tengah, sambil meneroka kemungkinan mendapatkan bekalan dari Amerika Latin, tambahnya.
Dr Tan berkata syarikat penjana tenaga juga diwajibkan memastikan loji jana kuasa mereka boleh beralih daripada gas asli kepada hidrogen, dan menggunakan diesel sekiranya kedua-dua sumber itu tidak dapat diperoleh.
Menekankan peri pentingnya keselamatan tenaga bagi Singapura, beliau berkata keperluan memastikan keselamatan tenaga kini sama pentingnya dengan isu bekalan air yang pernah menjadi persoalan kewujudan Singapura.
“Sebagaimana air merupakan isu yang menyentuh soal kewujudan kita 30 hingga 40 tahun lalu, hari ini tenaga pula menjadi isu yang sama penting bagi Singapura,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa meskipun Singapura telah membangunkan keupayaan mendapatkan air melalui NEWater dan penyahgaraman, proses tersebut serta keperluan industri berteknologi tinggi seperti pembuatan semikonduktor tetap bergantung kepada bekalan tenaga yang mencukupi.
Bagi sebuah negara kecil yang tidak mempunyai sumber semula jadi, Dr Tan berkata Singapura perlu memastikan bekalan tenaga kekal selamat, boleh dipercayai dan pada harga berpatutan, sambil mengurangkan pelepasan karbon untuk mencapai sasaran sifar bersih menjelang 2050.
Namun, beliau menegaskan bahawa usaha menyahkarbon tidak boleh dilaksanakan tanpa mengambil kira kesan terhadap kos tenaga dan daya saing ekonomi.
“Kita akan menyahkarbonkan ekonomi, tetapi kita tidak akan melakukannya tanpa mengira kos,” katanya.
Dr Tan berkata pemerintah perlu mengambil pendekatan pragmatik kerana teknologi seperti penangkapan dan penyimpanan karbon masih memerlukan skala operasi lebih besar sebelum kosnya menjadi lebih berdaya saing.
Beliau berkata gas asli dijangka terus memainkan peranan penting sebagai sumber tenaga asas yang boleh menjamin bekalan elektrik secara berterusan, terutama ketika tenaga solar, angin dan hidroelektrik berdepan batasan bergantung kepada keadaan cuaca dan musim.
Singapura, katanya, juga mempunyai kekangan dari segi keluasan tanah untuk memperluaskan penggunaan tenaga solar serta membina kemudahan penyimpanan bateri berskala besar.
Meskipun pemerintah terus meneroka tenaga bersih, termasuk hidrogen hijau, ammonia hijau, tenaga geoterma dan teknologi nuklear termaju, Dr Tan berkata tiada satu pun sumber tenaga boleh dijadikan sandaran tunggal.
Beliau menambah bahawa usaha mempelbagaikan sumber tenaga dan meningkatkan keupayaan berdikari perlu berjalan seiring dengan matlamat memastikan harga tenaga kekal mampu ditanggung pengguna dan perniagaan.
“Kita perlu memastikan keselamatan tenaga, kepelbagaian sumber dan penyahkarbonan, tetapi pada masa sama saya juga mahu memastikan tenaga kekal mampu dimiliki oleh semua,” katanya.