Singapura belum memutuskan sama ada mahu menggunakan tenaga nuklear bagi menjana bekalan elektrik negara.

Ini memandangkan teknologi Reaktor Modul Kecil (SMR) masih belum mencapai tahap daya maju komersial, kata Menteri Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga dan Perusahaan), Dr Tan See Leng.

Bercakap dalam satu wawancara bersama media di The Treasury pada 13 November, Dr Tan berkata pemerintah sedang meneliti perkembangan teknologi nuklear dengan teliti.

Ini termasuk kemajuan dalam aspek keselamatan yang berpotensi menjadikan reaktor generasi baharu lebih sesuai untuk negara kecil seperti Singapura.

“Kami benar-benar menelitinya dengan sangat rapi; kami mengamati setiap perkembangan dalam bidang tenaga nuklear dengan penuh teliti.

“Jika ia benar-benar menjadi kenyataan, maka itu akan menyumbang sejumlah peratus (kepada keperluan tenaga negara),” kata Dr Tan.

Berbeza dengan loji nuklear konvensional berskala besar, SMR merupakan reaktor yang lebih kecil dan modular, dengan unit terkecil yang sedang dibangunkan mempunyai saiz sekitar empat padang bola sepak.

Menurut Dr Tan, antara perkembangan penting dalam teknologi ini ialah penggunaan bahan api TRISO, sejenis bahan api nuklear yang mempunyai beberapa lapisan perlindungan bagi mengurangkan risiko kebocoran bahan radioaktif sekiranya berlaku kerosakan pada reaktor.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Setiap zarah bahan api TRISO mempunyai teras uranium kecil yang disaluti beberapa lapisan bahan seperti grafit, karbida dan seramik, sebelum kira-kira 12,000 zarah tersebut digabungkan menjadi sebutir bebola sebesar bola biliard.

Setiap modul pula boleh mengandungi sekitar 420,000 bebola bahan api itu, dengan sistem keselamatan pasif yang membolehkan bebola yang telah digunakan dikeluarkan secara automatik dan digantikan dengan yang baharu, tambahnya.

“Keseluruhan kemungkinan berlakunya peleburan teras reaktor (meltdown) adalah amat, amat rendah; saya tidak boleh mengatakan sifar, tetapi kemungkinannya sangat rendah,” katanya.

Dr Tan berkata teknologi SMR terkecil yang sedang dibangunkan boleh mempunyai saiz sekitar empat padang bola sepak, manakala reka bentuk lebih kecil yang dikenali sebagai reaktor mikro juga sedang mula muncul.

Sesetengah reaktor mikro berkapasiti sekitar satu megawatt boleh dimuatkan dalam sebuah kontena, malah perkembangan lebih baharu membolehkan unit sedemikian dipasang pada lori kontena yang boleh bergerak di lebuh raya.

Perkembangan pantas ini menjadi antara sebab Singapura belum mengenal pasti lokasi bagi kemungkinan pembinaan kemudahan nuklear, kerana pilihan teknologi yang tersedia mungkin berubah pada masa hadapan.

Beliau menambah bahawa loji nuklear konvensional generasi pertama dan kedua tidak sesuai untuk Singapura, justeru perhatian diberikan kepada potensi teknologi SMR yang lebih kecil.

“Itu sebab pada hari ini, kami belum membuat keputusan (tentang lokasinya) kerana teknologi ini masih terus berkembang,” kata Dr Tan.