Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sekitar 100,000 kenderaan telah pasang OBU, ERP 2.0 bakal mudahkan pemandu

Mulai 1 Okt, pemandu yang terlepas bayar ERP tidak dikena bayaran $10 jika lunas dalam lima hari
Aug 30, 2024 | 4:58 PM
Pemandu kenderaan akan diberi masa lima hari dari tarikh khidmat pesanan ringkas (SMS) dihantar untuk bayar ERP yang terlepas.
Pemandu kenderaan akan diberi masa lima hari dari tarikh khidmat pesanan ringkas (SMS) dihantar untuk bayar ERP yang terlepas. - Foto fail

Sekitar 100,000 kenderaan telah dipasang peranti dalam kenderaan, atau On-Board Unit (OBU), sistem Bayaran Elektronik Jalan Raya berteraskan satelit (ERP 2.0).

Jumlah itu membentuk 10 peratus daripada populasi kenderaan.

Memberitahu pihak media pada 30 Ogos, Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, berkata Singapura “sedang membuat kemajuan yang baik” dan “berada di landasan untuk menyelesaikan pemasangan ini menjelang 2026.”

Dengan adanya ERP 2.0, ia bakal memudahkan pemandu jalan raya, terutama pemandu yang tidak mempunyai baki yang mencukupi dalam kad tunai, atau terlupa memasukkan kad tunai ke dalam unit dalam kenderaan (IU) mereka.

Mulai 1 Oktober 2024, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan memperkenalkan pemberitahuan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan tempoh tangguh selama lima hari kepada pemandu yang terlepas membayar Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP).

Menurut LTA dalam satu kenyataan pada 30 Ogos, jika pembayaran dibuat dalam tempoh ini, pemandu tidak perlu membayar bayaran pentadbiran $10.

Namun, jika mereka terlepas membayarnya pada tempoh tangguh tersebut, LTA akan mengeluarkan surat pentadbiran itu kepada pemandu yang perlu membayar ERP berserta bayaran pentadbiran $10 itu.

Saman $70 akan dikenakan jika gagal berbuat demikian.

Ini akan menggantikan proses sekarang, apabila pemandu yang gagal membayar ERP apabila melepasi gantri akan menerima surat memberitahu mereka supaya membuat pembayaran serta bayaran pentadbiran $10.

Bercakap di pejabat Kementerian Pengangkutan (MOT), Encik Chee turut berkongsi bahawa pelaksanaan terbaru ini saling menguntungkan, atau win-win outcome, bagi kededua LTA dan pemandu.

“Bagi LTA, kami dapat mengelak kesulitan, dan meningkatkan produktiviti kami. Kami tidak perlu memproses dan menghantar surat.

“Bagi pemandu, saya pasti semua orang akan mengalu-alukan pengecualian bayaran pentadbiran ini,” ujar beliau.

Bayaran pentadbiran $10 itu dikenakan sejak sistem ERP dimulakan pada 1998.

Menurut Encik Chee, setiap tahun “terdapat setengah juta (500,000) surat itu dihantar.”

“Jika kita boleh membantu mengurangkan bilangan itu serendah mungkin, seperti sifar, adalah ideal.

“Ia akan membantu semua orang menjimatkan masa dan menjimatkan wang,” kata beliau, sambil menambah bahawa tidak mengenakan kos penghantaran surat lebih baik kerana sumber yang ada dapat digunakan bagi memberi tumpuan kepada bidang kerja lebih penting.

Dengan ERP 2.0, LTA dapat mengurangkan kos pemprosesan dalaman dan tidak perlu menghantar surat dan mengenakan bayaran, kata Encik Chee.

LTA sedang membangunkan ciri baru pada OBU yang akan memberitahu pemandu tentang pembayaran ERP yang terlepas.

Ia akan juga memudahkan proses pembayaran ERP yang terlepas secara langsung.

Ciri ini akan dilaksanakan pada pertengahan 2025. Butir lanjut akan dikeluarkan.

“Yang penting, dengan OBU, kita boleh melakukan lebih banyak perkara yang akan membawa manfaat kepada pemandu,” ujar Encik Chee.

Beliau menambah pihaknya mendapat maklum balas baik daripada pemandu tentang ciri-ciri terbaru OBU yang lain, seperti memberi amaran mengenai lorong bas dan juga kamera had laju.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemandu yang telah memasang OBU, khususnya pengguna awal.

“Maklum balas mereka sangat membantu kami memperhalusi dan menambah baik proses tersebut,” kata Encik Chee.

“Yang penting, dengan OBU, kita boleh melakukan lebih banyak perkara yang akan membawa manfaat kepada pemandu. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemandu yang telah memasang OBU, khususnya pengguna awal. Maklum balas mereka sangat membantu kami memperhalusi dan menambah baik proses tersebut.”
Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg