Pemerintah akan membelanjakan sehingga $900 juta sepanjang lapan tahun untuk mempertingkat rangkaian pengangkutan awam Singapura termasuk pembelian lebih banyak bas, umum Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat.
Pelancaran Program Peningkatan Rangkaian Bas (BCEP) bertujuan memperbaiki perkhidmatan bas dan meningkatkan perkhidmatan sedia ada bagi memenuhi keperluan penumpang, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Penduduk di estet perumahan Yishun, Punggol dan Tampines merupakan kelompok pertama yang akan memanfaatkan program ini.
Antara tumpuan terbaru ini merangkumi pembelian bas baru, peningkatan prasarana serta penambahan laluan bas.
Menurut Encik Chee, peningkatan ini penting untuk menyokong pembangunan perumahan baru yang berada di estet perumahan matang dan baru di pelbagai bahagian Singapura.
“Di estet perumahan matang dan juga beberapa estet baru, terdapat perumahan baru yang mungkin lebih jauh dari pusat bandar dan pusat pengangkutan seperti pusat tukaran bas dan stesen MRT.
“Dengan faktor ini, kami percaya BCEP mampu membantu penduduk,” ujar beliau.
Bercakap kepada wartawan pada 30 Julai di pejabat Kementerian Pengangkutan, Encik Chee mengongsi daya usaha BCEP yang akan dijalankan tidak lama lagi.
Antaranya ialah membeli lebih banyak bas dan merekrut lebih ramai pemandu bas dan pegawai untuk penyelenggaraan bas.
Beliau menyatakan: “Prasarana harus diperbaiki supaya kami dapat memperkenal lebih banyak bas dan laluan bas yang baru.”
Satu contoh pembaharuan yang akan dilakukan pada hujung 2024 ialah mengadakan penambahan khidmat bas bagi penduduk Toa Payoh East ke stesen MRT Caldecott.
Ini akan memudahkan rangkaian perjalanan bagi penduduk kawasan itu ke stesen MRT Laluan Thomson-East Coast dan Laluan Circle.
Selain itu, LTA akan memperkenalkan lebih banyak bas laluan ekspres pada waktu sibuk supaya dapat mengatasi kesesakan di laluan kereta api MRT.
Di bawah daya usaha ini, Khidmat Langsung ke Kawasan Bandar (CDS) yang merupakan khidmat laluan ekspres sehala dari estet perumahan ke kawasan bandar akan dilancarkan di Punggol pada sekitar Oktober 2024.
LTA juga akan memperbaiki khidmat bas di estet perumahan baru.
Perkhidmatan bas akan dilaksanakan dengan lebih cepat pada estet tersebut bagi memenuhi keperluan penduduk yang paling awal berpindah ke kawasan berkenaan.
Ini termasuk memperkenalkan perkhidmatan bas baru yang menghubungkan penduduk di pembangunan Flat Bina Ikut Tempahan (BTO) baru di Yishun East ke stesen MRT Khatib pada akhir September 2024.
Selain daripada menambah perkhidmatan bas ini, LTA juga akan memperkenalkan perkhidmatan bas Express Feeder, yang akan mengurangkan perhentian lantas membawa penduduk ke tempat tujuan dengan lebih cepat.
Ini khusus bagi penduduk yang tinggal jauh dari kawasan pusat pengangkutan atau pusat bandar.
Antara kawasan yang akan melalui pembaharuan ini ialah di Tampines North. Sebuah perkhidmatan bas akan membawa penumpang kawasan itu ke stesen MRT Tampines menerusi perkhidmatan Express Feeder bermula dari Disember 2024.
Dengan adanya BCEP ini, Encik Chee percaya ia akan membantu usaha Singapura dalam menawarkan rangkaian pengangkutan yang lebih baik kepada penduduk.
Selain daripada BCEP, antara usaha Singapura untuk memperbaiki rangkaian pengangkutan adalah dengan menambah dua lagi laluan MRT yang akan datang iaitu Laluan Rentas Pulau (CRL) dan Laluan Daerah Jurong (JRL) serta menambah tiga lagi stesen Laluan Circle, menjadikannya lingkaran lengkap sebelum 2026.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg