SPH Logo mobile
Langgan|

Sejarah hitam ketika remaja jadi pendorong jadi sukarelawan

Sejarah hitam ketika remaja jadi pendorong jadi sukarelawan

Apr 14, 2025 | 5:30 AM

Sejarah hitam ketika remaja jadi pendorong jadi sukarelawan

Pengarah Bersekutu Elite Dreams Institute dan pengasas Elitza Empowerment, Cik Hasliza Hashim, merupakan antara 32 individu cemerlang yang diiktiraf dalam Perjumpaan Hari Raya Menteri 2025 di Hotel Pan Pacific pada 4 April.
Pengarah Bersekutu Elite Dreams Institute dan pengasas Elitza Empowerment, Cik Hasliza Hashim, merupakan antara 32 individu cemerlang yang diiktiraf dalam Perjumpaan Hari Raya Menteri 2025 di Hotel Pan Pacific pada 4 April. - Foto BH oleh KHALID BABA

Lingkungan usia 13-17 tahun ketika Cik Hasliza Hashim menuntut di sekolah menengah merupakan titik hitam dalam kehidupannya apabila beliau terlibat dalam kegiatan samseng dan terjerumus dalam pengaruh negatif rakan sebaya.

Setelah melihat satu-persatu rakannya ‘dicekup’ masuk ke dalam rumah jagaan dan pemulihan remaja perempuan berisiko tinggi, Singapore Girls’ Home, atas kesalahan masing-masing, terdetik kesedaran dalam dirinya itu bukanlah hala tuju yang ingin beliau teruskan.

Menyingkap pengalamannya melalui zaman remaja, ibu enam anak berusia 43 tahun itu berkata: “Ketika melalui fasa itu, saya akui saya agak nakal, memandangkan sifat semula jadi saya yang suka meneroka dan mengalami sesuatu.

“Namun saya tersentak dan sedar bahawa mungkin masa berseronok telah berlalu kerana dalam kalangan lima sahabat rapat, hampir semua ‘sudah masuk’ (dalam Girls’ Home).”

Atas kesedaran itulah beliau bertekad ingin mengubah diri dan menjadi sukarelawan di beberapa pertubuhan – seperti Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) dan Mendaki – selepas tamat sekolah menengah.

Beliau juga terdorong memperkasa belia agar dapat mengatasi cabaran masing-masing dengan menyediakan wadah untuk meluahkan perasaan.

Sehubungan itu, beliau memulakan inisiatif Elitza Empowerment bagi mendorong pengaruh positif dalam diri individu.

Atas usahanya, beliau salah seorang daripada 32 individu cemerlang yang diiktiraf dalam Perjumpaan Hari Raya Menteri 2025 di Hotel Pan Pacific pada 4 April atas sumbangannya kepada masyarakat Melayu/Islam.

Berkongsi kepada Berita Harian (BH), Cik Hasliza berkata peluang melawat penghuni Girls’ Home sebagai sukarelawan lebih 20 tahun lalu membuka matanya kerana beliau mendapati golongan itu ada kalanya memerlukan tempat meluahkan perasaan.

“Saya sedikit sebanyak memahami perasaan amarah yang ada dalam diri penghuni ini kerana saya pernah melaluinya.

“Bermulanya dari saat itu, saya sedar perbezaan yang boleh saya lakukan dalam diri seseorang… dan setiap kali saya berinteraksi (dengan mereka), saya juga cuba belajar hikmah di sebalik kisah itu buat diri saya,” kata beliau.

Pengarah Bersekutu Elite Dreams Institute itu, firma yang antara lain menawarkan kursus latihan profesional bagi individu dan korporat, menjelaskan beliau meraih tahap kepuasan tinggi setelah sedikit sebanyak memperbaiki kehidupan individu lain.

Tidak cukup dengan kesan terhadap individu, beliau meluaskan pengaruh sukarelawannya dengan melibatkan diri dalam program Keluarga Akrab atau Family Excellence Circle (FEC) kelolaan Mendaki pada 2023.

Di bawah program itu, anggota keluarga banduan dibekalkan dengan cara mengendalikan proses sokongan berasaskan nilai keagamaan dan kemasyarakatan untuk membantu mereka kembali ke pangkuan masyarakat dengan lebih yakin.

Menjawab pertanyaan BH, Mendaki berkata 93 keluarga telah meraih manfaat daripada FEC sejak 2019.

Cik Hasliza menjelaskan apabila beliau mula terlibat sama dalam program FEC, beliau mendapati sebahagian besar individu berada dalam lingkungan usianya dan mereka “sukar mencari jalan kembali yang betul”.

“Saya mula seronok apabila mengenali mereka (dengan lebih mendalam) dan saya cuba mencari peluang bagi mereka – ada daripada mereka saya ambil bekerja dalam kumpulan anggota model syarikat saya.

“Saya bantu mereka tingkatkan tahap keyakinan dan dari situ, anda dapat lihat perbezaan dalam diri mereka,” ujarnya, sambil menambah beliau sejauh ini telah membimbing lima kohort sejak terlibat sama dalam FEC.

Justeru, beliau berkata perbezaan dalam diri individu dapat dirungkaikan kepada tahap kecekalan dan bagaimana seseorang belajar dari kesilapan, di samping sokongan orang tersayang.

“Tugas saya (sebagai sukarelawan) adalah untuk memudahkan, mendengar dan membimbing individu ini mencari formula kejayaan masing-masing.

“Formula ini adalah berdasarkan pada individu itu tersendiri – sebagai contoh apa yang mereka inginkan pada masa hadapan,” ujar beliau.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg