Interaksi bersama budak lelaki berusia 10 tahun di salah satu rumah tumpangan kanak-kanak di sini lebih 25 tahun lalu masih terpahat dalam sanubari Cik Norsharifah Omar.
Apa tidaknya. Buat pertama kali dalam hidupnya, seorang budak menghampiri beliau dan menunjukkan surat yang menyatakan ibu bapanya berada dalam penjara.
Ibu empat anak berusia 47 tahun itu berkata: “Budak lelaki itu datang kepada saya dan membawa surat dari penjara. Dia mengatakan ibu bapanya dalam sana.”
Cik Norsharifah tersentak seketika kerana tidak tahu apa yang harus dilakukan – apatah lagi beliau ketika itu berusia 17 tahun dan masih menuntut di Politeknik Ngee Ann dalam kursus Diploma Perakaunan.
Dari situlah berputiknya impian Cik Norsharifah menjadi pegawai penjara bagi memahami dan membantu ibu bapa yang berada dalam penjara berhubung semula dengan anak-anak atau orang yang tersayang di luar tirai besi.
Beliau antara 32 penerima yang dinobat sebagai individu cemerlang bagi mengiktiraf sumbangan kepada masyarakat Melayu/Islam semasa Perjumpaan Hari Raya Menteri 2025 di Hotel Pan Pacific pada 4 April.
Di samping menjadi pegawai penjara, beliau menabur bakti sebagai Relawan M Kuasa Tiga (M³) @Tampines dengan meningkatkan kehidupan keluarga Melayu/Islam rentan yang tinggal di flat sewa di bawah Project Dian@M³ sejak 2019.
Menyingkap detik apabila baru berjinak-jinak menjadi sukarelawan, beliau mula berkhidmat bersama Mendaki pada 1997.
Pada tahun yang sama, kakitangan Mendaki yang menguruskan sukarelawan memaklumkan kepadanya mengenai peluang menjadi sukarelawan di salah satu rumah tumpangan kanak-kanak – sesuatu yang beliau terima tanpa berfikir dua kali.
“Apabila saya mula-mula terlibat dengan rumah tumpangan itu, saya tidak pasti sebab kanak-kanak itu berada di situ tetapi saya rasa sangat teruja (dapat berbakti).
“Saya akan ke sana sekitar dua hingga tiga kali seminggu untuk membantu mereka dengan kerja sekolah,” ujarnya.
Dari situlah beliau bertemu budak lelaki berusia 10 tahun itu pada lewat 1990-an, sekali gus mencetus dan membulatkan tekadnya menjadi pegawai penjara.
Beliau menghentikan keterlibatannya sebagai sukarelawan bersama Mendaki sekitar 2000 untuk memberi tumpuan kepada tugasan sendiri sebelum merealisasikan impiannya menjadi pegawai penjara pada 2002 – yang disandangnya sehingga kini, ujarnya.
Cik Norsharifah berkata beliau kini menguruskan Kompleks Penjara Selarang Institusi S2 dengan menyelia individu di bawah Skim Pelepasan Kerja (WRS).
Skim itu membenarkan banduan belajar, menjalani latihan kemahiran atau bekerja dalam masyarakat dan diselia pada penghujung tempoh hukuman mereka.
Pengalaman bekerja dan menyelia banduan memberi impak kepada individu sedemikian secara langsung untuk memperbaiki dan meningkatkan mutu kehidupan, kata beliau, di samping menjadi wadah “bermuhasabah diri” baginya mempertingkatkan kemahiran diri.
“Saya tidak mengharapkan individu, baik banduan mahupun mereka yang saya bantu sebagai sukarelawan, memberi apa-apa kata penghargaan. Tetapi apabila saya menerimanya (kata-kata penghargaan), ia sangat menyentuh hati,” jelas beliau.
Mentelah beliau ingin kotakan hasrat mempertingkatkan diri sendiri dengan mengambil ijazah Sarjana Muda (Sambilan) dalam Kerja Sosial di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
Beliau kini bakal menamatkan jurusan itu sebagai pelajar tahun akhir dan mengambil kursus itu kerana ia “barangkali juga akan memanfaatkan masyarakat sekali gus”, ujarnya.
“Saya lakukan semua ini bukanlah untuk menerima anugerah atau pengiktirafan.
“Usaha ini adalah usaha secara berpasukan. Ia mengiktiraf seluruh komuniti sukarelawan dan bukan saya semata-mata,” kata beliau dengan nada penuh rendah hati.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg