Topik diikuti
Pergi ke BHkuSejarawan Sharom Ahmat meninggal dunia
Sejarawan Sharom Ahmat meninggal dunia
Sejarawan Sharom Ahmat meninggal dunia
Sejarawan yang pernah aktif dengan Majlis Pusat, Dr Sharom Ahmat, telah meninggal dunia pada 23 April pada usia 86 tahun.
Dilahirkan pada September 1939, Allahyarham dikenali atas sumbangannya sebagai seorang ahli sejarah dan kerjayanya yang panjang dalam pendidikan tinggi, termasuk memegang beberapa jawatan kepimpinan penting di Universiti Singapura dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Allahyarham memperoleh ijazah kepujian kelas pertama dalam jurusan Sejarah dari Universiti Singapura pada 1962 - orang Melayu pertama yang mencapai kepujian tersebut di institusi itu, lapor New Straits Times.
Beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dalam Sejarah Amerika di Universiti Brown, Rhode Island, Amerika Syarikat, sebelum memperoleh ijazah kedoktoran dalam Sejarah Asia Tenggara dari Sekolah Pengajian Oriental dan Afrika, Universiti London, pada 1969.
Allahyarham memulakan kerjaya akademiknya di Universiti Singapura pada 1963 sebagai penolong pensyarah dalam Jabatan Sejarah sebelum dinaikkan pangkat menjadi pensyarah kanan dan naib dekan Fakulti Sastera dan Sains Kemasyarakatan.
Pada 1973, Allahyarham menyertai USM sebagai profesor sejarah dan Dekan Sekolah Kemanusiaan. Dua tahun kemudian, Allahyarham dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) pertama universiti itu, dan turut memegang jawatan kanan dalam hal ehwal akademik, serta penyelidikan dan pembangunan.
Mantan wartawan kanan akhbar Berita Harian, Encik Mohd Raman Daud, dalam satu komentar pada Oktober 2025 menulis bahawa Allahyarham pernah aktif dengan Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu (MP) yang dibentuk oleh lebih 40 badan Melayu berdaftar, sekitar 1969.
“MP telah mengadakan ‘Seminar Penyertaan Masyarakat Melayu Dalam Pembangunan Negara’. Ia telah menghimpunkan segelintir cendekia Melayu ketika itu, termasuk Dr Sharom. Beliau dikatakan antara ‘tulang belakang’ seminar itu dan terlibat dalam gerakan pendidikan, termasuk merasmikan sebuah kelas di bekas teratak di Kampung Nekad, Onraet Road pada 1972,” tulis Encik Mohd Raman dalam komentar yang disiarkan di laman Berita Mediacorp itu.
“Sayangnya, bakti Dr Sharom tidak lama di sini. Beliau telah melangkah ke Seberang Tambak, terlibat dalam rangka rekayasa beberapa institusi penting termasuk Universiti Sains Malaysia. Kepakarannya juga dimanfaatkan di Universiti Brunei Darussalam,” tulisnya lagi.
Di luar peranan pentadbirannya, Allahyarham juga dikenali dengan penulisan akademiknya, terutamanya mengenai sejarah Kedah dan hubungan Kedah-Siam.
Allahyarham, yang asalnya warga Singapura dan kemudian menjadi warga Malaysia, meninggalkan isteri, Fakhitah Darus, dua anak lelaki, Azmi dan Azlan, serta lima cucu.
