Topik diikuti
Pergi ke BHkuSekatan di sempadan, keadaan berubah antara cabaran hantar bantuan kemanusiaan ke Gaza
Sekatan di sempadan, keadaan berubah antara cabaran hantar bantuan kemanusiaan ke Gaza
Zaqy: Kerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir, badan bukan pemerintah; perluas akses S’pura salur bantuan
Sekatan di sempadan, keadaan berubah antara cabaran hantar bantuan kemanusiaan ke Gaza
Usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza kekal menjadi cabaran bagi pertubuhan bantuan, dengan sekatan terhadap kemasukan dan pergerakan bekalan serta keadaan yang sering berubah-ubah di sempadan menjejas penghantaran bantuan.
Pada masa yang sama, cabaran yang berubah-ubah di lapangan – apabila banjir berlaku misalnya – menambah kepada cabaran yang dialami pasukan pertubuhan bantuan di sana, kata Ketua Eksekutif Mercy Relief, Encik Leon Yip.
Mercy Relief (MR) dan tiga lagi pertubuhan bantuan setempat iaitu Humanity Matters (HM), Rahmatan Lil Alamain Foundation (RLAF) dan Persatuan Palang Merah (SRC) kini menganggotai rangkaian SG bagi Kemanusiaan yang disokong pemerintah untuk memperkukuh usaha Singapura menyalurkan bantuan ke Gaza.
Menambah, Encik Yip berkata akses bantuan kemanusiaan kekal sebagai salah satu kekangan terbesar yang dihadapi oleh pertubuhan bantuan yang berusaha membantu rakyat Palestin di Gaza. Selain itu, bencana alam juga menghambat kerja kemanusiaan, kata beliau.
“Sekatan terhadap kemasukan dan pergerakan bekalan menyebabkan bantuan yang disalurkan tidak dapat diberikan secara konsisten pada setiap masa.
“Cabaran... bukan sahaja melibatkan keperluan yang timbul akibat konflik yang sedang berlaku, bahkan Gaza juga tidak terkecuali daripada bencana lain, seperti banjir yang sedang melanda ketika ini. Jadi, keperluan tersebut muncul dan berubah dengan pantas, malah menjadi semakin berganda,” kata Encik Yip.
“Jenis dan bentuk bantuan yang diperlukan juga mungkin berubah.... justeru, kami perlu memahami keadaan yang dihadapi rakan-rakan kami di sana dan menyesuaikan usaha bantuan kami sewajarnya,” jelas Encik Yip.
Penasihat Khas (Kemanusiaan) Humanity Matters (HM), Encik Hassan Ahmad, berkata pergerakan bekalan bantuan ke Gaza masih tertakluk kepada keadaan yang berubah-ubah di lintasan sempadan.
“Meskipun begitu, bekalan bantuan masih dapat dihantar masuk setiap hari menerusi lintasan Kerem Shalom ketika ini. Lintasan Rafah pula beroperasi secara berselang-seli bagi membolehkan pesakit dan mereka yang cedera dipindahkan keluar dari Gaza,” katanya.
Memberi contoh, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RLAF, Encik Adnan Abdul Hamid, berkata hanya kira-kira 50 lori sehari dibenar memasuki Gaza dari Rafah pada masa ini, berbanding sekitar antara 300-400 lori sebelumnya.
Menambah, Encik Adnan berkata surat persefahaman yang ditandangani RLAF dengan ERC antaranya memperluas jangkauan bantuan kepada keluarga Palestin di Mesir, seperti yang berada di Rafah dan Sinai Utara.
Encik Yip, Encik Hassan dan Encik Adnan berkongsi pengalaman mereka semasa bercakap dengan media setempat dari Rafah, Mesir melalui panggilan video pada 13 November.
Mereka, serta wakil SRC, berada di sana bersama Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, antaranya dalam persiapan untuk menyalurkan bantuan kepada Gaza menerusi SG bagi Kemanusiaan.
Sementara itu, SRC memperuntuk dana tambahan $200,000 untuk Gaza menjelang musim sejuk tidak lama lagi.
Pengarah Kanan Pejabat Setiausaha Agung SRC, Encik Sahari Ani, berkata bantuan tersebut membolehkan rakan pelaksana di lapangan seperti Persatuan Bulan Sabit Mesir (ERC), memperluas usaha sedia ada.
Dalam pada itu, Encik Hassan berkata kehadiran pertubuhan bantuan dari Singapura telah diterima dengan cara yang menggalakkan oleh ERC dan pihak berkuasa di sana.
Namun, perbincangan lanjut diperlukan supaya usaha bantuan daripada Singapura dapat terus diperluas, katanya.
HM, antara lain, selesai mengagihkan selimut musim sejuk kepada warga Palestin yang dipindahkan ke Hospital Palestin di Kaherah, Mesir. Ia juga merancang mengagihkan khemah dan kanvas kepada penduduk Gaza yang terjejas akibat hujan lebat dan banjir.
Sementara itu, Mercy Relief, antara lain, akan menyalurkan makanan panas, pek makanan serta bantuan sokongan mata pencarian kepada 7,800 warga Palestin di Gaza dari November 2026 hingga Februari 2027.
Ini termasuk 850 kanak-kanak dan guru di empat ruang pembelajaran.
Encik Zaqy berkata kerjasama dengan ERC dan badan bukan pemerintah di Mesir boleh membantu memastikan bantuan disalurkan dengan lebih berkesan.
Ini termasuk perkongsian protokol untuk menghantar ke Gaza bekalan yang disumbangkan rakyat Singapura, kata beliau.