Perkhemahan lazimnya dikaitkan dengan kegiatan luar seperti memancing, mendaki atau berkayak.
Namun, bagi keluarga Cik Ridya Wati Mohamed Ibrahim yang sering kali berkhemah di tepi pantai semasa hujung minggu panjang, ia merupakan masa untuk mereka mengeratkan hubungan dan menonton ‘wayang’.
Cik Ridya, 43 tahun, baru-baru ini memuat naik satu gambar ke kumpulan Facebook dipanggil, ‘Camping Singapore’, yang menerima sambutan hangat daripada netizen.
Gambar itu menunjukkan keluarganya menonton filem yang dipancarkan ke atas kain putih menggunakan sebuah projektor di persekitaran pantai.
Apabila dihubungi Berita Harian (BH), beliau, yang bertugas sebagai pegawai pentadbiran eksekutif itu berkata keluarganya memang suka beriadah di luar rumah.
Mereka berkhemah di Pantai East Coast pada 9 Ogos dan bermalam di sana sehingga keesokan hari.
Cik Ridya berkata keluarganya mendapat ilham untuk menonton ‘wayang’ menggunakan projektor daripada video-video perkhemahan di TikTok.
Sejak gambar itu dimuat naik ke kumpulan Facebook tersebut pada 12 Ogos, ia sudah mempunyai lebih 2,500 ‘like’, lebih 50 komen dan disiarkan orang lain lebih 350 kali.
“Saya tidak sangka yang gambar itu boleh menjadi tular. Niat saya adalah untuk berkongsi sahaja kerana kumpulan Facebook itu menggalak ahlinya untuk berkongsi atau melibatkan diri dengan ahli lain,” ujar Cik Ridya dalam satu panggilan telefon.
Beberapa ahli kumpulan itu juga ingin tahu bagaimana keluarga Cik Ridya boleh menggunakan projektor yang memerlukan tenaga kuasa di tepi pantai.
Menurutnya, mereka menggunakan sebuah penjana kuasa mudah alih seberat sekitar 6 kilogram dan sebesar beg ‘tote’.
Walaupun projektor itu mampu mengeluarkan audio, mereka menggunakan sebuah pembesar suara Bluetooth untuk mempertingkatkan lagi audio filem.
“Suami saya yang beli penjana kuasa itu. Itu kali pertama kami menggunakannya dan semua berjalan dengan lancar.
“Biasanya, apabila kami berkhemah, kami sekeluarga akan menonton filem di Netflix menggunakan iPad sahaja. Tetapi kali ini, kami ingin mencuba sesuatu yang baru.
“Memandangkan keluarga kami besar, menonton filem di projektor lebih baik kerana ia lebih besar berbanding iPad,” jelas Cik Ridya.
Beliau berkongsi bahawa seramai sekitar 20 anggota keluarga hadir di sesi berkhemah pada hari itu, lantas mereka perlu memasang sebanyak empat khemah.
Tambahnya, di tengah-tengah empat khemah itu terdiri sebuah khemah berbentuk kubah. Sehelai kain putih dipasang ke ‘dinding’ khemah kubah untuk berfungsi sebagai ‘skrin’ supaya projektor boleh memancarkan filem ke atasnya.
“Khemah kubah itu khas untuk tempat bersantai sahaja. Pada waktu siang, kami masak dan borak di sana.
“Lagipun, pada hari itu, sebahagian daripada Taman East Coast masih ditutup akibat tumpahan minyak jadi kami terhad dari segi kegiatan.
“Pada waktu malam pula, kami semua termasuk kanak-kanak sekali, berhimpun untuk menonton ‘wayang’ di sana,” terang Cik Ridya, ibu kepada anak lelaki berusia tiga tahun.
Apabila gambar itu dipetik, keluarganya sedang menonton filem seram, Mungkar.
Secara bersenda, seorang netizen berkata bahawa sesi perkhemahan tidak lengkap sekiranya mereka tidak menonton filem seram.
“Kami sekeluarga memang suka tengok filem seram. Tetapi sebelum itu, kami menonton Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) secara langsung di YouTube.
“Salah seorang anak saudara perempuan saya terlibat dalam NDP tahun ini dan merupakan sebahagian daripada kontingen Pandu Puteri, jadi kami ingin menunjukkan sokongan kami,” kata Cik Ridya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg