Berikutan maklum balas positif daripada pelancaran awal, Keluarga Sepanjang Hayat (FFL) dalam Masyarakat akan meluaskan kehadirannya daripada sembilan kepada 18 bandar menjelang akhir 2024.
Keluarga di bandar ini boleh mempelajari kemahiran perkahwinan dan keibubapaan melalui program FFL yang diadakan lebih dekat dengan rumah mereka.
Keluarga juga boleh dapatkan sokongan masyarakat untuk perjalanan perkahwinan dan keibubapaan mereka dan mengambil bahagian dalam kegiatan yang merapatkan ikatan keluarga.
Rangkaian sumber FFL juga akan diperluaskan bagi menyokong keperluan keibubapaan bagi keluarga yang mempunyai anak remaja dengan lebih baik.
Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) akan meluaskan program Diambil dan Dilatih (PnT) bagi orang kurang upaya selama dua tahun lagi dan menempatkan serta melatih lagi 200 individu tersebut menjelang 2026.
SG Enable telah merintis program PnT pada 2021, di mana majikan menerima sokongan gaji sehingga 90 peratus apabila mereka melatih individu kurang upaya yang ditempatkan bersama mereka.
Melalui program PnT, 131 majikan telah mengambil lebih 330 individu kurang upaya untuk bekerja.
Program perintis baru untuk melatih penjaga kanak-kanak berumur dua hingga tiga tahun dengan keperluan pembangunan akan dilancarkan pada separuh kedua 2024.
Sepanjang program enam bulan yang dipanggil Program Campur Tangan Awal bagi Bayi dan Kanak-Kanak (Eipic)-CARE itu, penjaga akan belajar daripada golongan karyawan melalui bengkel kumpulan dan sesi bimbingan individu tentang cara menyokong perkembangan anak mereka di rumah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg