Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sekilas Dari Parlimen 16 Oktober

Oct 16, 2024 | 5:47 PM
Sekilas dari Parlimen pada 16 Oktober.
Sekilas dari Parlimen pada 16 Oktober. - Foto fail

58 kes pembiakan kucing haram disiasat antara Jan 2023 dengan Ogos 2024

Antara Januari 2023 dengan Ogos 2024, Lembaga Taman Negara (NParks) menyiasat 58 kes pembiakan kucing haram dan merampas 91 kucing daripada penternak haram, kata Menteri Negara Kanan (Perhubungan dan Penerangan merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How, di Parlimen pada 14 Oktober.

Menjawab soalan yang difailkan oleh Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dari Parti Kemajuan Singapura (PSP), Encik Leong Mun Wai, Encik Tan berkata bagi kucing yang telah dirampas ini, mereka kini di bawah jagaan NParks dan dipantau oleh doktor haiwan.

“NParks menyiasat laporan mengenai pembiakan kucing komersial secara haram dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pesalah.

“Orang ramai yang ingin membeli kucing perlu berbuat demikian daripada sumber berlesen, yang tertakluk pada syarat pelesenan untuk menjaga kesihatan dan kebajikan haiwan, dan diperiksa secara berkala oleh NParks,” katanya

MSF punya kuasa dapatkan maklumat perubatan anak untuk ibu bapa titipan

Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) boleh mendapatkan maklumat perubatan kanak-kanak daripada ibu bapa kandung mereka jika mereka enggan berkongsi maklumat tersebut kepada ibu bapa titipan, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua.

Beliau menjawab soalan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Profesor Madya Razwana Begum, yang bertanya sama ada terdapat mekanisme untuk memastikan penjaga titipan dapat mengakses semua maklumat kesihatan yang sesuai dan relevan berkenaan anak titipan dalam jagaan mereka.

“MSF akan meminta ibu bapa kandung kanak-kanak tersebut untuk memberikan maklumat berkaitan kesihatan, termasuk status kesihatan semasa dan sejarah perubatan kanak-kanak itu, melalui borang pengisytiharan perubatan.

“Jika ibu bapa enggan memberikan maklumat itu, Perkhidmatan Perlindungan Kanak-kanak MSF boleh menggunakan kuasa di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda untuk mendapatkan dan berkongsi maklumat perubatan kanak-kanak itu, jika perlu,” kata Encik Chua.

Bagaimanapun, beliau menambah memandangkan penjagaan anak titipan adalah pengaturan sementara, ibu bapa titipan tidak mempunyai akses terus kepada rekod kesihatan anak titipan melalui aplikasi HealthHub atau Health Buddy.

Ini kerana akses kekal terikat dengan SingPass ibu bapa kandung, tambahnya.

Sehubungan itu, Encik Chua berkata ibu bapa angkat diberikan surat daripada MSF yang mengenal pasti mereka sebagai penjaga di bawah skim titipan MSF yang memudahkan mereka berkomunikasi dengan karyawan penjagaan kesihatan dan memastikan keperluan perubatan kanak-kanak ditangani dengan betul.

Gelandangan tinggal di pusat peralihan sembilan bulan secara purata

Individu yang menetap di pusat peralihan (TSes) yang disediakan di bawah Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) tinggal selama kira-kira sembilan bulan, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua.

Bercakap di Parlimen sebagai menjawab soalan yang difailkan oleh Encik Darryl David (GRC Ang Mo Kio), Encik Chua berkata Singapura mempunyai tujuh TSes untuk gelandangan dan keluarga yang memerlukan sokongan kediaman sementara.

Beliau menambah terdapat jumlah kapasiti kira-kira 720 katil bagi tujuh TSes tersebut.

“Dari 2021 hingga 2023, TSes mempunyai purata kadar penghunian kira-kira 60 peratus, kata Encik Chua.

Encik David juga bertanya sama ada terdapat rancangan yang disediakan untuk membantu gelandangan beralih daripada tempat perlindungan kepada tempat kediaman yang lebih kekal dalam jangka masa pertengahan hingga panjang.

Dalam jawapannya, Encik Chua berkata pekerja sosial di pelbagai TSes bekerja rapat untuk menangani keperluan individu dan keluarga dengan menyokong mereka dalam mendapatkan perumahan jangka panjang yang stabil seperti rumah sewa atau flat yang dibeli.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg