Sekitar 1.5 juta warga Singapura berusia 21 tahun ke atas pada 2024 yang layak akan menerima wang tunai sehingga $850 pada Ogos daripada Baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GSTV)-Tunai yang diumumkan semasa Belanjawan 2023 pada Februari 2023.
Dalam satu kenyataan media oleh Kementerian Kewangan (MOF) pada 4 Julai, mereka yang layak akan menerima $450 atau $850, bergantung pada Nilai Tahunan Rumah setakat 31 Disember 2023.
Jumlah ini adalah tambahan $150 atau $100 berbanding jumlah yang diberikan pada 2023.
GSTV-Tunai diumumkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, dalam Belanjawan 2023 dan membentuk sebahagian daripada Skim GSTV bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan pertengahan membiayai perbelanjaan harian.
MOF menyatakan pembayaran GSTV pada 2024 berjumlah $1.4 bilion dalam bentuk GSTV-Tunai dan GSTV-MediSave, iaitu $200 juta lebih tinggi daripada 2023.
Perihal GSTV-MediSave, MOF berkata sekitar 650,000 warga Singapura berusia 65 tahun ke atas pada 2024 yang layak akan turut menerima sehingga $450 disalurkan ke dalam Akaun MediSave Tabung Simpanan Pekerja (CPF) pada Ogos 2024 sebagai sebahagian daripada GSTV-MediSave.
Kementerian itu menjelaskan komponen GSTV-Tunai melibatkan warga Singapura dengan Pendapatan Taksiran sehingga $34,000 untuk Penaksiran Tahun 2023.
Golongan yang mempunyai Nilai Tahunan Rumah sehingga $21,000 bakal menerima $850, manakala mereka yang mempunyai Nilai Tahunan Rumah antara $21,000 dan $25,000 akan menerima $450.
GSTV-Tunai akan dikreditkan mulai 1 Ogos, bergantung pada kaedah pembayaran.
Bagi komponen GSTV-MediSave, warga Singapura berusia antara 65 dengan 74 tahun pada 2024 dan mempunyai Nilai Tahunan Rumah sehingga $21,000 bakal menerima $250, manakala mereka dengan Nilai Tahunan Rumah antara $21,000 dan $25,000 menerima $150.
Mereka berusia antara 75 dengan 84 pada 2024 dan mempunyai Nilai Tahunan Rumah sehingga $21,000 bakal menerima $350, manakala mereka dengan Nilai Tahunan Rumah antara $21,000 dengan $25,000 menerima $250.
Bagi mereka berusia 85 tahun ke atas pada 2024 dan mempunyai Nilai Tahunan Rumah sehingga $21,000 pula, mereka akan menerima $450, manakala golongan tersebut yang mempunyai Nilai Tahunan Rumah antara $21,000 dan $25,000 menerima $350.
Bayaran tersebut akan dibuat ke dalam Akaun MediSave individu yang layak pada 1 Ogos, tambah MOF, sambil menyatakan bahawa warganegara yang memiliki lebih daripada satu hartanah tidak layak menerima GSTV-Tunai dan GSTV-MediSave.
MOF turut menjelaskan bahawa individu yang layak menerima GSTV-Tunai dan GSTV-MediSave akan menerima bayaran masing-masing secara automatik jika mereka telah daftarkan untuk skim pembayaran pemerintah, tambah MOF.
Warga Singapura boleh menyemak kelayakan melalui pautan govbenefits.gov.sg dengan log masuk melalui Singpass.
“Mereka yang sebelum ini belum daftarkan diri untuk Skim GSTV boleh berbuat demikian di laman govbenefits selewat-lewatnya pada 9 Julai – mereka akan menerima bayaran pada Ogos 2024.
“Penerima yang layak akan hanya dimaklumkan pada Ogos 2024 selepas GSTV-Tunai dan/atau GSTV MediSave mereka telah dikreditkan,” kata MOF lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg