Topik diikuti
Pergi ke BHkuSekitar 10% warga telah ambil pelitup N95
Sekitar 10% warga telah ambil pelitup N95
Sekitar 10 peratus daripada warga Singapura yang layak telah mengambil pelitup N95 di kelab masyarakat serata Singapura, di samping mesin layan diri bagi pelitup di 37 hab pengangkutan awam dan Pejabat Khidmat Sosial (SSO) terpilih setakat 16 Oktober, umum Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu.
Memberikan maklumat terkini berkenaan usaha pengagihan pelitup di sidang media Pasukan Bertindak Jerebu pada 16 Oktober, beliau berkata kesemua 37 mesin layan diri bagi pelitup akan diletakkan di lokasi yang ditetapkan pada 16 Oktober.
Beliau turut memberi jaminan bekalan pelitup di Singapura mencukupi bagi kegunaan rakyat.
“Kami sedia maklum bahawa ada kalanya pelitup mungkin tidak tersedia buat sementara waktu di beberapa kedai runcit kerana permintaan meningkat.
“Namun, kami ingin memberi jaminan bahawa stok pelitup mencukupi di gedung peruncit dan stok pemerintah.”
Beliau menambah bahawa pemerintah bersedia mengadakan satu lagi pusingan pengagihan pelitup, sekiranya keadaan memerlukannya.
Pelitup N95 mula diagihkan di setiap kelab masyarakat dan 37 hab pengangkutan awam serta SSO sejak 14 Oktober.
Setiap individu yang layak boleh mengambil satu pek yang mengandungi dua keping pelitup N95.
Bagi individu yang tidak dapat mengambilnya sendiri, ahli keluarga atau rakan boleh mengambil pelitup itu bagi pihak mereka dengan menggunakan nombor kad pengenalan (NRIC) individu yang layak.