Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sekitar 15% soalan PSLE dikategori sebagai ‘mencabar’

Nov 4, 2025 | 7:13 PM
Janil Puthucheary, MOE, PSLE, parliament
Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Dr Janil Puthucheary, menjawab soalan di Parlimen pada 4 November mengenai tahap kesukaran soalan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE). - Foto TANGKAP LAYAR GOV.SG

Sekitar 15 peratus soalan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) setiap tahun terus dikategorikan sebagai ‘mencabar’. 

Soalan ini memerlukan pelajar menerapkan konsep yang dipelajari dalam konteks baru atau situasi nyata.

Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Dr Janil Puthucheary, berkongsi angka tersebut sebagai jawapan kepada soalan yang dikemukakan Anggota Parlimen (AP) Encik Gerald Giam (GRC Aljunied), di Parlimen pada 4 November.

Peratusan itu adalah sama seperti yang dilaporkan pada 2022, selepas kertas matematik PSLE 2021 dianggap begitu mencabar sehingga dikatakan mengakibatkan sebilangan pelajar menangis.

AP Parti Pekerja (WP) itu turut bertanya sama ada soalan sedemikian memerlukan aplikasi pengetahuan di luar sukatan pelajaran sekolah.

Beliau turut bertanya mengenai langkah diambil Kementerian Pendidikan (MOE) untuk memastikan pelajar yang tidak mampu mendapatkan tuisyen peribadi tidak terjejas dengan soalan seperti itu.

“Bagi memastikan kebolehcapaian, semua soalan menggunakan bahasa dan konteks yang sesuai dengan umur (pelajar). 

“Selain itu, soalan mencabar sering disusun dengan tahap kesukaran berperingkat untuk membantu pelajar menjawab secara bertahap,” kata Dr Janil.

Encik Giam seterusnya mengajukan soalan mengenai tujuan lebih besar bagi soalan sedemikian dalam peperiksaan kebangsaan. 

Jika pelajar tidak diajar di sekolah untuk menjawabnya, soalan sedemikian boleh secara tidak sengaja membezakan pelajar yang mempunyai lebih banyak sumber, kata Encik Giam.

Dr Janil berkata sebahagian soalan itu disertakan kerana terdapat pelajar yang mampu menjawabnya dan kebolehan kognitif serta akademik mereka perlu dinilai sewajarnya.

Dr Janil menambah tuisyen peribadi bukan satu-satunya cara untuk para pelajar menangani soalan mencabar.

Sistem pendidikan formal mengajar para pelajar cara mengambil sesuatu konsep yang diajar dan menerapkannya kepada soalan yang belum pernah mereka lihat sebelum ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg