Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tutor peribadi mungkin ganti peranan guru

Peluasan khidmat tuisyen kini ubah proses pembelajaran di sekolah; fenomena ini bukan hanya di S’pura sahaja
Oct 23, 2025 | 5:17 PM
pendidikan, S’pura, tutor peribadi,
Satu tinjauan mendapati hampir lapan daripada 10 ibu bapa pelajar sekolah rendah dan lebih enam daripada 10 ibu bapa pelajar sekolah menengah mengambil khidmat tutor peribadi bagi anak mereka. - Foto fail

Satu tinjauan sejagat oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) pada awal Oktober mendedahkan guru-guru di Singapura bekerja lebih masa dan lebih cenderung melaporkan tekanan yang dirasakan berbanding purata global.

Saya tiba-tiba terfikir sesuatu apabila mendapat tahu tentang laporan tersebut.

Beberapa minggu sebelum itu, seorang kenalan memberitahu saya beberapa pelajarnya tidak menghadiri kelas ulang kaji bahasa Inggeris bagi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) yang beliau anjurkan semasa cuti sekolah September.

Sebaliknya, disebabkan kehadiran pelajar tidak diwajibkan, mereka memilih untuk menghadiri kem latihan intensif yang dijalankan oleh pusat tuisyen swasta.

Ia membuatkan saya tertanya-tanya: Adakah tuisyen, yang dahulunya bertujuan untuk menyokong pembelajaran di sekolah, kini mula menggantikan peranan sekolah sendiri? Adakah ia menyukarkan tugas pendidik serta sistem pendidikan kita?

Lebih ramai ibu bapa pilih tuisyen swasta

Sistem pendidikan Singapura terkenal di peringkat global kerana ketekunan dan pencapaiannya.

Namun, di sebalik kejayaan itu wujud rangkaian luas tutor swasta, pusat pengayaan serta kem latihan peperiksaan yang kian membentuk perkara yang dipelajari pelajar dan cara mereka belajar.

Perkembangan ini bukan sesuatu yang unik bagi Singapura sahaja.

Pakar terkemuka dalam pendidikan bandingan, Profesor Mark Bray, memetik anggaran nilai pasaran tuisyen swasta di serata dunia dijangka mencapai AS$288 bilion ($374 bilion) menjelang 2030, meningkat daripada AS$159 bilion pada 2023.

Di Singapura, fenomena ini sangat ketara.

Satu tinjauan yang dijalankan oleh The Straits Times (ST) bersama firma penyelidikan Nexus Link pada 2015 mendapati hampir lapan daripada 10 ibu bapa pelajar sekolah rendah dan lebih enam daripada 10 ibu bapa pelajar sekolah menengah mengambil khidmat tutor privet bagi anak mereka.

Peratusan ini mungkin telah meningkat sejak tinjauan itu dijalankan, sejajar dengan kadar pendaftaran yang semakin meningkat di peringkat sejagat.

Tinjauan Perbelanjaan Keluarga (HES) terkini menunjukkan sebanyak $1.8 bilion dibelanjakan untuk tuisyen pada 2023.

Cabaran baru dalam bilik darjah 

Pengambilan tuisyen secara meluas kini mengubah proses pembelajaran di sekolah, serta menyukarkan lagi tugas para pendidik.

Para guru menyedari ramai pelajar telah mempelajari kandungan yang belum diajar di sekolah melalui tuisyen, menyebabkan sesetengah pelajar merasa bosan di dalam bilik darjah.

Terdapat pula pelajar yang datang ke sekolah dalam keadaan letih selepas sesi tuisyen berturut-turut, malah sesetengah mereka mungkin ponteng sekolah untuk elak daripada ‘membuang masa’.

Kini para pendidik perlu menangani jurang kemampuan dan motivasi pelajar yang semakin meluas, sambil mengekalkan mutu pengajaran.

Etika profesional mereka menghalang guru daripada menganggap tutor akan menampung kekurangan pembelajaran pelajar.

Justeru, mereka menghabiskan lebih banyak masa berbincang dengan ibu bapa, memikirkan cara terbaik untuk mengajar setiap pelajar, dan menyesuaikan pelajaran supaya potensi pelajar dapat dicapai sepenuhnya.

Meskipun guru kekal bertanggungjawab membentuk minda pelajar, tuisyen swasta semakin mengambil alih peranan mereka.

Paradoks dasar

Kementerian Pendidikan (MOE) telah lama menyedari ketegangan ini dan kesannya terhadap pelajar.

Dalam jawapan Parlimen pada awal 2025, MOE berkata meskipun sesetengah pelajar benar-benar memerlukan bantuan tambahan, “tuisyen berlebihan boleh mengurangkan keseronokan pelajar dalam menuntut ilmu dan mengambil masa pembangunan menyeluruh mereka”.

Namun, apa yang dianggap “berlebihan” oleh MOE sering dirasakan sebagai satu keperluan oleh ibu bapa.

Selain mahukan kelebihan saingan, sesetengah ibu bapa merasakan keperluan pembelajaran anak mereka tidak dipenuhi dengan mencukupi oleh sekolah.

Di sinilah muncul satu paradoks.

MOE menyatakan ia tidak boleh campur tangan dalam keputusan peribadi mengenai pengambilan tuisyen, meskipun ia memberi amaran tentang ketidaksamaan.

Kepentingan peribadi ibu bapa bertembung dengan matlamat awam untuk meningkatkan mobiliti sosial, namun langkah mengekang kecenderungan tersebut nampak mustahil.

Bagi mengurangkan jurang ketidaksamaan, pemerintah sendiri telah mula menyokong tuisyen kos rendah.

Selain daya usaha membantu pelajar yang memerlukan sokongan tambahan seperti Program Sokongan Pembelajaran, sekolah di sini turut menjalin kerjasama dengan sukarelawan dan badan bantu diri, seperti Program Tuisyen Kolaboratif yang menawarkan tuisyen bersubsidi kepada pelajar yang lemah dalam pelajaran.

Pengerusi Mendaki, Encik Zaqy Mohamad, baru-baru ini berkata tutor Mendaki dapat memberi perhatian peribadi yang sukar ditawarkan oleh sekolah, “dengan cara lebih peribadi dan mesra budaya”.

Selain itu, di dalam manifesto Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) Parti Pekerja (WP), parti itu menggesa pemerintah menyelaras program tuisyen yang disokong negara bagi membantu keluarga berpendapatan rendah.

Usaha dan gesaan ini mencerminkan satu trend sejagat lebih luas, iaitu peningkatan penswastaan dan proses menjadikan pendidikan ibarat komoditi.

Namun, sempadan yang kabur antara pendidikan awam dan swasta membawa kesan.

Tuisyen yang sebelum ini dianggap pilihan kini menjadi umpama satu keperluan dan bukan sekadar satu program tambahan luar.

Akibatnya, ia mengurangkan pengaruh para pendidik terhadap cara pembelajaran anak murid mereka.

Semak semula nilai pendidikan

Singapura memandang pendidikan sebagai langkah “penyamarataan sosial paling berkuasa”, menurut Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial dan Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.

Namun, kebergantungan kepada tuisyen swasta meningkatkan ketidaksamaan kerana kemampuan kewangan semakin menentukan akses kepada pembelajaran.

Menyerahkan mobiliti sosial kepada sektor tuisyen swasta berisiko kerana ia tiada sistem tetap, dengan para tutor terdiri daripada gabungan karyawan berdaftar, pekerja sambilan, pelajar, pesara dan sukarelawan.

Tidak banyak data yang wujud mengenai bilangan atau kelayakan mereka, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada kawal selia lebih ketat diperlukan bagi memastikan mutu pengajaran terjamin.

Seperti kata Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, Singapura masih belum benar-benar beralih daripada melihat pendidikan sebagai satu “perlumbaan”.

Kebangkitan tuisyen swasta – termasuk tuisyen yang diberi subsidi atau dijalankan secara sukarela – menunjukkan perlumbaan ini hanya berubah bentuk.

Jika trend ini berterusan, sekolah tidak lagi dapat menuntut sepenuhnya kejayaan sistem pendidikan Singapura dan mungkin tidak lama lagi perlu mengiktiraf tutor swasta sebagai rakan dalam membentuk pencapaian pelajar.

Malah, ketika ini pun, banyak pusat tuisyen secara terbuka mempromosikan perkara tersebut.

Namun, ini menimbulkan persoalan besar: Jika tuisyen kini menjadi keperluan tetap dan bukan sekadar pelengkap, mampukah sekolah terus menjadi wadah utama untuk pembelajaran dan mobiliti sosial, dan sejauh mana peranan itu diambil alih oleh pasaran tuisyen swasta?

Selain itu, adakah adil untuk terus menuntut guru mencapai matlamat besar yang sama di peringkat nasional?

Maka, tidak hairanlah guru kini bekerja lebih masa.

Penulis, Profesor Madya Jason Tan, ialah Profesor Madya dalam bidang Dasar, Kurikulum dan Kepimpinan di Institut Pendidikan Nasional (NIE). Artikel ini kali pertama diterbitkan di The Straits Times (ST).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg