Sekitar 150,000 pekerja gaji rendah raih manfaat daripada model gaji progresif
Sekitar 150,000 pekerja gaji rendah raih manfaat daripada model gaji progresif
Sekitar 150,000 pekerja bergaji rendah menikmati manfaat daripada laluan kenaikan gaji dan kerjaya melalui Model Gaji Progresif (PWM) – lebih lima kali ganda berbanding jumlah pada 2020, kata Menteri Negara (Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash.
Seramai 104,000 lagi pekerja bergaji rendah yang tidak dilindungi oleh PWM pula disokong menerusi Gaji Kelayakan Pekerja Tempatan (LQS).
Bagi meningkatkan kemahiran dan menyokong pekerja bergaji rendah dalam latihan, pemerintah akan meluaskan senarai kursus di bawah Sokongan Kemahiran Daya Kerja (WSS) (Dipertingkat) atau WSS (Level Up), termasuk kelayakan penuh jangka panjang Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja (WSQ).
Elaun latihan di bawah Skim Bantuan Kemahiran Daya Kerja (WSS) (Asas) juga akan dinaikkan daripada $6 kepada $10.50 sejam mulai 1 Julai 2026. Kenaikan ini khusus untuk peserta latihan yang membiayai sendiri dan mengikuti latihan yang lebih singkat.
Dengan kenaikan ini, pekerja kini boleh memilih untuk menjalani latihan secara aktif tanpa perlu bimbang tentang pengurangan gaji yang besar.
Ketika berucap pada perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Tenaga Manusia pada 3 Mac, Encik Dinesh menjelaskan:
“Pekerja dalam sektor PWM telah dan akan terus melihat peningkatan dalam gaji mereka, seiring dengan pertumbuhan ekonomi Singapura.”
Beliau memberikan contoh bagaimana gaji asas tukang cuci pejabat telah naik sekitar 50 peratus sejak 2021 dan bakal mencecah $2,420 menjelang 2028 – hampir dua kali ganda berbanding $1,274 pada 2021.
Selain itu, pengawal keselamatan kontrak dijangka melihat peningkatan gaji kasar sebanyak 40 peratus pada 2026 dan 60 peratus menjelang 2028.
Sementara itu, Encik Dinesh turut menarik perhatian kepada pengumuman Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di Belanjawan 2026 di mana LQS bagi pekerja sepenuh masa akan dinaikkan kepada $1,800 bermula 1 Julai 2026, berbanding $1,600 sebelum ini.
Encik Dinesh berkata, menaikkan LQS selaras dengan pertumbuhan gaji bertujuan memastikan warga tempatan diambil bekerja secara bermakna, “bukannya sekadar mengisi pekerjaan ‘token’ semata-mata supaya syarikat dapat mengambil pekerja asing bekerja.”
“Pada 2025, rakan kongsi tiga pihak telah mengumumkan jadual gaji yang dikemas kini bagi sektor peruncitan, keselamatan, administrasi, dan pemandu,” katanya.
Beliau menambah, sektor-sektor PWM yang lain akan merundingkan jadual gaji bagi fasa seterusnya pada 2026, sekali gus mengekalkan momentum dalam usaha meningkatkan gaji pekerja.
Berkongsi mengenai WSS (Dipertingkat) yang terbaru pula, Encik Dinesh berkata kursus itu juga layak untuk menerima Elaun Latihan di bawah Program SkillsFuture Dipertingkat.
Perubahan itu akan mula berkuat kuasa dari suku keempat 2026.
“WSS (Dipertingkat) akan menyokong pekerja berpendapatan rendah untuk mengikuti bentuk latihan peningkatan dan pensisihan semula kemahiran yang lebih mendalam, tanpa perlu bimbang tentang kelangsungan hidup harian,” ujar beliau.

