Skim pelaburan CPF terkini tawar hingga 3 penyedia terpilih, sasar dilancar 2028

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Skim pelaburan CPF terkini tawar hingga 3 penyedia terpilih, sasar dilancar 2028

Mar 3, 2026 | 4:58 PM

Skim pelaburan CPF terkini tawar hingga 3 penyedia terpilih, sasar dilancar 2028

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Singapore, CPF, service provider, COS
Dua hingga tiga penyedia komersial yang bereputasi akan dipilih untuk menawarkan beberapa pilihan bagi skim pelaburan baru untuk pencarum Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang diumumkan semasa Belanjawan 2026. - Foto fail

Pemerintah akan memilih dua hingga tiga penyedia komersial yang bereputasi untuk menawarkan beberapa pilihan produk bagi skim pelaburan sukarela Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang baru, seperti diumumkan dalam Belanjawan 2026.

Berkongsi butiran mengenai skim itu semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Tenaga Manusia (MOM) di Parlimen pada 3 Mac, Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, berkata pemilihan penyedia produk bagi skim itu akan dilakukan secara teliti dan mereka akan memastikan kosnya rendah.

“Permohonan akan dinilai dengan teliti oleh konsultan pelaburan bebas yang dilantik Lembaga CPF, meliputi keupayaan pelaburan dan rekod prestasi, antara lain.

“Kami akan meletakkan had bagi bayaran keseluruhan untuk memastikan kos rendah, dan bersedia menyediakan sokongan terhad masa kepada pencarum yang berminat,” kata beliau.

Pemerintah menyasar melancarkan skim baru itu pada separuh pertama 2028, namun akan melakukannya lebih awal, jika boleh.

Butiran lanjut akan diumumkan kelak.

Skim pelaburan sukarela yang membolehkan pencarum CPF menambah simpanan mereka itu pertama kali diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, ketika membentangkan Belanjawan 2026 pada 12 Februari.

Menurut Encik Wong, skim pelaburan kos rendah itu akan membolehkan warga Singapura mengambil lebih banyak risiko ketika mereka masih muda dan mengimbanginya semula apabila umur mereka meningkat.

Ia adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan kecukupan persaraan buat rakyat Singapura.

Dr Tan berkata ramai rakyat Singapura, terutama pekerja lebih berusia dan mereka yang mengutamakan kepastian, pulangan bebas risiko CPF kekal sangat menarik.

Tidak semua orang berani mengambil risiko dalam pelaburan, dan oleh itu, skim baru tersebut adalah atas dasar sukarela.

“Pencarum yang lebih suka menguruskan pelaburan sendiri secara aktif boleh terus melabur baki Akaun Biasa (OA) dan Akaun Khas (SA) mereka melalui Skim Pelaburan CPF (CPFIS).

“Pencarum juga boleh memilih untuk mengekalkan simpanan mereka di dalam akaun CPF bagi meraih pulangan tanpa risiko,” kata beliau.

Hari ini, sistem CPF menawarkan faedah tanpa risiko sehingga 6 peratus.

Bagi pencarum yang mahukan pulangan lebih tinggi, mereka boleh melabur melalui CPFIS yang mempunyai sekitar 700 pilihan produk, namun mereka memerlukan pengetahuan kewangan dan perlu menguruskan pelaburan tersebut secara aktif.

Dr Tan turut menekankan tentang pentingnya ilmu pelaburan, sambil menambah bahawa pencarum perlu faham tentang produk yang ditawarkan serta risikonya supaya dapat membuat pilihan paling sesuai untuk diri sendiri.

“Kami akan bekerjasama dengan penyedia produk yang terpilih dan rakan kongsi lain, termasuk Penguasa Kewangan Singapura (MAS), untuk meningkatkan pendidikan pelaburan.

“Saya juga berterima kasih kepada para Anggota Parlimen (AP) atas cadangan mereka mengenai reka bentuk produk, seperti tempoh bertenang, tarikh sasaran, dan cara menggalakkan simpanan dikekalkan.

“Kami akan mempertimbangkannya sedang kami berbincang lebih lanjut dengan pihak industri,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg