Sekitar 3 juta warga Singapura berumur 21 tahun dan ke atas yang layak, akan menerima bayaran tunai sebanyak $100 hingga $250 mulai 8 Disember 2026.

Bayaran itu merupakan pengagihan terakhir di bawah Pakej Jaminan (AP) yang dipertingkatkan dan telah diumumkan sewaktu Belanjawan 2023, menurut Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan media pada 10 November.

Pakej AP telah dipertingkatkan sebanyak $3 bilion untuk menaikkan jumlah bayaran tunai AP bagi membantu menampung perbelanjaan sara hidup isi rumah.

Ia juga dapat memberikan lebih banyak sokongan kepada keluarga berpendapatan rendah hingga sederhana.

Sepanjang lima tahun, antara 2022 dengan 2026, penerima yang layak bagi bantuan itu akan memperoleh sehingga $2,250 secara keseluruhannya.

Selain daripada bayaran tunai yang diagihkan kepada warga Singapura yang layak pada setiap Disember antara 2022 dengan 2026, pakej AP itu turut merangkumi rebat, Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) dan tokokan MediSave.

Penerima yang layak berumur 21 tahun dan ke atas pada 2027 akan menerima bayaran bergantung pada pendapatan taksiran dan bilangan hartanah yang dimiliki.

Di bawah skim AP itu, warga Singapura yang layak dan yang tidak memiliki lebih satu hartanah akan menerima $250 jika pendapatan taksiran mereka bernilai $39,000 ke bawah.

Jika pendapatan mereka bernilai antara $39,001 dengan $100,00, mereka akan menerima bantuan sebanyak $150.

Bagi yang pendapatan taksirannya mencecah lebih $100,000, serta individu yang mempunyai lebih satu hartanah tidak kira pendapatannya, mereka akan menerima $100.

Warga Singapura boleh memeriksa kelayakan mereka bagi menerima bayaran tunai dengan melayari laman web govbenefits.gov.sg melalui Singpass mereka.

Bagi penerima yang layak menerima bayaran itu, mereka akan dimaklumkan melalui ID Pengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) gov.sg sebelum dan selepas tunai AP dikreditkan.

Penerima yang tidak mempunyai nombor telefon yang berdaftar dalam Singpass akan dimaklumkan melalui surat yang dihantar ke alamat tertera pada kad pengenalan (IC) mereka.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti