Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) serta para Ahli Majlis Daerah memainkan peranan penting dalam membawa program nasional lebih dekat kepada penduduk serta mengenal pasti jurang dan keperluan masyarakat, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Ini kerana walaupun dasar-dasar pemerintah dirancang di peringkat nasional, tetapi masyarakat berdepan dengan cabaran dan mempunyai keperluan untuk dipenuhi, di mana sahaja mereka berada, sama ada di rumah, tempat kerja mahupun kejiranan masing-masing,

Lantaran itu, CDC bertindak sebagai penghubung utama yang merapatkan hubungan antara warga tempatan dengan sekolah, agensi perkhidmatan sosial, pertubuhan akar umbi serta barisan sukarelawan, menurut Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap di Majlis Pelantikan dan Mesyuarat Daerah North West 2026 di Pusat Kapal Persiaran Marina Bay Singapura pada 18 September, yang menandakan bermulanya penggal ke-10 majlis tersebut.

“Anda melihat perkara-perkara yang mungkin tidak kelihatan dengan mudah dalam data dasar nasional atau media rasmi seperti keperluan sesebuah keluarga, jurang dalam masyarakat, atau idea yang wajar dicuba,” kata Encik Wong.

Satu inisiatif baik yang ditukil beliau ialah skim Baucar CDC yang diasaskan oleh para mayor untuk penduduk mereka dan kini sudah berkembang serta memberi manfaat kepada semua rakyat Singapura.

Encik Wong juga memberi contoh laluan berjalan kaki CDC yang bermula daripada inisiatif ‘North West Eco Trails’ pada 2016 sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

Semasa sesi Parlimen baru-baru ini, Encik Wong menekankan sumbangan mayor dalam memperkukuh masyarakat Singapura sebagai respons kepada usulan Parti Pekerja (WP) untuk memansuhkan Pejabat Mayor.

Menurut Encik Wong lagi, peranan CDC penting sedang landskap dunia yang semakin mencabar, penuh ketegangan serta gangguan teknologi yang memberi kesan terus kepada sara hidup rakyat menerusi peningkatan kos dan kebimbangan mengenai jaminan pekerjaan.

Walaupun pemerintah akan terus memandu ekonomi dan menyediakan jaring keselamatan, beliau menegaskan bahawa kekuatan masyarakat kekal sebagai benteng pertahanan yang sama penting.

Mengenai isu pekerjaan, Encik Wong menyentuh tentang keberkesanan inisiatif ‘Jobs Nearby at CDC’ yang dilancarkan pada Oktober 2025 bagi membantu pencari kerja tempatan dan perniagaan kecil.

Beliau menjelaskan bahawa pencarian kerja ialah urusan peribadi, di mana sesetengah penduduk memerlukan kerja berhampiran kediaman atau waktu kerja yang fleksibel, disebabkan komitmen penjagaan keluarga.

Menerusi duta kerjanya, CDC berupaya menghubungkan mereka dengan perniagaan kecil tempatan yang memerlukan tenaga kerja.

Semua inisiatif ini, kata Encik Wong, adalah usaha Singapura untuk membentuk masyarakat ‘Kita Dulu’.

Beliau menegaskan bahawa apabila pemerintah meningkatkan sokongan, rakyat juga diseru untuk tampil menyumbang masa, kemahiran dan sumber.

“Ada perkara yang boleh dilakukan oleh pemerintah, tetapi terdapat banyak perkara lain yang hanya boleh diberikan sesama insan: persahabatan, dorongan, telinga yang mendengar dan memberi bantuan.

“Inilah perkara yang mengubah sekumpulan penduduk menjadi sebuah masyarakat, dan kejiranan kita menjadi sebuah tempat tinggal yang sejati,” kata Encik Wong.