Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sekitar 5,000 warga S’pura pilih Batam ‘rumah kedua’

Jul 14, 2024 | 5:30 AM
Warga Singapura, Encik Shaiful Saad, 47 tahun, bersama isterinya, Cik Nia Tutira, 40 tahun, dan anak lelaki mereka di hadapan rumah mereka di daerah Tiban, Batam.
Warga Singapura, Encik Shaiful Saad, 47 tahun, bersama isterinya, Cik Nia Tutira, 40 tahun, dan anak lelaki mereka di hadapan rumah mereka di daerah Tiban, Batam. - Foto BM oleh KHALID BABA

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bukan sahaja semakin ramai warga Singapura menjadikan Pulau Batam sebagai destinasi percutian, sebaliknya menjadikan Batam sebagai rumah kedua mereka.

Hasil kunjungan Berita Minggu (BM) ke Batam mendapati mereka tertarik dengan kos sara hidup yang lebih rendah, peluang perniagaan dan gaya hidup yang lebih santai untuk menjadikan Batam sebagai kediaman untuk persaraan, kediaman hujung minggu atau sebagai kehidupan berkeluarga.

Ketua Dinas (Perkhidmatan) Komunikasi dan Informasi (Diskominfo) Kota Batam, Encik Rudi Panjaitan, memberitahu BM bahawa sekitar 5,000 rakyat Singapura dianggarkan tinggal di pulau itu.

Beliau menyatakan ada dalam kalangan warga Singapura berulang-alik antara Singapura dengan Batam setiap minggu atau tinggal beberapa minggu di Batam dan kemudian pulang hanya beberapa hari di Singapura.

Memberikan angka tersebut, Encik Rudi dalam temu bual dengan BM di Batam menjelaskan:

“Kompilasi data menunjukkan jumlah kunjungan warga Singapura ke Batam pada 2024 mencapai hampir 58,000 orang.

“Daripada jumlah tersebut, kami menganggarkan sekitar 10 peratus atau sekitar 5,000 warga Singapura menjadikan Batam sebagai rumah kedua mereka.”

Tinjauan yang dijalankan oleh BM semasa kunjungan ke Batam mendapati mereka yang tinggal di Batam berada dalam lingkungan usia lewat 30-an hingga lewat 70-an.

Kebanyakan mereka telah berkahwin dengan warga Indonesia, sekali gus memiliki rumah dengan menggunakan nama pasangan warga Indonesia masing-masing.

Menurut ejen hartanah dari Batam, Encik Sudirman Samat, kebanyakan mereka tinggal di kawasan kelas pertengahan di kawasan elit dengan rumah setingkat, dua tingkat atau berhalaman, dan jarang yang tinggal di apartmen.

Daerah yang menjadi pilihan termasuk Tiban, Batu Aji, Batam Centre, Suka Jadi atau Sekupang. Hartanah yang dibeli sekitar $30,000 hingga $100,000.

“Tahun 2024 ini sahaja terdapat lebih 60 warga Singapura sama ada telah membeli rumah atau membuat pertanyaan tentang prosedur membeli rumah dengan saya,” ujar Encik Sudirman.

Warga Singapura, Encik Shaiful Saad, 47 tahun, telah menjadikan Batam rumah keduanya sejak lebih 15 tahun lalu setelah berkahwin dengan warga Indonesia, Cik Nia Tutira, 40 tahun.

Encik Shaiful mengakui lebih selesa tinggal berkeluarga di Batam.

Bagi Cik Nur Asyiqin Jumuto, beliau memilih Batam bukan sahaja kerana suaminya Encik Ahmadi Yuswar merupakan warga Indonesia tetapi kerana menjalankan perniagaan di sana dan dalam masa yang sama mempunyai niaga pengurusan acara di Singapura.

Trend ini menyerlahkan daya tarikan Batam merentasi pelbagai peringkat usia dan gaya hidup yang dilihat memenuhi keperluan golongan yang mencari peluang perniagaan serta individu lebih berusia yang mencari tempat persaraan yang tenang.

Seperti yang dinyatakan oleh warga Singapura, Cik Wahida Samsudin, yang tinggal di Tunas Regency Batu Aji: “Saya ingin bersara di Batam dan happy di sini buat kerja amal dan nak berbelanja di sini juga masih dimampui.”

Bagi warga Singapura yang ditemui di Batam, pulau itu bukan sahaja menawarkan persekitaran yang lebih relaks dan tenang, bahkan kemudahan yang mencukupi untuk menampung keperluan harian dan perkhidmatan kesihatan yang memadai.

Kos sara hidup yang lebih rendah di Batam menjadi faktor utama yang menarik minat rakyat Singapura.

Harga hartanah lebih berpatutan, kos makanan lebih murah serta perbelanjaan harian yang tidak membebankan menjadikan Batam pilihan yang menarik.

Encik Mohamed Ismail Ibrahim, 71 tahun, pula berulang-alik antara Singapura untuk bekerja dan pulang ke Batam pada lewat petang hampir setiap hari untuk menemui isterinya, Cik Kustiyah, dan anak mereka, Awalina, yang berusia enam tahun di daerah Tiban.

“Tiada masalah untuk saya naik feri ulang-alik kerana saya suka dengan cara hidup sebegini dan Batam sudah menjadi rumah saya,” ujar Encik Mohamed Ismail.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg