Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jarak dekat Batam, S’pura dorong tebar niaga

Jul 14, 2024 | 5:30 AM
Batam
Cik Nur Asyiqin Jumuto dan suaminya, Encik Ahmadi Yuswar, bersama anak-anak mereka, Muhammad Ilham Al Fateh dan Muhammad Osman Ghazi Edebali. - Foto BM oleh KHALID BABA

Sejak mendirikan rumah tangga, Cik Nur Asyiqin Jumuto dan suaminya, seorang warga Indonesia, Encik Ahmadi Yuswar, telah membina kehidupan yang mereka impikan di Batam, Indonesia.

Bersama dua cahaya mata berusia 10 dan tiga tahun, pasangan itu telah menetap di sana selama lima tahun, meraih manfaat daripada kos sara hidup yang lebih rendah dan masyarakat yang bersemangat di pulau itu.

Jarak antara Batam dengan Singapura yang dekat juga membolehkan Cik Asyiqin kerap melakukan perjalanan ulang-alik bagi menguruskan perniagaannya.

Ini sekali gus memastikan beliau dapat mengekalkan kehadiran yang kukuh di pasaran kedua-dua negara. 

Meskipun begitu, keputusan untuk bermastautin di Batam bukanlah semata-mata hanya untuk meluaskan perniagaan. 

Cik Asyiqin, 40 tahun, dan Encik Ahmadi, 45 tahun, memutuskan untuk membesarkan keluarga mereka sejauh 149 kilometer dari Singapura kerana ingin memenuhi permintaan anak sulung mereka, Muhammad Ilham Al Fateh.

“Ketika Ilham baru tiga tahun, dia ada beritahu kami bahawa dia nak jadi seorang ustaz. 

“Jadi, saya dan suami ambil keputusan untuk masukkan Ilham di sebuah madrasah di Batam kerana kami berpendapat peluang untuk anak kami mendapat tempat di madrasah di Singapura agak sukar.

“Suami saya seorang warga Indonesia, jadi lebih mudah untuk mendaftarkan Ilham ke madrasah di sini.

“Disebabkan anak kami pun sudah bersemangat belajar tentang agama, kami tidak mahu kecewakan dia,” kongsi Cik Asyiqin ketika wartawan Berita Minggu (BM) mengunjungi beliau dan keluarganya di kediaman mereka di Batam Centre.

Cik Nur Asyiqin Jumuto menunjukkan salah sebuah mesin yang digunakan di kilang jahitnya di Batam – antara perniagaan yang beliau miliki bersama suaminya, Encik Ahmadi Yuswar.
Cik Nur Asyiqin Jumuto menunjukkan salah sebuah mesin yang digunakan di kilang jahitnya di Batam – antara perniagaan yang beliau miliki bersama suaminya, Encik Ahmadi Yuswar. - Foto BM oleh KHALID BABA

Sebagai seorang usahawan, Cik Asyiqin mempunyai sebuah kilang jahit dan beberapa perniagaan lain di Batam yang diusahakan bersama suaminya. 

Ini termasuk mengendalikan syarikat Ilham Empire, busana yang menghasilkan pakaian bagi kaum Adam dan Hawa, serta Spendour Events’ – sebuah pengurusan acara yang menganjurkan acara jualan di pusat beli-belah, khusus untuk pasaran Melayu/Islam di Singapura.

Menurut Cik Asyiqin, beliau harus bijak menguruskan jadualnya yang padat.

Ketika baru-baru memulakan perniagaannya, hampir setiap hari beliau membuat perjalanan lebih sejam dari Batam ke Singapura.

“Setiap hari saya akan ambil feri pertama dari Batam ke Singapura sekitar 6 pagi... macam kerja dekat ofis juga kalau difikirkan,” seloroh beliau. 

Walau kini ia tidak sekerap dahulu, Cik Asyiqin masih tetap ke Singapura hampir seminggu sekali. Kadangkala beliau membawa anak kecilnya bersama agar mereka dapat meluangkan masa bersama datuk dan nenek.

Beliau juga akur bahawa harga tambang feri yang semakin meningkat menjadi antara sebab beliau mengurangkan kekerapan pulang ke Singapura melainkan terdapat keperluan mendesak. 

Jarak antara kilang jahit dengan rumah beliau juga tidak jauh – sekitar lima minit jika memandu. 

Cik Asyiqin sempat membawa wartawan BM meninjau kilang tersebut yang serba lengkap dengan pelbagai mesin dan peralatan canggih.

Seperti ramai rakyat Singapura yang ditemui akhbar ini di Batam, antara faktor utama mereka ingin terus menetap di Batam adalah kerana kos sara hidup yang lebih rendah, peluang perniagaan serta gaya hidup yang lebih santai di sana. 

Cik Asyiqin akur bahawa tarikan itu sukar dilepaskan.

“Kehidupan di sini memang berlainan dari Singapura dan alhamdulillah saya dapat menyesuaikan diri di sini. 

“Bagi saya, banyak peluang yang ada untuk peniaga seperti saya. Mungkin jika diberikan rezeki dan peluang, saya ingin mengembangkan lagi perniagaan saya.

“Sebab Indonesia besar dan pasarannya juga besar. Tetapi kalau saya rancang nak kembangkan perniagaan, saya perlu buat kajian terhadap pasaran di sini terlebih dahulu,” ujarnya. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg