Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

RTS Link: Pasukan bertindak sokong peniaga, warga dibentuk

Mula tugas sejak November, kaji cara-cara perbarui pusat kejiranan untuk tarik pengunjung, teroka peluang perniagaan baru
Mar 16, 2025 | 3:11 PM
Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link), yang menghubungkan Stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Stesen Woodlands North di Singapura, akan siap dibina pada hujung 2026.
Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link), yang menghubungkan Stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Stesen Woodlands North di Singapura, akan siap dibina pada hujung 2026. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Satu pasukan bertindak untuk membantu warga Singapura dan perniagaan tempatan rebut peluang dan meraih manfaat daripada Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) apabila ia siap dibina, telah dibentuk.

RTS Link ialah sistem kereta api rentas sempadan antara Singapura dengan Malaysia yang dijadual siap pada penghujung 2026.

Selain mengkaji cara-cara perbaharui pusat kejiranan untuk memanfaatkan potensi ketersambungan bertambah yang ditawarkan, pasukan bertindak itu juga akan mempertimbang peluang baru bagi perniagaan di Singapura.

Pasukan bertindak diketuai Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Alvin Tan, selaku pengerusi.

Ia juga dianggotai wakil agensi pemerintah seperti Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), Kementerian Pembangunan Negara (MND), Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kementerian Kesihatan (MOH), EnterpriseSG, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan hospital Woodlands Health.

AP GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar dan AP GRC Marsiling-Yew Tee, Cik Hany Soh juga akan bekerjasama dengan pasukan tersebut dalam mendekati pihak berkepentingan seperti perniagaan tempatan, kedai kejiranan dan Persatuan Pedagang mengenai idea menyuntik kesegaran ke kawasan kejiranan dan menjadikannya lebih bertenaga.

Encik Tan, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Tanjong Pagar, membuat pengumuman mengenai pembentukan pasukan bertindak itu di satu acara masyarakat di Woodlands North Plaza pada 16 Mac.

AP GRC Sembawang, termasuk Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung telah melancarkan inisiatif Merchant Dollar Deal$@Woodlands yang bertujuan meringankan beban penduduk dalam perbelanjaan harian mereka.

Encik Ong, yang juga AP GRC Sembawang berkata tidak dinafikan bahawa RTS Link akan membawa beberapa manfaat, antaranya membolehkan warga Singapura ke Johor Bahru dengan mudah bagi tujuan membeli-belah, selain memudahkan peniaga Singapura untuk menggajikan pekerja dari sana.

Namun, katanya, di samping peluang ketersambungan itu, terdapat juga sebahagian penduduk yang akan terjejas.

“Jika anda mengendali kedai atau menjual barang atau makanan yang bersaing langsung dengan vendor Johor Bahru, saya rasa anda boleh terjejas. Jadi kita perlu cari cara membantu mengurangkan kesan tersebut atas mereka dan bagaimana untuk sebaliknya memanfaatkan peluang yang ada,” katanya.

Beliau kemudian menambah bahawa laluan ini juga akan membawa masuk warga Malaysia yang akan membeli-belah di Singapura.

Justeru, ia peluang sangat baik untuk menyuntik kesegaran dalam kawasan kejiranan supaya dapat menawarkan sesuatu yang berbeza, katanya lagi.

Encik Tan berkata pasukan bertindak itu telah memulakan kegiatan sejak November 2024.

Enterprise SG sedang bekerjasama dengan peniaga untuk menjadikan kedai mereka lebih menarik dari segi visual supaya dapat menarik pelanggan.

Pasukan bertindak itu akan berunding dengan perusahaan kejiranan selain perniagaan setempat sebelum mengeluarkan dapatan dan saranannya pada 2026 - tahun di mana RTS Link, yang hubungkan Stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Stesen Woodlands North di Singapura, dijadualkan akan siap dibina.

“Kejiranan kita adalah penting bagi identiti bersama kita sebagai rakyat Singapura. Kedai di kejiranan kita merupakan sebahagian penting kehidupan harian dan fabrik sosial kita.

“Dengan rakyat Singapura menanti pembukaan RTS Link pada hujung 2026, pasukan bertindak ini akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan bagi menyuntik kesegaran dalam kawasan kejiranan kita, menyokong perniagaan tempatan, dan membina ruang yang boleh memenuhi keperluan penduduk,” kata Encik Tan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg