Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Seks dengan remaja bawah umur: Pegawai SAF dijel 10 bulan

Feb 1, 2024 | 5:03 PM
Subramaniam Thaburan Rangasamy telah digantung daripada semua tugas berikutan penahanannya, menurut Kementerian Pertahanan.
Subramaniam Thaburan Rangasamy telah digantung daripada semua tugas berikutan penahanannya, menurut Kementerian Pertahanan. - Foto ST

Seorang pegawai tetap Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dijatuhi hukuman penjara 10 bulan pada 1 Februari kerana melakukan hubungan seks dengan seorang remaja berusia 15 tahun.

Subramaniam Thaburan Rangasamy, 50 tahun, pegawai waran pertama, mengaku bersalah pada Januari atas satu pertuduhan melakukan hubungan seks dengan seorang remaja di bawah usia 16 tahun.

Dua pertuduhan lain telah diambil dalam pertimbangan ketika hukuman dijatuhkan.

Remaja itu, yang kini berusia 17 tahun, tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah untuk melindungi identitinya.

Menurut Kementerian Pertahanan (Mindef), Subramaniam telah digantung daripada semua tugas ekoran penahanannya.

Jurucakap Mindef juga memberitahu The Straits Times (ST) sebelum ini bahawa SAF akan mengambil tindakan lanjut selepas perbicaraan mahkamah, yang mungkin termasuk melepaskannya daripada perkhidmatan.

Mahkamah diberitahu bahawa kejadian berlaku pada 6 Disember 2021, semasa cuti sekolah apabila Subramaniam dan remaja tersebut, pelajar menengah tiga pada ketika itu, bertemu buat pertama kali di tempat letak kereta bertingkat. Mereka tidak mengenali antara satu sama lain.

Remaja tersebut sepatutnya mengadakan pertemuan dalam talian dengan kaunselor sekolahnya pada 11 ​​pagi hari itu dan pergi ke tempat letak kereta untuk bersendiri kerana ada orang lain di rumah, manakala Subramaniam pula mahu ke tempat kerja dengan motosikalnya.

Apabila gadis itu terjatuh dan melanggar pintu, Subramaniam menolongnya. Sebagai penghargaan kepada bantuannya, dia pulang ke rumah dan membawa satu tin teh bunga untuk Subramaniam, dan mereka berbual di tangga tingkat empat tempat letak kereta itu.

Kira-kira sejam kemudian, Subramaniam dan gadis itu menjadi intim. Gadis itu kemudiannya melakukan aksi seks ke atasnya. Subramaniam juga cuba melakukan yang sama, tetapi gagal.

Mereka berpisah selepas bertukar nombor dan kekal berhubung melalui WhatsApp, tetapi mesej itu tidak bersifat seksual.

Pada 8 Disember 2021, gadis itu membuat laporan polis kerana merasakan Subramaniam telah mengambil kesempatan ke atasnya.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Sunil Nair memberitahu mahkamah dalam prosiding awal bahawa “tertuduh tidak dikelirukan tentang usia mangsa pada bila-bila masa. Tertuduh tidak memaksa mangsa berkelakuan intim”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg