Masjid-masjid di Singapura tidak hanya berfungsi sebagai ruang ibadah bahkan kini menjadi pusat masyarakat yang membantu mencorak kehidupan sosial dan agama masyarakat Islam di negara ini.
Menyusuli kemerdekaan Singapura, masjid-masjid juga berubah wajah, daripada sekadar masjid kampung, kini menjadi masjid satelit berbilang fungsi, yang memainkan peranan lebih besar dalam membentuk jati diri Muslim Singapura, kata Pengarah Kanan Sektor Satu Masjid, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Zalman Ali, dalam temu ramah dengan Berita Harian (BH) baru-baru ini.
Bagi mempertingkatkan penyelarasan dasar serta program dalam sektor masjid setempat, Muis menyusun semula kesemua 70 masjid di sini.
Menjadi empat daerah; Utara, Selatan, Timur dan Barat, setiap daerah dipimpin sebuah Pejabat Daerah dan diketuai seorang Superintenden Daerah Masjid (DSM). Jabatan yang menyelia sektor masjid dinamakan Sektor Satu Masjid (OMS), mencerminkan semangat perpaduan dalam sektor masjid.
Masjid-masjid dikumpulkan mengikut daerah bagi memenuhi keperluan demografik tertentu masyarakat Islam.
Misalnya, kebanyakan masjid dibina menggunakan Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF) – atau sering kali dipanggil masjid satelit – berada di Daerah Utara, Timur dan Barat, sejajar dengan kediaman utama penduduk Islam di estet-estet perumahan.
Sementara itu, Daerah Selatan pula menyaksikan lebih banyak masjid wakaf dan warisan berdasarkan kedudukannya di kawasan bersejarah Singapura. Demografik masjid berbeza dan lebih dikunjungi golongan pekerja, peniaga ataupun pelancong.
“Pembentukan Pejabat Daerah amat penting dalam usaha transformasi masjid-masjid setempat. Muis menyumbang pelbagai sumber bagi memperkasa, menyokong dan menyelaras para pemimpin dan kakitangan masjid bagi memastikan mereka lebih bersemangat dalam membantu menghuraikan isu-isu masyarakat, di samping mempertingkatkan keupayaan masjid-masjid kita,” kata Encik Zalman.
OMS memperkenalkan jawatan Pengurus Pembangunan Sosial di Pejabat Daerah yang “memberi bimbingan kepada masjid dalam usaha memperkasa dan menyokong penerima zakat”.
Hasil kerjasama lebih erat itu, masjid-masjid kini mempunyai program lebih tersusun. Antaranya, program pembelajaran Islam untuk kanak-kanak dan golongan dewasa – seperti kelas aLIVE dan ADIL – serta menyediakan bantuan zakat kepada keluarga berpendapatan rendah, dan menganjurkan program mendekati masyarakat yang dijalankan di kawasan luar masjid.
Selain itu, masjid-masjid di Singapura turut menganjurkan Konvensyen Masjid, contohnya pada 2005, 2011 dan 2018, bagi melakarkan hala tuju lebih strategik.
Antara pelaksanaan dilakukan bagi pertingkatkan piawaian ialah memperkenalkan manual dasar tadbir urus yang meliputi struktur urus bagi misalnya, pembangunan sumber manusia (HR) dan kawalan kewangan.
Semua masjid kini menggunakan sistem perakaunan kewangan bersama dan menjalani audit kewangan tahunan oleh juruaudit luar.
Masjid lebih besar pula memanfaatkan sistem teknologi dalam mengendalikan urusan HR dan merakamkan pembayaran dalam talian.
“Sebagai tambahan kepada audit kewangan luaran, Muis juga menjalankan audit dalaman ke atas masjid-masjid demi memastikan semua pihak patuh pada dasar dan prosedur pengurusan,’’ ujar Encik Zalman.
Dengan meningkatnya penglibatan lebih ramai golongan karyawan yang berkelayakan sebagai kakitangan – termasuk pegawai dakwah, pembangunan sosial dan korporat – masjid-masjid kini dikendalikan secara lebih profesional.
Semakin ramai anggota lembaga masjid terdiri daripada golongan karyawan pelbagai bidang seperti kejuruteraan, undang-undang dan kewangan yang tampil menyumbangkan kepakaran.
Bagi masjid MBMF lebih besar, Muis memperkenalkan jawatan Pengerusi Eksekutif Masjid (MEC) bagi menyelia operasi masjid sepenuh masa.
“Sejak beberapa tahun lalu, OMS menganjurkan beberapa inisiatif penting – seperti SalamSG dan QuranSG – serta bekerjasama dengan Pejabat Mufti (OOM) dan rakan kongsi masyarakat lain, bagi menawarkan program sosio-agama yang lebih baik untuk masyarakat,” tambah Encik Zalman.
Ini termasuk menyelaraskan program agama seperti Night of Power (program malam lailatulqadar) dan Ramadan Youth Challange (Cabaran Belia Ramadan), serta acara korban. Acara bersifat inklusif seperti SalamSG mengajak setiap lapisan masyarakat membantu mengagihkan habuan dan daging korban kepada golongan memerlukan seperti penerima zakat, dan pekerja hijrahan.
Sementara Festival QuranSG yang mendekatkan mesej-mesej Al-Quran kepada masyarakat Islam dianjurkan di pelbagai daerah – hasil usaha sama OMS dan OOM, acara itu turut menyaksikan pertandingan Majlis Tilawah dan Tahfiz Al-Quran (MTTQ).
“Terdapat banyak trend serta cabaran baru yang timbul sejajar perubahan pesat Singapura terutamanya sejak Covid-19. Cabaran pada peringkat global juga membawa kesan besar kepada landskap sosio-agama dengan menimbulkan pelbagai isu luar jangkaan dan bersifat kompleks untuk ditangani.
“Justeru, masjid-masjid kita harus bersedia berdepan cabaran-cabaran tersebut, dan pihak Muis siap untuk membantu dan menyokong,” kata Encik Zalman.
Bagi membincangkan isu-isu tersebut dan melakarkan huraian terbaik untuk memenuhi keperluan masyarakat yang kian berubah, Muis bakal menganjurkan Persidangan Satu Masjid (One Mosque Summit) 2025 pada 8 Februari ini.
Persidangan tersebut juga bakal menyaksikan pelancaran SalamSG 2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg