Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Selain cegah jenayah, superintenden polis juga gigih ‘tangkap’ rakan berdepan cabaran

Jun 4, 2024 | 5:30 AM
Superintenden 1A, Encik Abrartaufik Jasmani, telah terlibat secara sukarela dalam perkhidmatan parakaunseling di Pasukan Polis Singapura (SPF) sejak 2005.
Superintenden 1A, Encik Abrartaufik Jasmani, telah terlibat secara sukarela dalam perkhidmatan parakaunseling di Pasukan Polis Singapura (SPF) sejak 2005. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Superintenden 1A, Encik Abrartaufik Jasmani, bukan sahaja menahan penjenayah, malah turut “menangkap” pegawai polis yang memerlukan bantuan.

Sebagai seorang pegawai operasi di Pusat Polis Kejiranan Hougang, yang berada di bawah Divisyen F Ang Mo Kio, Encik Abrartaufik, 45 tahun, ditugaskan menyokong pegawai atasannya dalam perancangan, penyelidikan, siasatan, operasi dan latihan.

Namun, di samping peranan utamanya, beliau turut meluangkan masa untuk mendengar keresahan dan masalah yang dialami rakan pegawai polis di sekelilingnya.

Encik Abrartaufik telah terlibat secara sukarela dalam perkhidmatan parakaunseling bersama Pasukan Polis Singapura (SPF) selama 19 tahun.

Beliau mula menjadi parakaunselor pada 2005 sebelum dilantik parakaunselor kanan lapan tahun kemudian.

Pada 2022, beliau menjadi pembimbing atau jurulatih parakaunselor. Beliau kini melatih parakaunselor baru dan berkongsi pengalamannya bersama mereka. 

Menganggap dirinya sebagai “seorang yang gemar berinteraksi dengan orang ramai”, Encik Abrartaufik tergerak hati menggalas peranan parakaunselor bagi membantu pegawai polis yang berdepan cabaran hidup daripada sudut peribadi, kewangan atau pekerjaan.

“Tugas parakaunselor bertujuan mendengar keluhan dan membantu pegawai polis pada waktu mereka menghadapi krisis. Peranan itu amat dekat pada jiwa saya sebab saya suka berbual dengan orang ramai dan mendekati mereka. 

“Jadi, saya terdorong untuk memberi sokongan kepada pegawai polis yang memerlukan bantuan,” kata Encik Abrartaufik ketika ditemui Berita Harian (BH) semasa majlis kenaikan pangkat Home Team di Hotel Orchard pada 24 Mei.

Beliau adalah antara 6,402 pegawai daripada Home Team yang menerima pangkat baru mereka pada 2024. Encik Abrartaufik dinaikkan daripada Superintenden 1 kepada Superintenden 1A.

Beliau telah membantu sekitar empat pegawai polis setakat ini.

“Saya bukan hanya boleh tangkap penjenayah, tetapi saya boleh juga ‘tangkap’ pegawai polis yang memerlukan bantuan… saya percaya setiap pegawai polis adalah aset kepada pertubuhan ini. Kami tidak mahu kehilangan mereka,” kata beliau, yang sudah hampir 25 tahun berkhidmat dalam SPF.

“Ia juga seakan satu misi peribadi untuk memastikan pegawai polis kita mempunyai sistem sokongan, dan kami bersedia untuk membantu mereka,” tambahnya. 

Encik Abrartaufik menyertai SPF pada 1999 sebagai sarjan selepas menamatkan pengajian di Temasek Politeknik dengan Diploma Mekatronik. 

Pada 2008, beliau telah dianugerahkan ijazah tajaan SPF dalam jurusan Pengurusan dan Pengajian Keselamatan.

Beliau juga meraih Diploma Profesional dalam Latihan dan Pembangunan oleh Persatuan Latihan dan Pembangunan Singapura pada 2010 dan Sijil Lanjutan dalam Latihan dan Penilaian (ACTA) pada 2011.

“Kepuasan yang saya perolehi daripada pekerjaan ini adalah pelbagai peluang yang diberikan kepada saya.

“Saya bukan hanya dapat mengembangkan pembangunan profesional saya dengan mengambil ijazah separuh masa, malah saya juga didedahkan kepada pelbagai tugas untuk membantu mencegah dan mengesan jenayah,” kongsi Encik Abrartaufik.

“Saya juga berpeluang bekerjasama dengan ramai pegawai polis lain... sokongan mereka telah mendorong saya untuk melakukan tugas saya (dengan) sebaik-baiknya setiap hari,” tambah bapa kepada tiga anak lelaki itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg