Seorang sarjan kanan polis yang menyeleweng wang tunai lebih $90,000 yang diamanahkan kepadanya semasa bertugas sebagai pegawai penyiasat (IO), dijatuhi hukuman penjara empat tahun empat bulan pada 23 Julai.
Pada masa kesalahan itu, Mohamad Danial Mohamad Nazali, bertugas di Divisyen Polis Bedok sebagai IO kanan dan sebagai timbalan pegawai bertanggungjawab skuad siasatan am dalam Pasukan Polis Singapura (SPF).
Dia dituduh melakukan kesalahan itu dari 2017 hingga 2020, dan wang tersebut dikaitkan dengan 24 kes yang dia kendalikan ketika itu.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Crystal Tan berkata, hukuman pencegahan adalah wajar dalam kes Danial, sambil menegaskan dia telah melakukan pelanggaran asas dalam tugasnya.
Beliau juga berkata, kesalahan itu dilakukan selama beberapa tahun dan sukar dikesan, lapor The Straits Times (ST).
Pada 25 Jun, Danial, 35 tahun, yang digantung kerja pada Oktober 2020, mengaku bersalah atas lapan tuduhan pecah amanah dan lima tuduhan pemalsuan.
Sebanyak 28 tuduhan lain dipertimbangkan ketika dia dijatuhkan hukuman.
Danial menyertai SPF pada April 2009 dan sebagai IO, tugasnya termasuk memudahkan penyerahan wang yang dipulangkan daripada orang yang dituduh kepada mangsa, dan menyediakan slip pengakuan untuk menunjukkan dia telah berbuat demikian.
Namun, dia menyimpan wang itu dan memalsukan beberapa slip untuk menunjukkan bahawa dia kononnya telah memulangkan wang itu.
Dalam prosiding sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Cik Emily Koh, memberitahu mahkamah: “Modus operandi tertuduh adalah mengambil wang yang dirampas semasa siasatan... untuk kegunaannya sendiri, bagi menyelesaikan hutang dan untuk berjudi.
“(Dia) kemudian akan memalsukan slip pengakuan dan kenyataan daripada mangsa untuk menunjukkan wang itu sudah dipulangkan kepada mangsa bagi menyembunyikan fakta bahawa dia telah menyalahgunakan (wang tersebut).”
Antara lain, Danial telah mengendalikan kes menipu yang melibatkan seorang defendan lelaki warga Indonesia berusia 61 tahun dan pengadu berusia 38 tahun yang merupakan seorang wanita Singapura.
Dokumen mahkamah tidak mendedahkan butiran tentang kes pasangan itu tetapi pada 9 November 2017, lelaki itu berjumpa Danial di Ibu Pejabat Divisyen Polis Bedok di Bedok North Road dan menyerahkan wang tunai $5,000 kepada Danial.
Wang itu sepatutnya diberikan kepada wanita itu sebagai ganti rugi.
Danial kemudian memberikannya slip pengakuan polis, menyatakan dia telah menerima wang tersebut.
Pendakwa raya berkata: “(Danial) sepatutnya memulangkan wang itu kepada pengadu... tetapi dia tidak berbuat demikian. Sebaliknya, dia menggunakan wang itu untuk membuat pertaruhan bola sepak dan perbelanjaan peribadi.”
Dia juga memalsukan slip untuk menunjukkan dia kononnya telah memulangkan wang wanita itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg