Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Staf sarjan kanan polis seleweng lebih $90,000 semasa jadi pegawai penyiasat

Jun 25, 2024 | 4:46 PM
Staf sarjan kanan polis, Mohamad Danial Mohamad Nazali, yang digantung tugas pada Oktober 2020, tiba di Mahkamah Negara pada 25 Jun.
Staf sarjan kanan polis, Mohamad Danial Mohamad Nazali, yang digantung tugas pada Oktober 2020, tiba di Mahkamah Negara pada 25 Jun. - Foto ST

Seorang sarjan kanan polis didapati telah menyeleweng wang tunai lebih $90,000 yang diamanahkan kepadanya semasa bertugas sebagai pegawai penyiasat (IO).

Mohamad Danial Mohamad Nazali dituduh melakukan kesalahan itu dari 2017 hingga 2020, dan wang tersebut dikaitkan dengan 24 kes yang dia kendalikan ketika itu.

Pada masa kesalahan itu, dia bertugas di Divisyen Polis Bedok sebagai IO kanan dan sebagai timbalan pegawai bertanggungjawab skuad siasatan am dalam Pasukan Polis Singapura (SPF).

Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Cik Emily Koh, memberitahu mahkamah: “Modus operandi tertuduh adalah mengambil wang yang dirampas semasa siasatan... untuk kegunaannya sendiri, bagi menyelesaikan hutang dan untuk berjudi.

“(Dia) kemudian akan memalsukan slip pengakuan dan kenyataan daripada mangsa untuk menunjukkan wang itu sudah dipulangkan kepada mangsa bagi menyembunyikan fakta bahawa dia telah menyalahgunakan (wang tersebut).”

Pada 25 Jun, Danial, 34 tahun, yang digantung kerja pada Oktober 2020, mengaku bersalah atas lapan tuduhan pecah amanah dan lima tuduhan pemalsuan.

Sebanyak 28 tuduhan lain akan dipertimbangkan apabila dia dijatuhkan hukuman pada 23 Julai.

DPP Koh berkata Danial menyertai SPF pada April 2009 dan sebagai IO, tugasnya termasuk memudahkan penyerahan wang yang dipulangkan daripada orang yang dituduh kepada mangsa.

Selepas menerima wang tunai itu, Danial perlu menyerahkan wang berkenaan kepada mangsa dan menyediakan slip pengakuan untuk menunjukkan dia sudah menutup jejaknya.

Antara lain, Danial telah mengendalikan kes menipu yang melibatkan seorang defendan lelaki warga Indonesia berusia 61 tahun dan pengadu berusia 38 tahun yang merupakan seorang wanita Singapura.

Dokumen mahkamah tidak mendedahkan butiran tentang kes pasangan itu tetapi pada 9 November, 2017, lelaki itu berjumpa Danial di Ibu Pejabat Divisyen Polis Bedok di Bedok North Road dan menyerahkan wang tunai $5,000 kepada Danial.

Wang itu sepatutnya diberikan kepada wanita itu sebagai ganti rugi.

Danial kemudian memberikannya slip pengakuan polis, menyatakan dia telah menerima wang tersebut.

Pendakwa raya berkata: “(Danial) sepatutnya memulangkan wang itu kepada pengadu... tetapi dia tidak berbuat demikian. Sebaliknya, dia menggunakan wang itu untuk membuat pertaruhan dan perbelanjaan peribadi.”

Dia juga memalsukan slip untuk menunjukkan bahawa dia kononnya telah memulangkan wang wanita itu.

Mahkamah mendapat tahu bahawa dia meneruskan kesalahan yang sama beberapa kali selepas kejadian itu.

Perkara itu terbongkar selepas salah seorang pegawai atasannya – seorang superintenden di Divisyen Polis Bedok – menerima laporan kewangan tahunan Danial daripada pihak biro kredit pada 15 Oktober 2020.

DPP Koh berkata: “Didapati bahawa (Danial) telah mengumpul hutang tidak bercagar hampir tiga bulan daripada gaji bulanannya, berdasarkan laporan kreditnya daripada Biro Kredit Singapura, dan... dia telah mengambil pinjaman daripada beberapa peminjam wang berlesen dan rakan-rakannya.”

Danial sedang bercuti apabila superintenden, yang ketika itu merupakan ketua penyiasat di divisyen tersebut, meminta dua penolong superintenden agar menjalankan pemeriksaan di meja tempat dia bertugas dan kabinet Danial.

Penolong superintenden sedang meneliti fail siasatan di bawah tanggungjawab Danial apabila mereka mendapati salinan slip pengakuan polis.

Dokumen itu dikaitkan dengan wang yang dia terima daripada orang yang terlibat dalam kes yang disiasatnya.

Danial kemudian disoal tentang penemuan itu dan dia berterus terang tentang apa yang dilakukan.

Dia ditahan pada 17 Oktober 2020, dan digantung daripada tugas lima hari kemudian.

Pada 25 Jun, DPP Koh menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehingga empat tahun tujuh bulan.

Danial telah membuat bayaran balik sebanyak $7,600.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg