Topic followed successfully
Go to BHkuSemakan gaji politik: Pemerintah tangguh cadangan hingga kesan konflik Timur Tengah lebih jelas
Semakan gaji politik: Pemerintah tangguh cadangan hingga kesan konflik Timur Tengah lebih jelas
Chun Sing: Konflik di Timur Tengah berlarutan dan sebabkan ketidaktentuan ekonomi yang besar
Semakan gaji politik: Pemerintah tangguh cadangan hingga kesan konflik Timur Tengah lebih jelas
Jawatankuasa yang menyemak gaji pemegang jawatan politik telah selesai dengan tugasnya dan menyerahkan cadangan kepada pemerintah pada April lalu, dedah Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing.
Namun, pemerintah akan menangguhkan pertimbangan cadangan jawatankuasa tersebut sehingga kesan konflik di Timur Tengah ke atas Singapura menjadi lebih jelas, katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen kepada Encik Alex Yam (GRC Marsiling-Yew Tee) pada 6 Mei.
Encik Yam telah bertanya mengenai kedudukan semakan tersebut memandangkan perkembangan sejagat terkini.
“Pemerintah sedar konflik di Timur Tengah masih berlarutan, menyebabkan ketidaktentuan ekonomi yang besar dan menjejaskan jangkaan Singapura,” kata Encik Chan.
“Pemerintah akan mengeluarkan laporan jawatankuasa itu bersama tindak balas pemerintah pada masa yang sesuai,” tambahnya.
Anggota Parlimen (AP), kata Encik Chan, akan berpeluang meneliti laporan dan maklum balas pemerintah tersebut pada masa yang sama “bagi membolehkan perbahasan yang lebih bermakna”, katanya.
Sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada lapan orang telah dibentuk pada Januari lalu untuk menyemak gaji pemegang jawatan politik Singapura, yang merangkumi semua menteri dan AP.
Jawatankuasa itu dipengerusikan Encik Gan Seow Kee, yang merupakan pengerusi Singapore LNG Corporation (SLNG) dan anggota berganti Majlis Penasihat Presiden (CPA).
Jawatankuasa tersebut telah diminta untuk mencadangkan paras gaji yang wajar berdasarkan rangka kerja gaji semasa, serta membuat penyesuaian jika perlu supaya rangka kerja itu terus kekal sesuai.
Gaji pemegang jawatan politik tidak dikemas kini sejak 2012, apabila pemerintah menerima cadangan jawatankuasa semakan yang memperkenalkan rangka kerja gaji semasa.
Ini kali kedua dalam beberapa tahun kebelakangan ini perubahan gaji kepada pemegang jawatan politik ditangguhkan akibat iklim dunia yang tidak menentu.
Pada 2023, pemerintah telah menangguhkan semakan sedemikian dengan kenyataan Encik Chan bahawa pemerintah sedang menangani isu-isu lain yang lebih mendesak.
Ini termasuk keadaan politik sejagat yang semakin tidak menentu dengan konflik di Timur Tengah dan Ukraine, persaingan politik dunia yang semakin sengit, serta ketidaktentuan ketara dalam ekonomi dunia yang menjejas ekonomi Singapura, gaji dan jangkaan inflasi.
Semakan terakhir telah dilakukan pada 2018. Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Encik Gerard Ee ketika itu mengusulkan agar gaji pemegang jawatan politik diselaraskan setiap tahun mengikut pergerakan gaji penanda aras, yang meningkat 9 peratus sejak rangka kerja diperkenalkan.
Namun, pemerintah memutuskan tidak membuat sebarang perubahan ketika itu, dengan menyatakan struktur gaji tersebut masih sah meskipun keadaan ekonomi tidak menentu pada tahun-tahun sebelumnya.
Di bawah rangka kerja ini, gaji menteri ditanda aras kepada pendapatan median 1,000 penerima pendapatan tertinggi warga Singapura, dengan diskaun sebanyak 40 peratus bagi melambangkan prinsip perkhidmatan politik.
Golongan 1,000 penerima pendapatan tertinggi merangkumi jawatan pengurusan kanan seperti ketua pegawai eksekutif, operasi dan kewangan, pekerja sektor kewangan seperti pegawai bank, pedagang dan pengurus aset, serta karyawan seperti peguam, doktor dan akauntan.
Gaji rujukan bulanan menteri peringkat permulaan ialah $55,000, dan gaji pemegang jawatan politik lain ditentukan berdasarkan nisbah kepada gaji tersebut, mengikut peranan dan tanggungjawab masing-masing.
Rangka kerja tersebut merangkumi gaji semua pemegang jawatan politik, termasuk AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dan AP Dilantik (NMP), dan mula berkuat kuasa pada Mei 2011.
