Minat dalam bidang perniagaan telah mendorong pasangan ibu dan anak untuk mengikuti kursus keusahawanan demi mendapat kemahiran baru bagi menjalankan perniagaan di rumah.
Perniagaan kuih muih yang dimulakan Cik Zaudah Mohamed Rashid, serta perniagaan kemeja T yang dimulakan anak keduanya, Syed Muhsen Syed Izhmir Alshahab sedikit sebanyak telah membantu membawa rezeki bagi keluarga besar seramai 10 orang itu.
Cik Zaudah merupakan seorang suri rumah manakala suaminya sedang dalam cuti sakit panjang selepas pembedahan di bahunya dan bakal menjalani satu lagi pembedahan katarak pada Disember 2025.
Mereka mempunyai lapan orang anak berusia antara lapan hingga 20 tahun.
Meskipun keluarga itu menerima wang zakat secara bulanan dari Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), mereka tetap berusaha memperbaiki diri dan mempertingkatkan kemahiran mereka untuk lebih berdikari dan mampan.
“Apabila saya masak dan memberikannya kepada orang lain, saya dapat maklum balas yang baik dari orang ramai. Dari situ, timbul pula keinginan untuk berniaga makanan,’’ kata Cik Zaudah, 46 tahun, ketika ditemu ramah di flat sewanya di kawasan Tiong Bahru baru-baru ini.
Dari situ, beliau mula berniaga kuih-muih seperti tahu begedil dan biskut untuk musim perayaan yang dipromosikan melalui Instagram di bawah nama sd.empire.sg.
Melihat ibunya yang berniaga turut memutik minat Syed Muhsen, 19 tahun, mengikut jejak beliau untuk memulakan perniagaan kemeja-T.
“Ia mendorong saya buka perniagaan sendiri. Ibu saya menyarankan jenama Sachok. Saya buat rekaan baju sendiri dan kemudian kemeja-T itu dicetak di luar negara,’’ kata Syed Muhsen.
Selepas menjalani kursus keusahawanan bersama, mereka belajar beberapa kemahiran baru dalam pemasaran untuk menjadikan perniagaan itu rancak.
Antara lain, untuk mereka yang membeli kuih-muih dan biskut Cik Zaudah, mereka berikan kemeja-T sebagai hadiah percuma bagi meningkatkan jenama kemeja-T yang baru bertapak.
Menurut Syed Muhsen, beliau, ibu serta anggota keluarganya yang lain juga membantu dalam pemasaran produk dan menciptakan desain logo serta kain rentang.
“Kita buat ‘photoshoot’ sendiri. Kami sekeluarga memang minat dan tahu ambil foto dan sunting gambar untuk memasarkan produk-produk baru,’’ ujar Syed Muhsen.
Menurut Cik Zaudah, duit zakat dari Muis amat membantu beliau sekeluarga membayar bil dan menampung sekolah anak-anak.
Muis memberikan bantuan kewangan zakat kepada Muslim yang layak sebagai sokongan tambahan kepada program kebajikan pemerintah seperti ComCare.
“Meskipun kami penerima duit zakat dari Muis, kami tidak akan berhenti di situ. Kami mahu pertingkat dan usaha sendiri untuk jual apa yang kami mampu jual seperti kuih raya, makanan dan baju,’’ ujar Cik Zaudah, yang amat berterima kasih dengan bantuan tersebut.
Untuk merealisasikan hasrat tersebut, Cik Zaudah mengikuti program pertingkat kemahiran MyImpact bersama anak keduanya pada tahun lalu.
Program ini dianjurkan bersama Maybank dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) dan bertujuan memperkasakan penerima zakat dari keluarga berpendapatan rendah untuk meraih pengetahuan praktikal tentang keusahawanan.
Program MyImpact merupakan antara inisiatif bantuan yang ditawarkan pihak swasta yang dapat dimanfaatkan penerima bantuan zakat, selain bantuan wang bulanan yang dihulurkan Muis.
Sementara itu, Muis juga terus bekerjasama dengan agensi pemerintah dan perkhidmatan sosial untuk memastikan penerima zakat dapat mengakses semua bantuan yang tersedia, sekali gus membolehkan keluarga penerima meraih bantuan yang lebih menyeluruh.
“Cita-citanya ialah membuka kedai kecil. Suami dan anak jual pakaian, saya jual kuih-muih dan seorang lagi anak saya berminat untuk menyediakan khidmat gunting rambut. Itulah harapan kami,’’ kata Cik Zaudah.
“
“Meskipun kami penerima duit zakat dari Muis, kami tidak akan berhenti di situ. Kami mahu pertingkat dan usaha sendiri untuk jual apa yang kami mampu jual seperti kuih raya, makanan dan baju.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg