Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usahawan mikro terima dana permulaan, bimbingan kembangkan perniagaan

Seramai 16 usahawan muda kemuka idea niaga dalam acara anjuran bersama Maybank, DPPMS
Nov 3, 2025 | 8:07 PM
peniaga, mikro, DPPMS, pertandingan
(Dari kiri) Pengasas Lyfs Bodega, Encik Ibnu Aliff Rahim; pengasas Mushling Sprout Co., Cik Annice (Anisah) Tan Su Qin; dan pengasas The Ratu Beauté, Cik Nur Qurratuaini Abdullah; adalah tiga pemenang utama yang telah menerima $5,000 dalam bentuk sokongan bagi mempercepat pertumbuhan dan mendorong pengembangan perniagaan yang mampan. - Foto DPPMS

Enam belas usahawan muda tampil mengetengahkan idea perniagaan mereka semasa majlis penutupan Program Perniagaan Mikro Maybank myimpact (MMMP) 2025 yang berlangsung pada 1 November, bagi merebut peluang menerima dana permulaan serta bimbingan mentor untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Anjuran bersama Maybank Singapura dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), daya usaha itu bertujuan memperkasa penerima zakat dan individu daripada keluarga berpendapatan rendah dengan ilmu perniagaan praktikal, celik kewangan serta sokongan masyarakat yang kukuh bagi mencapai daya tahan kendiri dan pertumbuhan mampan.

Kini memasuki edisi ketiga, program 2026 mencatat penyertaan tertinggi dengan 60 peserta – tiga kali ganda berbanding 2025 – dan mencapai puncaknya dengan sesi pembentangan akhir di Menara Maybank.

Peserta kali ini menampilkan pelbagai idea perniagaan mikro kreatif, termasuk jenama fesyen patuh syariah, produk kecantikan halal, perusahaan makanan artisanal dan perkhidmatan digital yang disesuaikan buat pengguna moden.

Program selama enam minggu itu turut merangkumi bengkel, pitching masterclass, serta sesi bual santai bersama usahawan berpengalaman yang berkongsi tentang daya tahan, penyesuaian terhadap pendigitalan dan strategi pertumbuhan jangka panjang.

Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, yang hadir selaku tetamu terhormat, menyifatkan program itu sebagai “satu perjalanan transformasi”.

Ia bukan sekadar dalam membina perniagaan, bahkan dalam membentuk keyakinan diri dan menemukan semula makna tujuan hidup, katanya.

“Tidak kira sama ada usaha anda bermula dari rumah atau skala lebih besar, proses ini mengubah diri anda – keyakinan, kepercayaan terhadap potensi diri dan potensi keluarga anda.

“Setiap kesan yang anda tinggalkan hari ini bukan sahaja akan membentuk kehidupan anda, bahkan juga generasi akan datang.”

Beliau turut menggesa peserta “menemui masyarakat anda di sini dan berkembang bersama-sama”.

Antara pemenang utama kali ini ialah Cik Nur Qurratuaini Abdullah, 30 tahun, pengasas, The Ratu Beauté, yang memulakan perniagaan rawatan wajah dan penjagaan kulit dari rumah ketika menjaga arwah datuknya.

Menyifatkan penyertaan program itu sebagai satu pengalaman yang benar-benar membuka mata, Cik Qurratuaini berkata:

“Kini saya tahu bagaimana menyusun struktur perniagaan dengan lebih baik dan membina keyakinan untuk terus berkembang.”

Beliau bercadang menggunakan dana yang diterima untuk memperkukuh strategi pemasaran serta mengikuti kursus profesional jangka pendek.

Bagi pengasas, Mushling Sprout Co., Cik Annice (Anisah) Tan Su Qin, 29 tahun, program tersebut menjadi penyelamat selepas melalui fasa sukar dari segi kewangan dan kesihatan.

Perniagaannya menukarkan lukisan kanak-kanak menjadi pelekat dan hadiah peribadi yang menggalakkan kreativiti keluarga.

“Sebagai seorang ibu daripada keluarga berpendapatan rendah, program ini telah mengembalikan semangat saya.

“Saya mahu membantu ibu-ibu lain yang berdepan kesukaran seperti saya – melalui kerjasama dengan organisasi yang membantu wanita dan ibu tunggal,” kongsinya.

Encik Ibnu Aliff Rahim, 36 tahun, pengasas, Lyfs Bodega, menyalurkan minatnya dalam bidang kulinari kepada perniagaan piza halal bergaya artisanal selepas bertahun-tahun bekerja di dapur restoran bukan halal.

“Program ini banyak membantu melalui bengkel dan kelas yang memastikan rancangan perniagaan saya bergerak ke arah yang betul.

“Kami mahu mengangkat imej masyarakat Melayu/Islam dalam bidang makanan dan menunjukkan bahawa piza Napolitana halal juga boleh dinikmati semua,” ujarnya.

Presiden DPPMS, Dr Abdul Malik Hassan, memuji semangat dan ketekunan peserta, sambil menegaskan bahawa mereka membuktikan “keusahawanan tidak seharusnya dibatasi latar belakang atau keadaan”.

“Tidak kira sama ada anda bermula dari meja dapur atau sudut ruang tamu, kejayaan sebenar ditentukan oleh kesungguhan yang anda curahkan.

“Anda telah membuktikan bahawa dengan ilmu, bimbingan dan keyakinan, setiap langkah kecil mampu membawa perubahan besar,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg