Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Semangat usahawan Melayu lebih dua dekad diiktiraf

Lebih 50 peniaga S’pura diberi Anugerah Semangat Keusahawanan atas kecemerlangan, inovasi dalam niaga
Oct 24, 2023 | 6:54 PM
DIIKTIRAF: Encik Azhar Othman (dua dari kanan) menerima Anugerah Kemampanan SOE-EATZ 2023 bagi syarikat Enercon Asia. Bersamanya ialah (dari kiri) Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling; Pengarah Urusan Eatz Group, Cik Novie Djayayanti Tjoa; dan Presiden Anugerah Semangat Keusahawanan (SOE), Encik Ismail Gafoor.
DIIKTIRAF: Encik Azhar Othman (dua dari kanan) menerima Anugerah Kemampanan SOE-EATZ 2023 bagi syarikat Enercon Asia. Bersamanya ialah (dari kiri) Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling; Pengarah Urusan Eatz Group, Cik Novie Djayayanti Tjoa; dan Presiden Anugerah Semangat Keusahawanan (SOE), Encik Ismail Gafoor. - Foto SOE

Beliau mempunyai pengalaman kerjaya selama lebih dua dekad dalam bidang penjanaan kuasa.

Sebagai Pengerusi Eksekutif Enercon Asia Group, beliau bertanggungjawab mengawasi operasi di seluruh Asia sejak 2002, menyumbang kepada kejayaan meluas syarikat tersebut dengan pejabat di tujuh negara dan mengeksport produk kejuruteraan tersuai ke lebih 20 negara.

Pada Isnin, Encik Azhar Othman merupakan antara lebih 50 usahawan warga Singapura yang dirai semasa Anugerah Semangat Keusahawanan (SOE) ke-20, yang diadakan di The Ritz-Carlton, Millenia Singapore.

Acara tahunan itu bertujuan mengiktiraf kecemerlangan dan inovasi yang ditunjukkan pemimpin perniagaan setempat.

Selain merupakan antara 28 penerima kehormat Anugerah SOE 2023, Encik Azhar juga, bagi pihak syarikat Enercon Asia, telah menerima Anugerah Kemampanan SOE-EATZ 2023.

Beliau menganggap anugerah tersebut sebagai penghargaan yang memberi motivasi untuk melakukan lebih baik.

Baru diperkenal tahun lalu, kategori anugerah kemampanan itu bertujuan mengetengahkan tanggungjawab korporat terhadap alam sekitar dan mengiktiraf syarikat yang cemerlang dalam menangani isu kemampanan.

Encik Azhar berkongsi bahawa syarikatnya itu mula benar-benar memberi tumpuan kepada kemampanan dan tenaga hijau pada 2016.

“Alhamdulillah... saya rasa anugerah ini merupakan yang paling memberi rangsangan kerana ia menunjukkan bahawa apa yang kami lakukan diiktiraf dan apa yang kami lakukan adalah sehaluan dengan permintaan pasaran.

“Sesuatu anugerah boleh memotivasikan kita atau membuat kita jadi leka. Bagi saya, setiap anugerah adalah (motivasi) untuk menuju ke anugerah seterusnya dan ia bukan anugerah yang terakhir,” ujar Encik Azhar.

Selain Encik Azhar, dua lagi usahawan Melayu/Islam turut diiktiraf semasa acara Anugerah SOE 2023 itu.

Mereka adalah Encik Mustaffa Kamal, pengasas bersama The Black Hole Group dan Encik Hafiz Kasman, pengasas bersama dan Ketua Pegawai Operasi (COO) di Kinobi.

Mengulas tentang ulang tahun ke-20 SOE, Presidennya, Encik Ismail Gafoor yang juga Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PropNex, berkata:

“Jauh perjalanan kami sejak Anugerah SOE pertama pada 2003 di mana kami hanya mempunyai 18 penerima. Tahun ini, dengan lebih 100 pencalonan, kami telah mencapai kemajuan ketara dalam memotivasikan dan menyokong lebih ramai usahawan di Singapura.”

Selain memberi pengiktirafan kepada usahawan atas kecemerlangan perniagaan mereka, SOE juga mempunyai misi mahu memberi inspirasi kepada individu muda untuk menjadi usahawan.

Salah satu inisiatif utama ialah Program Penemuramah Pelajar, yang menggandingkan pelajar di institusi pengajian tinggi dengan usahawan perniagaan yang berjaya untuk ditemu ramah.

Ini memberikan pelajar pengetahuan tentang kejayaan dan cabaran yang dihadapi oleh usahawan dalam laluan mereka dalam menuju kejayaan.

“Alhamdulillah... saya rasa anugerah ini merupakan yang paling memberi rangsangan kerana ia menunjukkan bahawa apa yang kami lakukan diiktiraf dan apa yang kami lakukan adalah sehaluan dengan permintaan pasaran.”
Encik Azhar Othman, penerima Anugerah Kemampanan SOE-EATZ 2023 bagi syarikat Enercon Asia.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg