Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Semangat usahawanan tumpuan bagi pelajar Madrasah Wak Tanjong

Lengkapi pelajar dengan ilmu duniawi dan ukhrawi, serta kemahiran dan pengalaman hidup
Nov 14, 2025 | 5:30 AM
Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah terus menyemai semangat keusahawanan dalam kalangan pelajarnya, melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu, bahkan juga berdaya saing dan berwawasan.  
Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah terus menyemai semangat keusahawanan dalam kalangan pelajarnya, melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu, bahkan juga berdaya saing dan berwawasan.   - Foto MADRASAH WAK TANJONG AL-ISLAMIAH

Kita kini berada di pertengahan November, dan hari ini (14 November) menandakan hari terakhir penggal persekolahan bagi semua pelajar di Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah (MWTI).

Cuti penggal akhir tahun 2025 ini dilaksanakan seminggu lebih awal daripada kebiasaan, berikutan kerja pembinaan bangunan tambahan yang kini giat dijalankan.

Pihak madrasah turut mengambil kesempatan untuk melaksanakan kerja ubah elok di bilik guru serta beberapa bahagian lain, bagi menambah baik kemudahan dan suasana pembelajaran di madrasah.

Pada minggu terakhir ini, pelbagai program menarik diatur oleh setiap jabatan untuk para pelajar kami.

Antara kegiatannya termasuk acara ‘Amazing Race’, ceramah khas untuk pelajar lelaki dan perempuan peringkat menengah, bengkel akhlak untuk murid-murid rendah, serta kegiatan pembersihan menyeluruh secara bergotong-royong.

Kemuncak minggu ini ialah Hari Keusahawanan atau ‘Entrepreneurship Day’.

ia merupakan platform yang memberi peluang kepada pelajar peringkat menengah dan prauniversiti menonjolkan bakat serta kreativiti mereka dalam bidang perniagaan.

Pelajar berpeluang menjual pelbagai jenis makanan dan barangan hasil usaha mereka sendiri, yang mendapat sambutan hangat daripada seluruh warga Madrasah Wak Tanjong.

Program itu dikendalikan sepenuhnya oleh Persatuan Pelajar MWTI (ITMAWAT), yang bertanggungjawab menyelaras penyewaan reruai bagi setiap kelas yang mengambil bahagian serta menyiapkan pelbagai reruai di kawasan madrasah.

Penglibatan langsung para pemimpin pelajar dalam urusan sebegini memberi mereka peluang menimba pengalaman berharga dalam pengurusan, kepimpinan dan kerja berpasukan.

Ia tidak secara langsung mendedahkan pemimpin pelajar kami kepada urusan sebegini dan menguji bakat kepimpinan mereka.

Sesungguhnya Madrasah Wak Tanjong bukanlah hanya tempat pelajar menuntut ilmu duniawi dan ukhrawi, malah di sini juga mereka dilengkapkan dengan kemahiran dan pengalaman hidup yang perlu digunakan setelah menamatkan pelajaran.

Ucapan terima kasih yang tidak terhingga ditujukan kepada semua penderma dan penyumbang yang sentiasa memberi sokongan padu kepada madrasah ini, sama ada melalui sumbangan kewangan, tenaga, masa mahupun doa.

Sokongan berterusan daripada anda semua telah menjadi antara faktor utama yang membolehkan madrasah ini terus melangkah maju dalam melahirkan lulusan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, bahkan juga seimbang dari aspek kepimpinan dan keperibadian Islam.

Dengan sumbangan dan kepercayaan yang diberikan, madrasah dapat terus memperkukuh usaha mendidik generasi muda yang berilmu, berakhlak dan berwawasan agar dapat memimpin masyarakat dengan penuh hikmah dan tanggungjawab pada masa hadapan.

Sesungguhnya, setiap sumbangan anda adalah pelaburan jariah yang berpanjangan ganjarannya di sisi Allah swt.

Penulis merupakan mudirah di Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.

1. Anda boleh menderma dengan menggunakan PayNow ke UEN: S55MM0002D atau hantarkan cek atas nama Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.

2. Hubungi talian 6741-0131 atau e-mel kepada mwti@mwti.edu.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut.

3. Kunjungi Facebook@MWTI Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah untuk mengikuti perkembangan terbaru madrasah.

4. Langsung ke pejabat Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah di alamat 589 Sims Avenue, Singapura 387600.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg