Sembang ‘Kopi with AI’ teroka kesan kecerdasan buatan terhadap tenaga kerja
Sembang ‘Kopi with AI’ teroka kesan kecerdasan buatan terhadap tenaga kerja
Dalam era kecerdasan buatan (AI), kemahiran yang diperlukan oleh golongan karyawan bukan sekadar pengekodan atau menguasai teknologi, tetapi lebih kepada perubahan minda, menyesuaikan diri dan keupayaan membina daya tahan kerjaya.
Perkara ini menjadi antara tumpuan utama yang dibincangkan dalam sesi bual bicara, Kopi with AI, yang dianjurkan AMP Singapura di Nexus Hall 1, Bridge+Geneo di Science Park Drive, pada 31 Januari.
Sesi tersebut bertujuan merancakkan semula perbualan mengenai AI dengan menekankan kejayaan dalam era digital bergantung kepada sejauh mana seseorang individu bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan dan terus belajar.
Siri bual bicara “Kopi with…” ini merupakan kesinambungan daripada pelancaran Kolektif Karyawan Muslim (MPC) pada Oktober 2024, yang diwujudkan sebagai platform membina rangkaian, berkongsi ilmu serta menyokong pembangunan kerjaya golongan karyawan Muslim.
Seramai 80 peserta berhimpun bagi membincangkan pelbagai perkara berkenaan AI. Perbincangan panel tersebut meneroka AI dalam dunia sebenar, implikasinya terhadap tenaga kerja serta kepentingan kecelikan AI, merentasi pelbagai sektor termasuk kewangan, pendidikan, kelestarian dan perkhidmatan awam.
Perbincangan itu juga menekankan AI kini bukan sekadar alat automasi, tetapi mempunyai peranan membantu kita berfikir dalam membuat keputusan.
Oleh itu, golongan karyawan perlu melengkapkan diri, bukan sahaja dengan kemahiran baru, tetapi juga dengan sikap terbuka untuk berubah dan berfikir secara kritikal.
Perbincangan tersebut menampilkan panel yang terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama MOYA Analytics, Dr Aniq Ahsan; Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Produk & Teknologi Pollen, Cik Liyana Sulaiman; dan Pengurus Program Automasi AI di TikTok, Cik Rahmuna Samad.
Sesi diselaras Ketua Impak Sosial di Cognizant Singapore, Cik Nuramima Ram, selaku moderator.
Merumuskan perbincangan yang diadakan, Cik Liyana berkata semakin penting mengadakan perbincangan mengenai AI dan pekerjaan kerana pekerjaan membentuk identiti dan tujuan hidup seseorang.
“Pekerjaan mempengaruhi mata pencarian, identiti dan maruah kita sebagai manusia.
“Apabila teknologi membentuk cara kita bekerja, ia bukan sahaja mengubah daya penghasilan tetapi juga cara kita mereka bentuk kehidupan.
“Oleh itu, kemahiran paling penting bukan sekadar kemahiran teknikal, tetapi kesediaan untuk berubah dan menyesuaikan diri,” katanya lagi.
Pengarah Eksekutif AMP Singapura, Encik Mohksin Rashid, berkata daya tahan ekonomi hari ini amat bergantung kepada keupayaan individu menyesuaikan diri dengan perubahan dalam landskap pekerjaan.
“Teknologi seperti AI merupakan antara faktor utama yang membentuk keselamatan pekerjaan dan perkembangan kerjaya.
“Kopi with AI adalah sebahagian daripada komitmen AMP untuk membantu masyarakat kita agar dilengkapi dengan pengetahuan, keyakinan dan kemahiran untuk kekal relevan dan berdaya tahan dalam ekonomi yang pesat berubah,” katanya.
Antara peserta yang hadir adalah Encik Syafiq Firdaus, 31 tahun, seorang pengurus pertumbuhan di sebuah syarikat permulaan teknologi kewangan atau ‘fintech’, Osome.
Menurutnya, antara perkara paling menarik yang beliau belajar daripada perbincangan panel itu ialah peringatan tentang kepentingan kawalan dan peraturan dalam penggunaan AI.
“Kita semua tahu AI mempunyai tahap ‘halusinasi’ (keadaan di mana ia memberi jawapan yang kedengaran sangat meyakinkan, yakin, dan logik, tetapi sebenarnya salah, tidak wujud, atau tidak masuk akal).
“Tetapi peringatan tentang bagaimana kita boleh meningkatkan keupayaan diri untuk berfikir secara lebih kritikal dan menggunakan AI sebagai alat dan bukan sebagai pengganti cara kita berfikir, adalah asas penting dalam menentukan bagaimana kita mendekati penyelesaian bagi sesuatu cabaran.
“Ini adalah dalam aspek sama ada dari sudut peribadi atau dalam membangunkan penyelesaian bagi masalah dunia sebenar,” kata pelajar jurusan Sarjana dalam AI & Inovasi di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Turut berkongsi pendapat sama adalah seorang lagi peserta, Encik Muhammad Hanif Ramli, bekas kakitangan Certis Cisco, yang kini membangunkan sebuah syarikat pemula bagi membantu golongan karyawan menangani masalah kekeliruan dalam membuat keputusan.
Beliau berkata penggunaan AI perlu digabungkan dengan pemikiran kritikal untuk membuat keputusan yang lebih baik dalam perniagaan.
“AI boleh membantu memperkemas dan mengautomasikan proses kerja, tetapi kita perlu menilai maklumat secara kritikal supaya dapat menapis fakta yang benar-benar berguna dalam membantu saya membuat keputusan yang tepat dalam membangunkan perniagaan,” katanya.

