Pameran Kerjaya Elektronik dan Semikonduktor tawar jumlah peluang kerja tertinggi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pameran Kerjaya Elektronik dan Semikonduktor tawar jumlah peluang kerja tertinggi

Lebih 1,000 pekerjaan disediakan, petanda permintaan kukuh industri terhadap peranan teknikal dan kejuruteraan
Jan 30, 2026 | 5:29 PM

Pameran Kerjaya Elektronik dan Semikonduktor tawar jumlah peluang kerja tertinggi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Di samping permintaan pengambilan pekerja, semakin ramai pelajar menunjukkan minat terhadap laluan kerjaya dalam bidang semikonduktor.
Di samping permintaan pengambilan pekerja, semakin ramai pelajar menunjukkan minat terhadap laluan kerjaya dalam bidang semikonduktor. - Foto ST

Lebih 1,000 peluang pekerjaan ditawarkan pada Pameran Kerjaya Elektronik dan Semikonduktor pada 29 Januari, didorong pemulihan pengambilan pekerja sektor tersebut pada 2026.

Menurut Pengarah Eksekutif Persatuan Industri Semikonduktor Singapura (SSIA), Encik Ang Wee Seng, jumlah peluang pekerjaan yang mencecah paras tertinggi itu mencerminkan permintaan kukuh industri terhadap peranan teknikal dan kejuruteraan.

“Di sebalik setiap pencapaian dalam kecerdasan buatan (AI), pengangkutan pintar, keterhubungan dan perkilangan lanjutan, terdapat tenaga kerja dengan keupayaan teknikal yang mendalam,” katanya dalam kenyataan media bersama Institut Pendidikan Teknikal (ITE), Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

Sempena Hari Industri Elektronik tahunan di ITE Kolej Central, ITE menandatangani tiga Memorandum Persefahaman (MOU) dengan syarikat semikonduktor, Advanced Substrate Technologies, Hoya Electronics Singapore dan United Test and Assembly Center (Utac).

Sepanjang tempoh lima tahun, lebih 500 pelajar dan pelatih ITE, serta 50 kakitangan, akan meraih manfaat melalui aktiviti seperti projek bersama, bengkel, seminar, penempatan industri dan lawatan pembelajaran.

Pameran pekerjaan itu menarik lebih 2,000 pelajar dan pencari kerja, dengan sokongan 38 syarikat. 

Naib Presiden Eksekutif Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), Cik Cindy Koh, berkata pihaknya digalakkan oleh permintaan pengambilan pekerja yang kukuh daripada peserta industri dan mengalu-alukan kerjasama bagi menyediakan latihan tersusun serta laluan kerjaya jangka panjang.

Berucap pada majlis perasmian, Menteri Negara Kanan (Pendidikan) Encik David Neo, berkata Singapura merupakan pusat penting dalam rantaian bekalan semikonduktor sedunia, menghasilkan kira-kira satu daripada setiap 10 cip di dunia. 

“Semikonduktor menggerakkan telefon pintar, kenderaan dan peranti perubatan, selain menyokong Internet dan sistem AI,” katanya.

Sektor elektronik kini menyumbang hampir 6 peratus kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura dan menggajikan lebih 35,000 orang.

Encik Neo, yang juga Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, berkata: “Kami mahu terus merebut peluang pertumbuhan ini.

“Daripada kilang wafer serta kemudahan pemasangan dan pengujian hingga pengeluar peralatan dan syarikat bahan, kami mempunyai rantaian industri yang menyeluruh serta bakat yang tertumpu di sini. Dengan bekerjasama rapat, kami dapat membangunkan penyelesaian baru dan bergerak dengan pantas.”

Selain permintaan pengambilan pekerja, minat pelajar terhadap laluan semikonduktor turut meningkat. 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ITE, Encik Peter Lam, berkata jumlah pelajar Nitec Lanjutan dalam Kejuruteraan Elektronik yang memilih modul berkaitan semikonduktor meningkat seganda daripada 80 orang pada 2023 kepada 160 orang pada 2026.

Bilangan pelatih program Diploma Bekerja dan Belajar ITE dalam bidang mikroelektronik turut meningkat, dengan ramai daripada mereka memperolehi pekerjaan selepas tamat latihan.

Pelaburan dalam ekosistem semikonduktor juga terus berkembang, dengan Singapura berjaya menarik lebih $18 bilion dalam pelaburan penyelidikan, pembangunan dan perkilangan sepanjang dua tahun lalu, termasuk daripada syarikat sedunia seperti GlobalFoundries dan Micron.

“Pelaburan ini dijangka menjana peluang perniagaan dan pekerjaan untuk rakyat Singapura,” kata jurucakap EDB.

Acara itu turut meraikan program duta belia aktif semikonduktor SSIA bagi kohort 2025, yang memberi peluang kepada pelajar membina rangkaian dan memperoleh pendedahan industri di luar bilik darjah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg