Topik diikuti
Pergi ke BHku9 dilantik dalam jawatankuasa semakan lindung kanak-kanak di institusi agama
Zaqy: Dapatan, cadangan jawatankuasa akan dikemuka jelang akhir 2026
9 dilantik dalam jawatankuasa semakan lindung kanak-kanak di institusi agama
Seramai sembilan individu dengan latar belakang profesional dan pengalaman masyarakat yang berbeza telah dilantik untuk menganggotai jawatankuasa semakan yang ditubuhkan untuk memperkukuh langkah perlindungan kanak-kanak dalam persekitaran keagamaan, termasuk di masjid dan madrasah.
Jawatankuasa tersebut akan menyelesaikan semakannya dan mengemukakan dapatan serta cadangannya kepada Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, menjelang akhir 2026 sebelum dapatan itu didedahkan kepada orang awam.
Demikian diumumkan Encik Zaqy, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan), kepada media pada 30 September di pejabat Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) di Braddell Road, semasa mengumumkan senarai anggota dan skop tugasan jawatankuasa semakan tersebut.
“Semua anggota datang daripada pelbagai latar belakang; masing-masing membawa pengalaman profesional, kemahiran, dan pastinya perspektif masyarakat bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas serta tanggungjawab mereka,” kata Encik Zaqy.
“Kami juga ingin memberikan mereka ruang dan kebebasan untuk meneliti secara bebas dan objektif tentang bagaimana kita boleh menambah baik cara kita menyampaikan kelas serta bimbingan keagamaan, sama ada secara fizikal mahupun dalam talian, serta melalui kelas formal mahupun tidak formal.”
Menurut kenyataan MUIS, senarai anggota jawatankuasa itu antara lain merangkumi pakar dalam bidang tadbir urus dan risiko, pendidikan Islam, serta pegawai kanan daripada Pasukan Polis Singapura (SPF), Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Kementerian Pendidikan (MOE).
Anggota tambahan dan pakar rujukan lain yang mempunyai kepakaran berkaitan juga akan dilibatkan dalam semakan itu, kata MUIS, sambil menambah bahawa jawatankuasa itu akan disokong bersama oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan MUIS.
Encik Zaqy pertama kali mengumumkan penubuhan jawatankuasa itu di Parlimen pada 8 September, yang dipengerusikan bersama oleh Presiden PPIS, Profesor Madya Razwana Begum, dan Pengerusi AMP Singapura, Ustaz Fathurrahman Dawoed.
Penubuhan jawatankuasa ini dibuat susulan kes dua kanak-kanak yang menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang individu yang menggelarkan dirinya sebagai ‘pempengaruh agama’ dan mengadakan kelas agama di sebuah masjid tanpa kebenaran.
Menurut MUIS, orang ramai juga boleh berkongsi pandangan dan cadangan mereka dengan jawatankuasa tersebut melalui borang maklum balas dalam talian, yang akan melengkapi usaha penglibatan pihak berkepentingan oleh jawatankuasa itu serta membantu memaklumkan proses semakannya.
“Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, (jawatankuasa ini) akan menjalankan temu bual, membuat penilaian, serta mendapatkan maklum balas dan berbincang dengan pelbagai lembaga masjid, anggota masyarakat, dan badan-badan.
“Tujuannya adalah untuk jawatankuasa ini lebih memahami cabaran sebenar di lapangan, mengenal pasti jurang yang wujud, serta menentukan bagaimana kita boleh menambah baik proses dan garis panduan sedia ada,” kata Encik Zaqy.
Selain dua pengerusi bersama itu, jawatankuasa tersebut turut dianggotai oleh pensyarah bebas, Ustazah Dr Rohana Ithnin, yang juga merupakan anggota Jawatankuasa Fatwa MUIS, serta Ustaz Ridhwan Mohd Basor, yang merupakan Perunding Utama dan Pengurus Program di DigitalWell.ai.
Jawatankuasa itu juga terdiri daripada Pengetua Audit dan Cukai daripada Rohan Mah & Partners LLP, Cik Suree Rohan; serta Pakar Psikologi Klinikal Utama (Perkhidmatan Psikologi) daripada Community Psychology Hub, Dr Quah Saw Han.
Ia juga dianggotai Penolong Pesuruhjaya (AC) Masagoes Idris Hussain daripada Pasukan Polis Singapura (SPF); Timbalan Pengarah Kanan, Cik Ravina Said Abdul Rahman daripada Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga MSF; dan Pengarah Zon, Encik Krishnan Aravinthan daripada Kementerian Pendidikan (MOE).
“Jawatankuasa ini akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan masyarakat dan agensi-agensi berkaitan untuk mengemukakan syor-syor praktikal bagi memperkukuh langkah perlindungan dan keselamatan kanak-kanak dalam persekitaran keagamaan, sambil mengekalkan sifat terbuka dan mesra etos institusi keagamaan.
“Semakan ini akan menggunakan pendekatan pencegahan dan berteraskan masyarakat, dengan meneliti sistem, budaya serta amalan yang dapat mencegah kemudaratan, mengesan kebimbangan pada peringkat awal, dan menggalakkan keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak dan golongan muda,” kata MUIS.