Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) akan mengeluarkan isyarat “Mesej Penting” melalui Sistem Amaran Awam (PWS) pada 6.20 petang, 15 September ini.
Dalam satu kenyataan media pada 12 September, SCDF berkata isyarat itu juga akan berbunyi pada telefon pintar yang dipasang dengan aplikasi mudah alih SGSecure. Ia akan berhenti selepas 20 saat, dan disertakan dengan pesanan ringkas.
SCDF memberi jaminan kepada orang ramai untuk “tidak bimbang dengan latihan yang berbunyi selama satu minit”, dan menasihatkan mereka untuk mengikuti mana-mana stesen radio tempatan atau saluran TV percuma untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang PWS.
Orang ramai juga boleh layari https://go.gov.sg/pws untuk mengetahui lebih lanjut tentang sistem tersebut dan isyaratnya.
Latihan penyiaran yang diadakan setiap tahun itu adalah sebahagian daripada usaha SCDF untuk membiasakan orang ramai dengan isyarat PWS dan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang cara bertindak balas apabila mendengarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg