Topik diikuti
Pergi ke BHkuSemua khidmat edar aplikasi S’pura laksana proses jaminan asas kenal pasti usia
Semua khidmat edar aplikasi S’pura laksana proses jaminan asas kenal pasti usia
Kesemua lima khidmat pengedaran aplikasi yang ditetapkan (D-ADS) utama di Singapura, seperti Google Play dan Apple App Store, telah melaksanakan langkah keselamatan asas dengan menetapkan proses jaminan asas bagi mengenal pasti usia.
Ini termasuk mekanisme pengesahan usia – seperti kaedah pengesahan kad kredit, Singpass atau kad pengenalan dan pengesahan emel – demi memastikan langkah secukupnya diambil untuk melindungi golongan muda daripada kandungan aplikasi yang tidak sesuai atau tidak diingini
Bagaimanapun, masih ada langkah yang boleh dipertingkatkan – khususnya berhubung pemadaman aplikasi yang mengandungi kandungan berbahaya dan memberi penilaian usia lebih tepat.
Demikian antara dapatan Laporan Penilaian Keselamatan Dalam Talian (OSAR) bagi D-ADS oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), yang julung-julung kalinya diterbitkan pada 24 Oktober.
Dalam satu kenyataan oleh IMDA pada 24 Oktober, matlamat laporan itu adalah untuk menilai keberkesanan langkah pengesahan usia dan perlindungan yang dipertingkatkan bagi kanak-kanak.
Ini di samping menilai langkah keselamatan terhadap pemadaman aplikasi berbahaya, tetapan penarafan usia yang sewajarnya bagi aplikasi dan mekanisme pelaporan oleh pengguna serta langkah penyelesaian.
Laporan itu diterbitkan bersempena acara tahunan Festival Digital Sepanjang Hayat (DfL) di VivoCity, yang berlangsung dari 24 hingga 25 Oktober.
Pengunjung dapat mempelajari kemahiran digital, ibu bapa boleh mendapatkan nasihat praktikal cara membimbing anak mereka dalam dunia digital, dan keluarga pula dapat mengamalkan tabiat digital yang sihat bersama-sama di festival tersebut.
Acara itu dihadiri Presiden Tharman Shanmugaratnam selaku tetamu terhormat, di samping Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo.
Turut hadir ialah Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.
Laporan tersebut mendapati penyedia khidmat pengedaran aplikasi atau D-ADS iaitu Apple App Store, Google Play Store, Huawei App Gallery, Microsoft Store dan Samsung Galaxy Store, telah mematuhi langkah-langkah pengesahan umur dan dilaksanakan dengan baik.
Ini setelah langkah seperti pemeriksaan usia dan penarafan usia bersesuaian diwajibkan sejak April 2026.
Berkongsi kepada media selepas acara, Cik Rahayu berkata: “Penting untuk mereka (penyedia wadah aplikasi) mewujudkan satu suasana yang selamat dalam talian untuk anak-anak kita.
“Kami cuba memastikan hal ini menerusi laporan penilaian baru-baru ini bagi D-ADS. (Daripada) data yang kami lihat, ada usaha yang baik supaya proses jaminan asas bagi mengenal pasti usia dilaksanakan dengan baik.”
Namun, masih ada ruang untuk diperbaiki seperti dari aspek mengehadkan usia bersesuaian dengan penarafan aplikasi, tambah beliau.
Beliau berkata justeru, usaha baik ini dan perbincangan dengan pihak D-ADS harus diteruskan.
Dapatan laporan tersebut turut mendapati kesemua penyedia khidmat pengedaran aplikasi menetapkan had supaya pengguna berusia bawah 18 tahun tidak dibenarkan memuat turun aplikasi yang diberi penarafan 18 tahun dan ke atas.
Namun terdapat beberapa kejadian terpencil pengguna bawah 18 tahun boleh memuat turun aplikasi sedemikian bagi D-ADS Huawei AppGallery dan Microsoft Store setelah tetapan sekatan dinyahaktifkan.
Dapatan ini diperolehi setelah IMDA menguji sejauh mana langkah-langkah pengesahan usia mudah digunakan atau mudah dipintas melalui simulasi pengalaman pengguna, kata IMDA.
IMDA telah memaklumkan kepada Huawei dan Microsoft untuk tindakan susulan, dengan Huawei AppGallery telah menangani isu itu manakala Microsoft mengenal pasti huraian dan sedang dalam proses untuk melaksanakannya.
Laporan itu mengambil kira data dan maklumat D-ADS dari tempoh 1 April 2025 hingga 31 Disember 2025.
Ia menggunakan dua kaedah ujian bagi menilai keberkesanan langkah keselamatan yang telah diterapkan oleh penyedia khidmat pengedaran aplikasi – meliputi penetapan akaun ujian dan kaedah penyelidikan pasaran di mana individu terlatih menyamar sebagai pelanggan biasa atau dikenali sebagai ‘mystery shopper test’.